PERTANIAN, PENTERNAKAN, PERIKANAN, TANAMAM, IKAN, KAMBING, LEMBU, AYAM, ITIK, SAYUR, SAYUR SAYURAN, BUAH, BUAH BUAHAN, HERBA, NURSERY, BUNGA, BAJA, BENIH, PROJEK EKSOTIK, BIOTEKNOLOGI, FERTIGASI, AGROTOURISM, ECOTOURISM, ANALISIS PERTANIAN, KURSUS, KOS, HARGA, KERTAS KERJA, PEMBIAYAAN
Sunday, November 21, 2010
PANDUAN MENANAM BETIK - CARICA PAPAYA
PANDUAN MENANAM BETIK - CARICA PAPAYA
(Tanaman Jangka Pendek dan Sederhana)
Nama saintifik bagi betik ialah Carica papaya L. dari keluarga Caricaceae, dikenali juga sebagai 'paw-paw' merupakan sejenis tumbuhan herba jenis saka yang hidup singkat. Tanaman ini dipercayai berasal dari West Indies atau Mexico.
VARIETI DAN PANDUAN MENANAM BETIK
Di Malaysia, terdapat beberapa jenis betik yang dibiak-biak secara tempatan dan juga beberapa jenis dari luar negeri. Betik jenis tempatan seperti Batu Arang, Morib, Subang 6, Taiping 3, Serdang 1 dan Sitiawan mempunyai isi yang berwarna merah. Jenis-jenis yang dibiak di luar negeri mempunyai isi berwarna kuning dan diantaranya ialah Sunrise Solo dan Honey Dew. Keperluan tanaman betik adalah seperti berikut:-
1. Faktor Iklim
Sesuai ditanam di kawasan-kawasan yang mendapat taburan hujan yang sama rata sepanjang tahun. Keperluan hujan tidak kurang dari 1200 mm setahun dan keadaan kemarau boleh menyebabkan keguguran bunga-bunga betik. Suhu sesuai untuk tanaman betik ialah diantara 21-33oC. Tidak sesuai ditanam di kawasan yang mengalami tiupan angin kencang kerana pengakarannya yang cetek pokok mudah tumbang.
2. Faktor Tanah
Memerlukan tanah bersaliran baik. Jenis tanah yang mudah dibanjiri air adalah tidak sesuai. Bagi tanah-tanah yang sederhana sesuai/bermasalah betik boleh ditanam dengan pengurusan yang bersesuaian bergantung kepada masalah yang dihadapi. Masalah dan cara mengatasi adalah seperti berikut:-
CEC sederhana Rendah
Ikut program pembajaan yang disyorkan dan gunakan tambahan baja organik.
Lapisan padat (di bawah 50 cm) atau berbatu
Pecahkan lapisan padat dan buang batu-batu jika perlu. Kemudian buat batas atau timbunan, sediakan lubang tanaman yang sempurna dan ikuti program pembajaan yang disyorkan.
Sangat salir
Adakan sistem pengairan dan gunakan bahan-bahan organan sebagai baja tanaman.
Curam
Elakkan hakisan tanah dengan menanam penutup bumi, menanam mengikut kontor, membina teres atau tapak pentas. Sediakan parit kontor dan lain-lain.
Diantara kultivar-kultivar betik yang disyorkan ialah:-
* Subang 6
Sesuai untuk diproses kerana warna isinya yang menarik serta saiz buahnya seragam. Ia juga boleh dimakan segar kerana senang dihiris dan tidak mudah patah. Jenis ini sangat subur pada peringkat awal pertumbuhan dan berbuah awal, lebih kurang 42-44 minggu selepas disemai. Buah yang masak mempunyai warna kulit kuning seragam dengan permukaan buah yang sangat bersih dan bebas daripada bintik-bintik atau lebam manakala tekstur isinya bagus dan mantap, dengan kandungan gula yang rendah.
* Sitiawan
Betik jenis ini lebih sesuai untuk diproses atau ditinkan kerana hasilnya tinggi dan isinya yang pejal. Ia mempunyai tumbesaran yang sangat subur, ketinggian yang sederhana dan cepat berbuah, kira-kira 44-45 minggu selepas disemai.
* Batu Arang
Mempunyai ketinggian pokok yang sederhana tetapi cepat berbuah. Ianya mula berbunga 4-6 bulan selepas disemai dan mengambil masa selama 5 bulan untuk buah membesar dan masak. Tumbesaran dan penghasilan pokok amat sensitif kepada faktor-faktor alam persekitaran seperti suhu yang tinggi dan kemarau.
* Eksotika
Betik Eksotika ialah hasil kacukan secara berulang-ulang diantara jenis luar negeri Sunrise Solo dengan jenis tempatan Subang 6. Hasil kejayaan ini, betik Eksotika merupakan jenis yang berpotensi untuk pasaran. Pokok Betik Eksotika sederhana tingginya dan mula berbunga pada peringkat umur 3-4 bulan selepas ditanam. Buah akan dihasilkan dan kematangannya akan mengambil masa selama antara 4 ke 5 bulan, dewasa pokoknya setinggi lebih kurang 80 cm dari permukaan tanah.
Kesemua pokok betik eksotika akan menghasilkan buah jantina iaitu bermofrodit dan buah betina. Buah bermofrodit berkeadaan panjang berbentuk pir, kecil di bahagian pangkal dan besar menirus ke bahagian hujung. Sementara buah betina berbentuk bulat. Berat sebiji diantara 600-800 gm dan mempunyai kandungan gula yang tinggi 14-15 TSS. Isinya tebal berwarna samar kemerahan, rongga ovarinya kecil, berbau wangi dan lazat rasanya.
* Betik Panjang
Nama lain: Betik Sekaki atau Betik Hong Kong.
CARA MENANAM
Tanaman betik sesuai kepada tanah yang mempunyai struktur dan saliran yang baik tetapi sentiasa berkeadaan lembab. Tanah yang terendam air tidak sesuai bagi tanaman betik. Pohon betik akan hidup subur di kawasan lapang tetapi tidak terdedah kepada angin yang kencang. Cahaya matahari yang cukup dan taburan hujan yang serata adalah mustahak bagi tanaman betik.
PENYEDIAAN BIJI BENIH
Sebanyak 1,700 pokok anak benih adalah diperlukan bagi tanaman setiap hektar tanah dan ditambah 10% atau 200 pokok lagi untuk sulaman jika ada yang tidak hidup selepas ditanam. Biji benih elok disemai ke dalam polibeg, yang berukuran 15 cm x 22 cm. Isikan polibeg dengan campuran 2 bahagian tanah lapisan atas, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian bahan organik (tahi ayam atau tahi lembu). Sebelum biji benih disemaikan, adalah baik dirawat terlebih dahulu dengan racun thiram untuk mengelakkan terkena serangan kulat.
Tanamkan biji benih sedalam 2 cm ke dalam tanah. Jangan tanam terlampau dalam kerana ditakuti benih tidak akan bercambah disebabkan terlampau cetek biji benih yang disemai akan berubah-ubah tempat semasa menyiram dan kecambahannya akan terganggu. Biji benih akan bercambah dalam masa satu minggu. Sedang anak benih beransur membesar, taburkan racun siput di merata kawasan, untuk mengelakkan daripada serangan siput. Selain anak benih berumur 6-8 minggu ataupun telah berdaun 8-12 helai, anak semaian boleh diubah ke ladang.
KAWASAN PENANAMAN
Kawasan yang akan ditanam hendaklah dibersihkan dan dibajak. Gali lubang sedalam 30 cm dan 30 cm lebar. Jarak tanaman 1.8 m x 2.7 m, boleh ditanam sebanyak 1,700 pokok sehektar. Semasa menanam gaulkan tanah di permukaan atas dengan baja phosphate sebanyak 200 g -250 g. Pilihlah musim hujan yang sederhana apabila hendak menanam, kalau masa hujan yang banyak boleh menjadi keadaan terlalu lembab, dan akar betik yang belum berfungsi itu menjadi busuk.
Pembajaan
Jarak tanaman
Kepadatan tanaman sehektar
(pokok)
Umur pokok
(bulan)
Jenis baja
kadar baja mengikut jenis tanah (kg/pokok)
Tanah mineral
Tanah pasir
sebelum/semasa menanam
Pembajaan Asas
TSP
Organan
0.25
5.0
0.25
6.00
1.8m x 2.7m
2.0m x 2.7m
2.0m x 3.4m
2.5m x 3.0m
2.7m x 3.0m
2000
1800
1420
1300
1200
1 bulan
2 bulan
3 bulan
4 bulan
> 5 bulan
15:15:15
15:15:15
15:15:15
12:12:17:2
12:12:17:2
0.05
0.05
0.05
0.10
0.35
0.05
0.05
0.10
0.35
0.35
setiap 2 bulan
setiap 3 bulan
setiap 6 bulan
12:12:17:2
12:12:7:2
Organan
0.35
-
2.0
0.35
6.00
-
KAWALAN RUMPAI
Apabila pokok muda, rumpai di keliling pokok dikawal dengan mencangkul atau mencabut dengan tangan. Rumpai diantara pokok boleh juga dikawal dengan semburan racun glufosinate ammonium (Basta). Selepas itu, ' 'spot spraying' dengan Glufosinate ammonium atau paraquat dibaut setiap 2 bulan sekiranya perlu. (Racun herba sistemik seperti Glyphossate dan 2, 4-D Amine tidak boleh digunakan untuk betik).
MENJAGA MUTU BUAH
Pokok betik akan mula berbunga apabila berumur lebih kurang 4 bulan selepas ditanam. Penjarangan buah perlulah dijalankan untuk menjaga bentuk dan saiz buah yang seragam.
PENGAIRAN
Jika musim terlampau kering, pokok-pokok betik perlu disiram air, jika tidak pertumbuhannya akan terganggu. Kekurangan air juga boleh menyebabkan bunga-bunga betik menjadi gugur.
PENYAKIT DAN PEROSAK TANAMAN BETIK SERTA PENGAWALANNYA
PENYAKIT:
1. Antraknos (Colletotrichum gleosporioides)
Dahan dan ranting mati pucuk. Batang kering dengan cepat, bermula dari hujung dan merebak ke bahagian bawah batang. Daun menjadi kecut dan gugur. Bahagian yang diserang mempunyai garis-garis perang gelap di hujung. Amalkan pertanian yang baik dan guna racun kulat mengikut label seperti mancozeb, thiophanate-metyl, prochhloraz zinc complex. Musnahkan buah dan daun yang berpenyakit.
2. Reput Akar (Phytopthora parasitica)
Daun muda menjadi layu, daun tua menjadi kuning dan patah terkulat di sekeliling batang sebelum jatuh. Pokok tidak tahan kemarau dan senang tumbang bila ditiup angin. Amalkan pertanian yang baik. Cabut dan musnah pokok yang berpenyakit dan jaga kebersihan ladang. Gunakan racun Benomyl (0.1%) atau Mancozeb (0.1%) serta elakkan dari air bertakung dalam kawasan bertanam
3. Daun berumpun dan kerekot (Cladosporium oxysporum)
Vektor: Kutu Trip
Hanya terdapat pada betik ekxotika. Pucuk daun kelihatan cacat dan terdapat bintik daun serta bintik berlubang 1-3 mm. Pada daun tua kelihatan binti perang, sekelilingnya berwarna kuning dan daun kelihatan kerekot. Dalam keadaan teruk hanya tinggal tangkai daun ssahaja. Pokok keliahtan bantut dan buah menjadi kecil. Gunakan racun serangga mengikut label untuk mengawal kutip trip serta racun kulat yang sesuai.
4. Bintik Berlubang (Corynespora cassiicola)
Daun matang kelihatan bintik-bintik perang muda berbentuk bulat dan berlubang di tengash sehingga 5 mm lebar. Musnahkan daun-daun yang dijangkiti terutama daun yang tua dan duan gugur. Amalkan pertanian yang baik dan pembajaan yang mencukupi.
5. Penyakit Virus Bintik Cincin Betik
Penyakit virus bintik cincin betik ini adalah penyakit yang merbahaya kepada tanaman betik. Ianya disebabkan oleh sejenis virus dan sangat mudah merebak. Virus ini tidak boleh dikawal dengan racun perosak. Penyakit ini belum pernah dijumpai di Malaysia, tetapi dilaporkan telah merebak di negara jiran.
Penyakit Bintik Cincin Betik menyerang tanaman betik di peringkat anak dan pokok dewasa. Di peringkat anak pokok, tanda-tanda serangan adalah seperti berikut:
* Daun-daun muda terbentuk tidak sempurna.
Tanda-tanda kerosakan pada batang:
* Kelihatan jalur-jalur basah hijau gelap seperti direndam air (water-soaked streak) pada tangkai daun dan batang pokok.
Kawalan:
* Musnahkan pokok yang berpenyakit
* Musnahkan juga perumah lain seperti tanaman jenis timun (cucurbits)
Di peringkat pokok dewasa, tanda-tanda serangan boleh dilihat pada daun, batang dan buah.
Tanda-tanda awal serangan pada daun:
* Daun muda mula menguning (kuning cair)
* Di peringkat pertengahan serangan, lingkaran daun ketiga (dari atas) menjadi kuning nyata.
Kawalan:
* Musnahkan pokok yang berpenyakit
* Musnahkan juga perumah lain seperti tanaman jenis timun (cucurbits)
Tanda-tanda pada buah:
* Bintik-bintik bewarna hijau gelap di peringkat buah muda
* Lingkaran berwarna kekuning-kuningan melingkari tompok-tompok hijau gelap di peringkat buah matang.
* Buah menjadi kecil dan tidak sempurna bentuknya jika diserang di peringkat muda.
Tanda-tanda pada batang:
* Pokok terbantut dan kecil
* Kelihatan lakaran hijau berminyak atau bintk-bintik hijau pada batang
Tanaman betik yang dijangkiti penyakit ini akan terencat pertumbuhannya, mengurangkan hasil sebanyak 60%, merendahkan mutu dan saiz buah dan warna isi pucat dan tidak manis. Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti tersebut di atas, sila hubungi:-
* Pejabat Pertanian untuk mengesahkannya.
* Musnahkan tanaman yang diserang dengan membakarnya.
Selain dari itu, elakkan daripada menanam tanaman selingan berikut dalam kebun betik tuan:-
* Tembikai atau Timun Cina
* Petola
* Labu
* Tanaman-tanaman lain dari keluarga mentimun
Tanaman selingan dari keluarga mentimun boleh menyebabkan tanaman betik tuan diserang penyakit bintik cincin. Oleh itu, sebagai langkah keselamatan, kerapkan pemeriksaan kebun betik tuan. Tindakan awal mengesan penyakit ini menyelamatkan masa, tenaga dan wang.
Penyakit Mati Rosot Betik (papaya dieback)
Klik untuk makluman seterusnya!
MUSUH / PEROSAK TANAMAN BETIK DAN KAWALANNYA
1. Lalat Buah (Bactrocera spp.)
Berenga mengorek serta memakan isi buah menyebabkan isi buah menjadi lembut dan busuk. Musnah buah yang diserang dengan cara menanam ke dalam tanah sedalam satu kaki. Pasang perangkap methyl-eugenol. Gunakan racun seperti cypermethrin.
2. Hamama Merah (Tetranychus spp.)
Menyerang bahagian pucuk, daun dan buah pada semua peringkat dengan menghisap cairan. Serangan meningkat di musim kemarau. Sebur dengan racun hamama tetradifon.
3. Kutu Trip (Thrips parvispinus)
Menyerang bahagian pucuk, daun muda dan kudup bunga pada semua peringkat pertumbuhan. Menghisap cairan dari bahagian yang diserang. Sembur dengan racun serangga seperti deltamethrin.
MEMUNGUT HASIL
Selepas lebih kurang 8-9 bulan ditanam, pokok betik jenis ini sudah mula mengeluarkan hasil. Bila sebahagian kulit buahnya berwarna kuning, bolehlah dipetik buahnya. Pada peringkat ini, buahnya senang dikendalikan kerana tidak mudah rosak. Disamping itu dapat dihindarkan dari terkena serangan lalat buah dan penyakit Antraknos. Buah-buah yang dipetik di peringkat ini tahan disimpan selama seminggu. Bagi sepokok, hasilnya boleh mencapai kepada 25 kilo sepanjang hayatnya. Masa pengeluaran, hasil yang banyak adalah diantara 18-24 bulan, bermula dari bulan ke sepuluh selepas ditanam di ladang.
INDEKS KEMATANGAN DAN PENUAIAN BUAH BETIK
Umumnya buah betik dituai pada peringkat umur 150-164 hari selepas bunga kembang. Oleh sebab peringkat kematangan betik sangat berkait rapat dengan perubahan warna kulit buah, penuaian sering dilakukan berdasarkan indeks warna buah tersebut. Buah betik sudah boleh dituai sebaik sahaja terdapat perubahan warna pada kulit buah. Perubahan warna kulit buah ini biasa mula berlaku di bahagian lurah pada hujung buah.
Indeks warna 1
:
Berwarna hijau sepenuhnya. Belum matang, tidak akan masak dengan sempurna
Indeks warna 2
:
Berwarna hijau dengan sedikit kesan kekuningan, sesuai untuk pasaran eksport.
Indeks warna 3
:
Warna kulit lebih hijau daripada kuning sesuai untuk pasaran eksport.
Indeks warna 4
:
Warna kulit lebih kuning daripada hijau, sesuai untuk pasaran tempatan.
Indeks warna 5
:
Kulit berwarna kuning dengan kesan kehijauan, sesuai untuk pasaran tempatan.
Indeks warna 6
:
Kulit berwarna kuning sepenuhnya, masak sepenuhnya.
Buah pada indeks warna 1 masih tidak sesuai dipetik kerana kematangannya tidak jelas. Walaupun isi sudah kemerahan, kulitnya masih hijau dan buah ini dikhuatiri tidak masak dengan sempurna dan kandungan pepejal larut kurang daripada 10%. Di Hawaii, buah petik yang masak perlu mengandungi jumlah pepejal larut 11.5% bagi memenuhi gred piawaian. Buah betik untuk tujuan eksport sebaik-baiknya dituai pada indeks warna 2 atau selewat-lewatnya pada indeks warna 3. Buah pada peringkat ini lebih tahan terhadap operasi pengendalian lepas tuai dan tempoh penyimpannya lebih panjang. Buah ini mempunyai ciri-ciri rasa yang memuaskan setelah masak. Penuaian buah pada indeks warna 4 dan 5 pula mungkin hanya sesuai untuk pasaran tempatan kerana hayat penyimpanannya pendek iaitu buah akan masak dengan cepat. Buah-buah ini juga tidak sesuai untuk pengangkutan yang jauh kerana tidak tahan terhadap himpitan sama sendiri disebabkan buah sudah lembut.
Indeks Warna
Buah Betik Eksotika
Penuaian mestilah dilakukan dengan cermat kerana buah betik sangat mudah tercedera. Penuaian yang sebaik-baiknya ialah dengan memulas tangkai menggunakan tangan.
SPESIFIKASI PIAWAIAN DAN GRED BETIK EKSOTIKA
(Sumber: FAMA)
Spesifikasi piawaian dan gred ini adalah untuk Betik Eksotika (II) yang nama botaninya Carica Papaya L.Var.Eksotika dari famili CARICACEAE. Nama asalnya MARDI Backcross Solo.
Definasi Terma
Bagi tujuan spesifikasi tersebut, terma-terma yang digunakan akan bermaksud:-
* Tahap kematangan (terdiri dari 6 indeks)
Indeks 1 : Seluruh permukaan kulit berwarna hijau sepenuhnya. Tidak sesuai untuk pasaran.
Indeks 2 : Permukaan kulit berwarna hijau dengan sedikit tompok kekuningan. Buah telah matang.
Indeks 3 : Permukaan kulit berwarna hijau melebihi permukaan yang berwarna kuning.
Indeks 4 : Masak. Permukaan kulit berwarna kuning melebihi permukaan yang berwarna hijau.
Indeks 5 : Seluruh permukaan kulit berwarna kuning dengan sedikit tompok hijau.
Indeks 6 : Terlalu masak, keseluruhan permukaan kulit berwarna kuning. Tidak digalakkan untuk dipasarkan.
* Kotor
Buah yang terdapat kesan-kesan kotoran yang tidak dibersihkan seperti kesan getah, serangga, tanah dan lain-lain bahan asing.
* Segar
Keadaan buah tidak kecut dan kulit tidak berkedut.
* Cacat
Buah yang bentuknya tidak normal seperti bengkok dan berbonggol.
* Cacat Rupa
Tanda-tanda yang mencacatkan rupa seperti berbintik dan kesan parut serta tidak boleh dibersihkan, tetapi tidak menjejaskan isi buah. Kesan ini meliputi 10% - 25% permukaan kulit buah.
* Rosak
Buah yang rosak akibat kecederaan mekanikal seperti luka, pecah, lebam dan busuk atau reput akibat serangan penyakit dan makhluk perosak serta kesan seperti cacat rupa yang melebihi 25% permukaan kulit buah.
* Tahap Kematangan Seragam
Konsainan yang mengandungi satu indeks tahap kematangan atau gabungan 2 indeks yang terdekat.
Keperluan Minima
* Agak bebas daripada rosak disebabkan kecederaan mekanikal dan penyakit, kotoran, kecacatan dan sesuai untuk dimakan oleh manusia.
* Tangkai buah yang tidak melebihi 0.5 cm
* Telah mencapai peringkat kematangan yang mencukupi (indeks 2 - indeks 5) seperti yang dikehendaki oleh pasaran.
Pengelasan Gred dan Saiz
* Gred 1:
Kandungan bahan pepejal larut > 10oBrix
Kematangan yang seragam (maksimum kelonggaran: 5%)
Kerosakan (maksimum kelonggaran: 10%)
Kecacatan: cacat, kotor, cacat rupa (maksimum kelonggaran: 10%)
Saiz yang seragam: berat > 600 gm (maksimum kelonggaran: 5%)
* Gred 2:
Kematangan yang seragam (maksimum kelonggaran: 10%)
Kerosakan (maksimum kelonggaran: 15%)
Kecacatan: cacat, kotor, cacat rupa (maksimum kelonggaran: 20%)
Saiz yang seragam: berat > 300 gm x 600 gm (maksimum kelonggaran: 5%)
* Luar Gred:
Buah yang tidak memenuhi ciri di atas.
Pembungkusan dan Perlabelan
* Pembungkusan
Betik Eksotika daripada gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Kertas atau bahan lain yang digunakan untuk membalut atau mengalas hendaklah bersih dan tidak akan menyebabkan kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Berat bersih yang dibenarkan bagi satu unit pembungkusan ialah tidak melebihi 30 kg.
* Perlabelan
Tiap-tiap unit pembungkusan hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat berikut:-
- Tarikh
- Nama / Kod Penanam
- Nama / Kod Pengeksport
- No. Kad Pengenalan
- No. Pendaftaran Syarikat
- Alamat
- Komoditi
- Berat Bersih
- Gred
Persampelan
Bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 78:1973 Method of Sampling Fresh Fruits atau kaedah statistik yang dipersetujui.
KECEDERAAN DINGIN BUAH BETIK
(Sumber: Teknotani 1/97)
Penyimpanan buah-buahan pada suhu rendah boleh melambatkan proses buah masak. Walau bagaimanapun, kebanyakan buah tropika dan subtropika peka terhadap suhu rendah. Buah-buahan tersebut boleh mengalami kerosakan fisiologi yang dikenali sebagai kecederaan dingin apabila didedahkan pada suhu di bawah had kritis. Suhu kritis kecederaan dingin bagi kebanyakan buah tropika adalah sekitar 10-15oC. Tahap kecederaan dingin pada produk yang peka terhadap suhu rendah bergantung pada jangka masa penyimpanan serta rendah suhu.
Tahap kematangan juga mempengaruhi berlakunya kecederaan dingin. Buah pada peringkat praklimakterik iaitu pada peringkat awal kematangan lebih peka kepada kecederaan dingin berbanding dengan buah pada peringkat pascaklimakterik.
Bagi buah betik, tahap dan simptom kecederaan dingin yang berlaku berbeza-beza mengikut varieti dan kaedah penyimpanan. Kecederaan dingin pada betik Solo berlaku pada suhu penyimpanan 7oC, manakala bagi betik Eksotika, simptomnya mula kelihatan pada keadaan berikut:-
* setelah disimpan selama 5 hari pada suhu 10oC
* setelah disimpan selama 4 minggu pada suhu 12oC
Simptom kecederaan dingin:
Antara simptom kecederaan yang biasa berlaku pada buah betik ialah:-
* lekukan pada permukaan kulit
* bintik-bintik berwarna perang/hitam
* peningkatan serangan kulat dan penyakit
* masak tidak seragam atau tidak masak
* lebam
Mengatasi kecederaan dingin:
Beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan mengolah suai keadaan penyimpanan, pengawalan atmosfera di sekeliling buah, pengawalan kelembapan, penyimpanan pada tekanan rendah, penggunaan bahan kimia dan modifikasi genetik.
Kaedah mengolah suai keadaan penyimpanan memberi kesan positif pada buah betik. Kaedah ini dapat dilakukan dengan berbagai-bagai cara. Antaranya adalah dengan penyimpanan tertangguh, iaitu menyimpan buah yang peka terhadap suhu dingin pada suhu ambien untuk seketika sebelum disimpan pada suhu dingin, penyimpanan berselang-seli pada suhu dingin dan suhu ambien dan pendedahan buah pada suhu lebih tinggi sedikit daripada suhu kecederaan dingin.
Kaedah mengekalkan kelembapan persekitaran yang tinggi semasa penyimpanan juga boleh membantu mengelakkan kecederaan dingin. Caranya ialah dengan pembungkusan atmosfera terubahsuai. Sistem penyimpanan yang sesuai dan pengawalan suhu yang optimum amat penting untuk memanjangkan tempoh simpanan sesuatu komoditi. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius dalam merancang pengeluaran dan pemasaran komoditi-komoditi yang mempunyai potensi eksport.
Buah betik yang baru berputik dari kudup bunga.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi:-
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
Kementerian Pertanian Malaysia
Bangunan FAMA POINT, Lot 17304, Jalan Persiaran Satu
Bandar Baru selayang, 68100 Batu Caves
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 603-61389622 Faks: 603-61383650 / 61385200
Emel: fama@pop.moa.my Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya
Laman web: http://www.famaxchange.org/index.php
InfoPertanian:Ternakan,Tanaman,Perikanan&AgrotourismSumber/Dipetik:
Portal Rasmi Jabatan Pertanian Negeri Perak (Web Pertanian yg sangat hebat)
SILA LAWATI WEB TERSEBUT
http://pertanianperak.gov.my/jpp/index.php?option=com_content&view=article&id=182:panduan-menanam-betik-carica-papaya&catid=68:manual-tanaman&Itemid=385
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment