Kebun Warisan's Followers

Wednesday, January 2, 2008

SYSTEM RAS- Perikanan

Sistem RAS
Petikan dari Omar Mustafa.

Jika dulu, untuk menceburi industri akuakultur memerlukan tanah luas, penggunaan air banyak dan modal besar, kini selari dengan perkembangan semasa, industri ini sangat mudah diceburi, asalkan mempunyai minat.

Kebanyakan yang menceburi bidang akuakultur ini biasanya memilih kaedah paling mudah dan tidak memerlukan modal besar iaitu menternak ikan dalam sangkar dan kolam.

Ketua Pegawai Eksekutif ATR Venture Sdn Bhd, Omar Mustafa, berkata bagi menarik minat lebih ramai lulusan universiti yang menganggur dan orang ramai dalam bidang ini, syarikatnya memperkenalkan satu sistem baru, berupaya menternak ikan dengan cara mudah dan menjimatkan.“Kini, dengan penggunaan sistem filter ‘recirculation’ atau dikenali sebagai Recirculating Aquaculture System (RAS), orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang akuakultur dapat melakukannya dengan lebih efektif dan efisien,” katanya.

Beliau berkata, RAS adalah proses penggunaan atau kitaran semula air dengan membela ikan ternakan dalam tangki dan membiarkan air berkenaan mengalir ke tapisan biologi yang bertindak mengeluarkan bahan toksin daripada tangki.“Ia memberi banyak kelebihan dan faedah berbanding sistem kolam dan sangkar. Boleh dilakukan dalam kawasan terhad tanpa perlu bersusah payah seperti menternak ikan menggunakan cara lama.

“Sistem ini menjalankan empat fungsi utama iaitu membuang kumuhan pada dasar dan yang terapung, menukar ammonia dan melakukan pertukaran gas karbon dioksida kepada oksigen,” katanya.Beliau berkata, kebanyakan reka bentuk sistem RAS mempunyai penapis berlainan untuk melakukan keempat-empat fungsi berkenaan dan untuk membersihkan penapis itu hanya memerlukan masa lima minit.

“Penapis ini mempunyai ketinggian 0.6 meter x 0.6 meter dan dipasang bersama tangki fiber berukuran empat meter x satu meter serta tebal empat milimeter berupaya memelihara sehingga 1,000 ekor ikan seberat 500 gram setiap ekor dengan kadar penukaran air rendah.“Sistem ini juga boleh beroperasi secara sendiri tanpa perlu dikawal rapi. Ia direka dengan teknologi tinggi dan boleh digunakan bagi menjalankan aktiviti ternakan ikan secara besar-besaran,” katanya.

Omar berkata, penggunaan sistem modul ini dapat mengawal penyakit dan pembesaran ikan lebih cepat berbanding kaedah konvensional.“Ikan dipelihara mengalami kadar tekanan rendah, secara tidak langsung menghasilkan ikan berkualiti dan mempunyai harga tinggi. Sistem ini membolehkan kawalan persekitaran dilakukan seperti suhu, kandungan air, cahaya ke tahap optima atau diubah suai mengikut kesesuaian spesies ikan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, menerusi sistem itu membolehkan usaha ternakan dilakukan pada bila-bila masa bagi menjamin bekalan berkekalan terutama ikan yang mengikut musim.Omar berkata, sistem ini mudah diuruskan dan penjagaannya sangat mudah. Pemerhatian, penggredan, pemberian makanan, rawatan dan penuaian dapat dilakukan dengan mudah disebabkan kawasan kecil dan teratur.“Kelebihan lain sistem ini ialah berupaya meniru habitat semula jadi spesies ikan tertentu. Keupayaan mengasingkan stok ikan membolehkan pengasingan parasit serta makhluk perosak lain dikurangkan.

“Cara ini tidak memerlukan jumlah air banyak dan sesuai digunakan di kawasan yang mana kaedah penternakan akuakultur secara konvensional lain tidak sesuai digunakan,” katanya.Beliau berkata, kawasan seluas 40 kaki x 40 kaki berupaya mengeluarkan sehingga lima metrik tan setahun. Ia lebih insentif berbanding kaedah akuakultur lain kerana berupaya mengawal saiz, berat, tekstur dan kualiti ternakan.Dengan menggunakan kaedah ini, katanya, ia tidak mengeluarkan atau mengumpul sebarang sisa toksik . Keseluruhan air dikitar semula dan hanya sedikit dibuang yang mana bertindak sebagai baja kepada tanaman.

“Format penternakan secara modular ini membolehkan golongan sasaran membabitkan diri dalam bidang akuakultur sama ada sebagai pendapatan tambahan atau utama. Ia tidak menggunakan tenaga buruh yang ramai dan seorang penternak berupaya menjaga sehingga lima modul iaitu 25 tangki.“Kos memiliki sistem ini sangat berpatutan dan mampu dimiliki serta memberikan pulangan modal dalam lingkungan dua hingga lima tahun, bergantung kepada jenis ikan yang diternak.“Orang ramai boleh memulakan penternakan hanya dengan menggunakan tangki dengan modal serendah RM8,500 bagi menghasilkan ikan sehingga 500 kilogram. Ia jauh lebih intensif daripada kolam tanah ataupun sangkar,” katanya.

3 comments:

ezriisa said...

Assalamualaikum,

Saudara, bagaimana saya boleh dapatkan info lanjut mengenai sistem RAS ni? Dimana hendak dapatkan sistem ni dan berapa kosnya?

zam1980 said...

saya pun ingin bertanyakan soalan yang sama. boleh e-mail ke Zam_diver@yahoo.com.my

Anonymous said...

salam...sy berminat dgn sistem RAS ni..boleh x sy dpatkan gambaran jelas tentang sistem ni..kalau ada gambar..tlg email pada saya..pearl_legend87@yahoo.com..tq