‘Pokok emas’ jana pendapatan lumayan
Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
ROMPIN 18 Okt. –
Tanaman roselle yang
dikatakan berasal dari India kini tidak asing lagi
bagi masyarakat negara ini. Tanaman tersebut
bukan sahaja berkhasiat malah mampu menjana
pendapatan lumayan kepada pengusahanya.
Ada ketikanya buah roselle yang kaya dengan
vitamin C, B1, B2 dan D dianggap sebagai
‘pokok emas’ kerana setiap bahagiannya mempunyai
keistimewaan tertentu.
Keistimewaan yang dimaksudkan ialah bermula
daripada buah, daun hinggalah ke batang pokok
berkenaan yang boleh dijadikan sajian atau untuk
tujuan perubatan tradisional.
Malah, roselle atau nama tempatannya seperti asam paya, asam kumbang atau asam susur merupakan
spesies bunga seperti bunga raya yang mudah ditanam dan mengeluarkan hasil selepas 65 hari ditanam.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila kira‐kira 22 penduduk di Kampung Tebu Hitam di sini mengambil
inisiatif mengusahakan tanaman tersebut.
Menurut salah seorang pengusaha roselle, Mohd. Don Bakar, 68, tanaman itu mudah dijaga dan bernilai
tinggi jika dibandingkan dengan sayur‐sayuran lain.
‘‘Sejak saya mengusahakan roselle tiga tahun lalu, banyak perbezaan yang dialami dan kerja‐kerja
penanaman juga lebih mudah. Jika dibandingkan dengan sayur‐sayuran, tanaman roselle mudah
diusahakan dan tidak memerlukan kos yang tinggi.
‘‘Malah, ia tidak mudah diserang penyakit seperti tanaman yang lain,” katanya ketika ditemui selepas
majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
dengan peserta ladang kontrak di Kampung Tebu Hitam di sini, baru‐baru ini.
Maznah Mazlan dan Zainuddin Wan Yusof
menunjukkan dua jenis produk daripada
roselle yang diusahakan oleh penduduk
Kampung Tebu Hitam, Rompin, kelmarin.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.
Turut hadir Timbalan Pengarah FAMA negeri (Pengurusan), Norazmin Fithri Abdul Aziz; Pegawai FAMA
Daerah, Zainuddin Wan Yusof dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah, Shaharudin Ramli.
Mohd. Don memberitahu, dia memilih untuk mengusahakan tanaman tersebut setelah diperkenalkan
oleh seorang rakannya beberapa tahun lalu.
‘‘Sebelum ini saya mengusahakan sayur‐sayuran tetapi setelah melihat potensi pendapatan yang begitu
memberangsangkan maka saya mengambil keputusan untuk terus mengusahakannya.
‘‘Kerja‐kerja penanaman begitu mudah apabila mendapat kerjasama dari Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) terutama untuk mendapatkan benih,” jelasnya.
Bagi Arman Abu, 34, sejak tanaman itu diusahakan oleh beberapa penduduk kampungnya, dia
mengambil peluang menjual buah roselle dan beberapa jenis makanan berasaskan roselle.
‘‘Saya cukup gembira apabila tanaman ini diperkenalkan di sini kerana dapat menjana pendapatan
harian saya.
‘‘Selain menjual buah roselle yang diperoleh dari ladang penduduk di sini, saya turut
mempelbagaikannya dengan menghasilkan jem, jus minuman, biskut, kek, puding dan acar.
‘‘Apa yang saya perhatikan ialah minuman roselle kini mula menarik perhatian penduduk sekitar,”
jelasnya.
Apa yang boleh dibanggakan kata Arman, ialah tanaman roselle di kawasan tersebut mula menarik
perhatian Jabatan Pertanian negeri termasuk FAMA.
Sementara itu, Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata,
pihaknya bercadang menjadikan kawasan berkenaan sebagai kawasan pengeluaran roselle dengan
menyediakan tanah seluas 60 hektar untuk penanamannya.
‘‘Pada masa ini tanaman ini diusahakan di kawasan seluas enam hektar sahaja dengan pengeluaran kirakira
400 kilogram sebulan.
‘‘Oleh itu, saya akan berusaha dan berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk mengisytiharkan
kawasan ini sebagai kawasan pengeluaran roselle,” katanya.
Maznah berkata, tanaman roselle mempunyai potensi yang cerah untuk dimajukan apabila ia turut
dieksport ke Australia.
‘‘Selain itu, ia mendapat permintaan yang begitu tinggi daripada orang ramai di negara ini,” tambahnya
InfoPertanian:Ternakan,Tanaman,Perikanan&Agrotourism.Petikan dari sumber luar untuk perkongsian semata2.
No comments:
Post a Comment