Artikel Utusan Malaysia
Hisham usahawan fertigasi berjaya
Oleh JAMLIAH ABDULLAH utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR 10 Feb. –
Berbudi kepada tanah biar apa cara sekali pun, pasti mendatangkan keuntungan bagi mereka yang gigih seperti yang telah dibuktikan oleh usahawan tani, Mohamad Hisham Md. Isa.
Mohamad Hisham, 38, yang menjadi usahawan sayur-sayuran fertigasi sejak 2006, berjaya meraih pendapatan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
Namun, berbeza dengan kebanyakan usahawan fertigasi lain, Mohamad Hisham mengkhususkan perniagaannya kepada jualan anak pokok dan pokok sahaja berbanding hasil tanaman.
Melalui cara tersebut dia mampu meraih pendapatan berganda berbanding menjual hasil tanaman tersebutnya di pasar.
Tapak semaiannya, Sharm Fertigasi di Simpang Empat di sini, menempatkan lebih 25,000 anak pokok termasuk 1,000 pokok pelbagai sayur-sayuran seperti cili, terung, tomato, sawi dan lobak merah.
Bercerita tentang pembabitan awalnya dalam bidang tersebut, kata Mohamad Hisham, minatnya bermula sejak menyertai satu karnival anjuran Jabatan Pertanian negeri lima tahun lepas.
“Untuk karnival tersebut saya membawa lebih 1,000 anak pokok dan pokok cili untuk dijual dan sambutannya sangat menggalakkan kerana semuanya habis dijual.
“Dari situ timbul idea daripada menjual buahnya, kenapa tidak dijual anak pokok atau pokoknya saja dan tidak sangka idea ini menjadi,” katanya ketika ditemui di tapak semaiannya hari ini.
Tambahnya, selain mempunyai pelanggan dalam kalangan penduduk tempatan, dia turut membekalkan anak pokok dan pokok tersebut kepada agensi kerajaan dan usahawan tani lain.
“Saya pernah mendapat tempahan 20,000 anak pokok daripada seorang usahawan dari Terengganu.
“Setiap anak pokok saya jual cuma 50 sen, sementara pokok besar pula daripada RM3 hingga RM20 bergantung kepada jenis tanaman,” katanya lagi.
Katanya, konsep tapak semaian tanaman fertigasi sayur-sayurannya ini mendapat sambutan, terutama dalam kalangan mereka yang bekerja dan tidak mempunyai banyak masa di rumah.
“Tidak dapat dinafikan saranan kerajaan agar menghijaukan kawasan rumah masing-masing mendapat sambutan, apatah lagi dengan harga sayur-sayuran sekarang tinggi.
“Untuk menanam dari benih bagi sesetengah orang agak susah. Jadi, kami sediakan anak-anak pokok ini untuk mereka yang hanya perlu dibaja sekali sehari.
“Dalam masa tiga bulan misalannya bagi pokok cili, mereka sudah boleh memetik hasilnya,” cerita beliau yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Anak pokok dan pokok cili, kata Mohamad Hisham, antara yang paling popular dalam kalangan pelanggannya.
Katanya, terdapat lebih tujuh jenis tanaman cili di tapak semaian tersebut dan paling mendapat sambutan adalah baka 568 dan 223.
“Harga cili sekarang boleh mencapai sehingga RM15 sekilogram. Jadi, fikirkan berapa yang mampu seseorang itu berjimat jika menanamnya daripada membeli di pasar,” katanya.
Selain membekalkan anak pokok dan pokok, Sharm Fertigasi turut menjual pelbagai kelengkapan fertigasi seperti peralatan dan baja.
Bagi perancangan masa depan, kata Mohamad Hisham, dia berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan Sharm Fertigasi di Sungai Petani dalam masa terdekat.
“Saya berhasrat untuk memberikan fokus dalam bidang ini, kerana banyak jenis perniagaan yang saya ceburi daripada jual cakera padat di pasar malam hinggalah kepada pakaian terpakai, namun gagal.
“Saya tahu perniagaan berasaskan makanan ini tidak akan putus, malah dengan menceburi bidang ini sedikit sebanyak dapat membantu orang ramai menyahut saranan kerajaan,” katanya.
Lagipun, katanya, teknik tanaman fertigasi mudah dan tidak memerlukan kawasan luas, memadai menggunakan kawasan lapang sekitar kediaman sahaja.
InfoPertanian:Ternakan,Tanaman,Perikanan&Agrotourism
No comments:
Post a Comment