PANDUAN MENANAM BAWANG
Sumber:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Nama Saintifik
Famili : Allium cepa L.
: Alliaceae
Di Malaysia terdapat beberapa jenis bawang merah yang ditanam iaitu jenis Siam, Indonesia dan India.
KEADAAN TANAH
Tanah yang sesuai bagi bawang merah ialah tanah yang pengaliran airnya sempurna seperti tanah gembur berpasir atau tanah pasir peroi yang kaya dengan bahan reputan. Tanah gambut juga didapati sesuai dan keasidan tanah ialah antara 6.5-7.8. Sekiranya tanah kurang subur, penambahan baja organan seperti tahi lembu dan sebagainya adalah disyorkan.
Pengairan yang mencukupi dalam lima minggu selepas menanam dan kering setelah pokok berumur 8 minggu adalah penting. Penggunaan sungkupan seperti jerami padi dapat mengekalkan kelembapan dan mengawal suhu tanah. Kawalan rumpai dibuat pada peringkat awal pertumbuhan dan semasa penyediaan tanah.
PENANAMAN
Menyedia Batas
Di tanah gambut dan gambut halus (muck) yang tidak bertakung air; bawang ditanam di tanah rata tanpa batas. Bagi tanah-tanah lain dan di kawasan-kawasan air senang bertakung, batas disediakan setinggi 20-30 cm (8-12 inci) dan 91-122 cm (36-48 inci) lebar. Jarak antara batas selalunya 66-91 cm (26-36 inci) dan panjang batas bergantung kepada petani sendiri.
Menyedia Benih
Bawang jenis India adalah lebih baik dari jenis yang lain (Thailand, Filipina dan Cina) dari segi pertumbuhan, ketahanan terhadap gejala 'White Tip' (iaitu kekeringan bahagian hujung daun) dan penghasilan bawang. Saiz bebawang yang digunakan semasa menanam tidak memberikan kesan yang bererti ke atas jumlah hasil. Bagi jenis berlabu panjang rencong memerlukan sebanyak 1210 kg untuk sehektar (8 pikul seekar) manaka jenis bulat pendek, kadar benih yang diperlukan untuk sehektar ialah sebanyak 1512 kg (10 pikul seekar). Untuk mendapatkan hasil yang baik, benih hendaklah dipilih dari labu yang matang, tidak berpenyakit dan telah dikeringkan sekurang-kurangnya 6 minggu selepas dituai.
Menanam
Labu-labu bawang untuk dijadikan benih didebu atau dicelup di dalam racun cendawan sebelum menanam. Benih ditanam dengan menimbus 1/3 bahagian dari labu benih dengan tanah dan meninggalkan 2/3 bahagian lagi di permukaan tanah. Jarak tanaman yang diguna ialah 13 x 13 cm (5 x 5 inci).
Amalan memotong di bahagian atas hujung bebawang sebelum menanam tidak menunjukkan kesan dalam mempercepatkan percambahan, sebaliknya cara ini akan menggalakkan jangkitan penyakit seperti jangkitan Fusarium. Dengan itu amalan memotong bahagian atas hujung bebawang sebelum menanam adalah tidak digalakkan.
Bekalan air yang secukupnya di peringkat awal pertumbuhan bawang mungkin dapat mengurangkan kejadian penyakit mati pucuk dan reput bebawang. Penggunaan sungkupan adalah digalakkan di mana kandungan air dan suhu tanah dapat dikawal. Bagi mengurangkan masalah, penanaman bawang hendaklah dijadualkan mengikut keadaan cuaca. Kerja-kerja menanam dan peringkat awal pertumbuhan hendaklah jatuh pada musim hujan dan memungut hasil pada musim kering.
PENJAGAAN
Mengawal rumpai
Penggunaan racun pra-cambah (Lasso) selepas menanam adalah digalakkan. Cara mencabut dengan tangan perlulah dilakukan dari peringkat awal lagi agar pertumbuhan akar bebawang tidak terjejas.
Membaja
Nisbah dan waktu membaja bawang merah yang ditanam di Muar dan Melaka adalah seperti berikut:-
Waktu Membaja Baja campuran terus
Jumlah Baja Digunakan
(kg/ha) (lb/ekar) (Ka/ha) (lb/ekar) (lb/ekar)
Semasa menanam
N
P2O5
K2O
90
112
135 80
100
120 664 591
atau I.C.I. Compound 88
989 800
Sebulan selepas menanam
N
P2O5
K2O
67
56
67 60
50
60 381 339
atau I.C.I. Compound 55
483 430
MENGAWAL MUSUH DAN PENYAKIT
Musuh
Bagi tanaman bawang merah (Alliaceae) tidak terdapat musuh yang merbahaya tapi untuk langkah berjaga-jaga, sembur 2 minggu sekali dengan Dipterex kekuatan 0.1% bahan aktif. Ulat ratus (spodoptera litura) memakan daun secara berkelompok. Buat giliran tanaman.
Penyakit pokok dan cara kawalannya
Hawar daun / Tumpuk mungu dan cumut
Sembur dengan Maneb (Manzate D) sebanyak 280-560 gm / 898 liter air sehektar.(4-8 oz / 80 gelen air/ekar).
Reput bebawang
Pastikan saliran air sempurna. Rendam benih dalam racun kulat sebelum menanam. Jangan lukakan bebawang sebelum dan selepas menuai dan amalkan tanaman giliran.
Tumpuk ungu (Alternaria porri)
Bintik-bintik pada mulanya berwarna kelabu. Bintik akan membesar dan merekah berwarna ungu. Akhirnya daun menjadi kering dan layu. Rawat benih dengan racun kulat sebelum menanam. Semburkan dengan thiram, ziram atau maneb.
Pucuk putih (fisiologi)
Hujung daun menjadi putih dan kering. Hasil akan berkurangan.
MEMUNGUT HASIL
Hasil mula dipungut 80-90 hari selepas menanam. Hasil yang didapati sebanyak 10-13 t/ha (66-85 pikul/ekar) adalah tinggi.
MENGERING DAN MENYIMPAN
Selain dari cara menjemur di bawah matahari, bebawang boleh dikeringkan dengan menggantungkan ikatan bebawang ke atas ampaian tali di dalam bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik. Cara ini didapati lebih berkesan dan memerlukan tenaga buruh yang kurang serta kadar pereputan bebawang rendah jika dibandingkan dengan cara menjemur di bawah matahari.
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.
HALANGAN PENGELUARAN
Bawang merah boleh ditanam dengan jayanya di kebanyakan tempat di Malaysia. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan sebelum sebarang projek berekonomi berskala besar dapat dilaksanakan. Antara masalah utama adalah seperti berikut:-
Kos yang tinggi dan ketiadaan biji bebawang yang bermutu untuk digunakan sebagai bahan tanaman.
Jika benih (true seeds) murah digunakan, amalan-amalan agronomi yang diwujudkan untuk biji bebawang perlu diubahsuai.
Kejadian 'keputihan-hujung' daun bawang adalah masalah biasa yang tidak menentu dan boleh timbul bila-bila masa di sepanjang pengeluaran bawang merah tempatan. Bergantung pada peringkat pembesaran pokok bawang, apabila simptom pertama kelihatan, boleh menyebabkan sedikit atau kesemua tanaman musnah (tiada hasil langsung).
Hujan yang sukar diramal boleh menyebabkan kehilangan hasil ketika dan selepas penuaian bebawang.
Kurangnya maklumat tentang keperluan penyimpanan bebawang kultivar benih tulen (true seeds).
Penanaman bawang merah di Malaysia mempunyai potensi yang baik. Kejatuhan nilai ringgit Malaysia menjadikan bawah merah import mahal dan bawang merah tempatan menjadi lebih kos kompetitif. Penanaman secara kecil-kecilan perlu dijalankan oleh petani-petani kecil kerana pendekatan ini mampu mengurangkan kos disamping memberi pulangan yang lebih baik berdasarkan penjimatan kos oleh sebab penggantian kos tenaga upah kepada kos tenaga keluarga.
Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
No comments:
Post a Comment