Kebun Warisan's Followers

Sunday, November 21, 2010

BETIK

BETIK

Betik atau nama saintifiknya Carica papaya L. adalah dari genus Carica dalam famili

Caricaceae . Ia adalah buah-buahan jenis beri. Perikarpnya berisi dengan rongga tengah

yang besar, berasal dari ovari superior. Hanya 3 spesies sahaja yang mempunyai

kepentingan hortikultur walau pun sebenarnya terdapat 40 spesies dalam genus carica ini.

Spesies yang biasa ditanam dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi ialah spesies

Carica papaya L.Betik dipercayai berasal dari Amerika tropika. Orang-orang Sepanyol

telah membawa spesies betik ke Filipina dan kemudian dibawa pula ke Malaysia.

Kini betik banyak ditanam di kawasan tropika dan subtropika. Di Malaysia, betik banyak

ditanam di persekitaran rumah. Selain itu, pekebun-pekebun kecil menanam pokok betik

sebagai tanaman komersil. Varieti betik yang biasa ditanam ialah seperti Batu Arang,

Sitiawan, Subang 6 dan Eksotika. Betik boleh didapati dengan banyak di Johor,sekitar

Daerah Larut Matang, Perak dan beberapa kawasan di Selangor dan Pahang. Keluasan

tanaman betik meningkat dari 1903 hektar pada tahun 1992 kepada 4300 hektar pada

tahun 1994. Pengeluaran betik juga meningkat dari 57,090 tan metrik pada tahun 1984

kepada 93,930 tan metrik pada tahun 1992. Ini disebabkan pengeluaran varieti baru seperti

Eksotika.

Morfologi Pokok dan Buah

Pokok betik dapat dikelaskan kepada 3 jenis iaitu:

i)Diesius - bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang berasingan;

ii)Monoesius - bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang sama;

iii)Ginodiesius (hermafrodit) – bahagian bunga jantan dan betina pada bunga yang

sama.

Walau bagaimanapun, spesies Carica papaya L. yang biasa ditanam ialah dari jenis

diesius atau ginodiesius (hermafrodit). Pokok-pokoknya kelihatan sama sahaja kecuali

setelah bunganya keluar. Hanya bunga betina dan hermafrodit akan hasilkan buah.

Setelah 9 hingga 12 bulan penanaman barulah ia mengeluarkan buah.

Varieti yang berlainan akan menghasilkan rasa, rupa bentuk dan saiz yang berbeza.

Biasanya ia berukuran di antara 7 hingga 60cm panjang dan beratnya boleh mencapai

sehingga 9kg. Buah yang muda berwarna hijau dan menjadi kuning apabila masak. Isi

atau pulpa betik berwarna kuning dan juga seakan-akan oren. Bahagian tengah buahnya

mempunyai biji-biji kecil bulat berwarna hitam perang.

Terdapat dua kumpulan betik yang popular di negara-negara ASEAN iaitu kumpulan

pertama yang terdiri daripada varieti yang menghasilkan buah yang besar dan panjang

bujur seperti Subang, Sitiawan, Batu Arang, Kaegdum, Kaegnuan dan Sainampeung.

Kumpulan kedua pula lebih kecil dan bulat seperti Solo dan Eksotika. Kumpulan pertama

adalah lebih berat iaitu lingkungan 1 hingga 3kg dan isinya berwarna merah. Kualiti

buahnya dikatakan tidak begitu baik jika dibandingkan dengan kumpulan kedua yang

mempunyai kualiti lebih tinggi dan berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Indeks Kematangan dan Pemetikan

Buah betik perlu dipetik pada peringkat yang sesuai untuk mengelakkan terjadinya

peranuman yang tidak sempurna dan untuk mendapatkan rasa buah yang sedap. Biasanya

ia dipetik berdasarkan perubahan warna kulit buahnya. Buah betik yang ingin dieksport

ke pasaran yang lebih jauh akan dipetik pada peringkat di mana kuning baru wujud di

bahagian hujung buah. Manakala untuk pasaran tempatan, buah boleh dipetik apabila

sebahagian besar buahnya berwarna kuning.

Nilai Pemakanan

Betik sememangnya buah yang berkhasiat. Bagi setiap 100g bahagian yang boleh

dimakan, betik mengandungi:

- 84.4–90.7g air -0.6-0.7mg besi

-1.0-1.5g protein -2-3mg natrium

-0.1g lemak -39-337mg kalium

-7.1-13.5g karbohidrat -1160-2431ug karoten

-0.5g fiber -0.03-0.08mg vitamin B1

-0.1-0.5g abu -0.07-0.15mg vitamin B2

-11-31mg kalsium -0.1mg niasin

-7-17mg fosforus -69.3-71.0mg vitamin C

Buah betik yang mengkal (agak keras) biasanya dibuat rojak bersama buah-buahan lain

seperti mangga, timun, kedondong dan nanas. Betik muda juga sesuai dijadikan halwa

(jeruk manis). Selain rasanya yang sedap, ia juga boleh dijadikan sebagai manisan untuk

hantaran peminangan atau perkahwinan dengan mengukir buah yang muda kepada

bentuk kelopak bunga sebelum dijeruk.

Betik muda juga mempunyai kegunaan tersendiri dalam petua orang Melayu. Getah betik

muda boleh digunakan untuk menghaluskan tumit kaki yang pecah-pecah. Walau

bagaimanapun, getah betik muda ini juga merbahaya kerana jika ia terkena mata akan

mengakibatkan mata gatal dan bengkak seperti digigit serangga.

Buah betik yang masak selalu dimakan segar sebagai pencuci mulut. Kulitnya dikupas

dan dipotong. Walau bagaimanapun, betik Eksotika lebih sesuai dibelah dua dan dimakan

menggunakan sudu. Betik masak juga boleh dijadikan jem, puree, jus minuman, perisa

aiskrim dan puding. Betik matang yang tidak begitu ranum boleh juga dimasak sebagai

sayur.Daun betik boleh direbus dan dimakan sebagai sayur bersama sambal belacan. Air

rebusannya jika diminum berkhasiat untuk menurunkan suhu badan mereka yang demam

dan menghidapi malaria.

Betik juga boleh digunakan untuk melembutkan daging kerbau yang liat. Satu jenis

keluaran yang dihasilkan untuk tujuan ini ialah papain, sejenis enzim proteolitik dari

getah buch yang hijau muda. Papain juga digunakan dalam penyediaan chewing gum.

Proses-proses yang berkaitan pelembutan kulit binatang (tanning hides) juga

menggunakan papain.

InfoPertanian:Ternakan,Tanaman,Perikanan&AgrotourismSumber/Dipetik:http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/noridah.htm

No comments: