PANDUAN MENANAM TIMUN DAN TIMUN JEPUN
Nama Botani
Famili
: Cucumis Sativus Linn
: Cucucbitacea
Sila klik pada tajuk-tajuk di bawah ini:-
Menanam Timun (pdf)
Timun (Wikipedia Bahasa Melayu)
Mentimun (Wikipedia Indonesia)
Varieti:
MT 1
Varieti MARDI ini ditanam di pantai timur. Lambat mengeluarkan hasil (7-11 minggu selepas menanam). Buahnya pendek dan banyak (10-15 biji/pokok). Hasil dari varieti ini adalah 15-25 tan/hektar.
MT 2
Varieti MARDI. Cepat mengeluarkan hasil. Buahnya sederhana besar dan sangat ranggup. Pungutan hasil ialah 5-10 minggu selepas menanam. Hasilnya ialah 20-30 tan/hektar.
Simpang Pulau
Varieti ini popular di Perak. Kulit buah berwarna hijau tua. Buah sederhana besar. Hasil adalah 20-25 tan/hektar.
Pengenalan:
Timun boleh ditanam di ladang ataupun di sekeliling rumah. Pokoknya tidak memerlukan ruang yang luas kerana ia adalah sejenis sayuran yang menjalar, yang perlu hanyalah cacakan kayu atau pagar-pagar tegap supaya pokok dapat memanjat. Timun tidak memerlukan perhatian yang rapi seperti pokok-pokok lain.
Sebagai ulam timun mengandungi Vitamin A dan kelebihan zat ini tidak dapat ditandingi dengan sayur-sayuran lain seperti kacang bendi dan labu. Timun mengandungi Vitamin A yang setanding dengan cili hidup iaitu lebih kurang 130 IU/Ox (4.6 IU/gm).
Kesusuaian Tanah:
Tanah yang sesuai untuk tanaman timun ialah tanah yang gembur, mengandungi cukup bahan-bahan organan, mempunyai saliran yang baik dan berkeupayaan memegang air. Pokok timun memerlukan hawa panas tetapi tidak terlalu terik, kerana kalau terik ia memerlukan lebih baja dan air. Jika penanaman dimulakan di pertengahan musim kemarau, pokok menjadi kerdil, kerana kekurangan air di dalam tanah untuk pokok menghisap. Sebaik-baiknya penanaman dimulakan di akhir musim hujan di mana udara lebih sejuk disamping suhunya menggalakkan benih timun bercambah dengan cepat.
Tanah digembur dengan cangkul atau ditenggala dengan trektor. Buat batas berukuran 1.2 m lebar x 7.6m panjang dan 23-26 cm tinggi. Bubuh baja organan (tahi lembu atau tahi ayam yang reput dan bakaran sampah sarap) di setiap lubang tanaman atau di dalam parit kecil yang dibuat di kedua belah batas. Banyak baja bergantung kepada kesuburan tanah (11.5 kg/batas atau 12.6 tan metrik/ha).
Penanaman:
Benih timun boleh ditanam terus atau dicambahkan dan diubah ke ladang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 60 cm x 60 cm (2' x 2'). Dua barisan tanaman timun boleh ditanam atas tiap-tiap batas. Benih timun ditanam terus ke lubang dengan kadar 2-3 biji benih selubang. Siram dua kali sehari. Percambahan akan berlaku selepas 3-4 hari. Selepas 10 hari anak pokok yang kurang subur dibuang dengan meninggalkan 1-2 pokok di satu tempat.
Benih timun boleh juga dicambahkan di dalam kain bersih yang basah, dan seterusnya tiga anak semaian diatur di dalam 'kerek'. Anak-anak semaian di dalam 'kerek' diubah ke ladang selepas 4-6 hari. Pilih anak semaian yang subur sahaja untuk diubah. Pembajakan berikut boleh digunakan:-
14 bahagian Sulphate of Ammonia
11 bahagian Double Superphosphate
5 bahagian Muriate of Potash
11 bahagian Kieserite
atau gunakan baja sebatian NPK Hijau (15:15:15). Baja dua minggu sekali sebanyak 14_28 gm sepokok/sekali, iaitu bila anak semaian berumur 10-12 hari. Tabur keliling pokok atau ke dalam parit kecil yang dibuat di kiri kanan barisan anak-anak timun. Pokok timun memerlukan sokongan sebaik-baik sahaja ia mengeluarkan jari-jari, iaitu apabila anak pokok berumur 14-16 hari.
Pokok timun perlu disiram sekurang-kurang sekali sehari sehinggalah hasilnya dipungut. Dalam musim hujan pokok-pokok timun tidak sepatut disiram terlalu kerap. Merumput patut dilakukan supaya tidak ada persaingan untuk zat makanan antara rumput dengan pokok timun dan untuk mengelakkan pembiakan musuh dan penyakit. Merumput dilakukan dengan tangan atau dengan cangkul.
Membuat Junjung / Penyokong:
Pokok timun bertabiat menjalar dan memerlukan junjung / penyokong untuk memanjat. Kayu junjung/penyokong yang dibuat daripada kayu hutan, buah dan lain-lain sistem para. Sistem trellis yang menggunakan tiang-tiang kayu, para-para dawai dan tali rafia tahan lama tetapi kos adalah lebih tinggi.
Pembajaan:
Timun memerlukan nutrien sebanyak 150-200 kg N, 30 kg P, 160-200 kg dan 20 kg Mg bagi sehektar. Baja organik dan inorganik yang disyorkan adalah seperti berikut:-
Pusingan Masa Jenis Baja Kadar/batas
(7.5m x 1.2m) Amaun/hektar
(650 batas)
1
2
3
4 Sebelum menanam
2 minggu
4 minggu
6 minggu Baja organan
NPK 15:15:15
NPK 12:12:17:2
NPK 12:12:17:2 6 kg
300 kg
450 kg
450 kg 4 tan
200 kg
300 kg
300 kg
Pengairan:
Memerlukan lembapan yang cukup untuk hidup subur. Penyiraman perlu dilakukan 1-2 kali sehari, kecuali pada hari hujan, secara manual atau sistem pengairan renjis.
Musuh:
Musuh yang selalu menyerang timun ialah penyakit ulat dan kumbang Aulacophora, ulat lalat buah (dacus spp.) dan kutu daun. Gunakan racun serangga untuk mengawal musuh-musuh ini.
Penyakit:
Penyakit yang selalu menyerang timun ialah Bintik Berpusar, Kulapok Downy dan Kulapok Debu. Gunakan racun kulat untuk mengawalnya.
Pungutan Hasil:
Buah timun dapat dipungut lebih kurang 30 hari selepas ditanam. Pungutan dibuat dua hari sekali. Ia akan terus mengeluarkan hasil selama 25-30 hari. Buah yang masak mempunyai kulit yang licin sementara yang muda kulitnya kasar dan berkilat.
PANDUAN MENANAM TIMUN JEPUN SECARA
SISTEM HIDROPONIK
Pengenalan:
Sistem ini merupakan kaedah penanaman tanpa tanah di mana bahan makanan dibekalkan melalui larutan nutrien dan garam galian. Oleh kerana sistem hidroponik memerlukan modal yang tinggi, jenis tanaman yang bernilai tinggi seperti timun Jepun disyorkan. Setakat ini, keluasan tanaman ini yang diusahakan secara hidroponik masih kecil. Namun demikian sistem ini berpotensi diperluaskan untuk pasaran tertentu di bandaraya.
Pengeluaran secara sistem hidroponik perlu dilaksanakan di bawah struktur pelindung hujan. Antara kebaikan sistem ini ialah:-
pengeluaran hasil bagi satu unit kawasan adalah lebih tinggi kerana pengambilan baja lebih efisien dan jarak tanaman yang lebih rapat
menggalakkan pengeluaran sayuran yang berterusan sepanjang tahun
menggalakkan impak percikan air hujan ke atas tanaman dan seterusnya kerosakan tanaman
FAKTOR-FAKTOR PENTING DALAM PEMILIHAN SISTEM
Pasaran
Pasaran merupakan faktor penting dalam menentukan jenis sayuran yang diusahakan dan juga teknologi pengeluaran yang sesuai. Pasaran pula ditetapkan mengikut lokasi dan permintaan terhadap jenis sayuran. Permintaan pasaran terhadap sayuran tertentu dan secara berterusan sepanjang tahun menggalakkan penggunaan sistem ini.
Kemampuan Kewangan
Penggunaan teknologi ini memerlukan kos permulaan yang agak tinggi, pengusaha perlu mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh.
Tenaga Kerja
Dalam keadaan di mana tenaga kerja terhad, sistem ini sangat sesuai disyorkan sebagai alternatif.
Pengetahuan dan Pengalaman
Pemilihan kaedah pengeluaran yang sesuai juga bergantung kepada kemahiran pengusaha. Pengetahuan dan pengalaman dalam penyelenggaraan tanaman secara sistem hidroponik adalah penting untuk memastikan kejayaannya.
KULTIVAR YANG DISYORKAN
Dua kultivar yang disyorkan adalah Sakata Seeds No. 67 dan Sakata Seeds No. 69. Ciri kedua-dua kultivar ini adalah seperti berikut:-
Kultivar Sakata Seeds No.67 Sakata Seeds No. 69
Nisbah bunga betina : jantan
Masa berbunga (lepas disemai)
Warna buah
Bentuk buah
Berat buah
Lain-lain ciri 50 : 50
35-37
Hijau tua
Lurus
90-100 gm
Duri halus putih di permukaan buah 80 : 20
35-37
Hijau tua
Lurus
90-100 gm
-
JENIS SISTEM
Jenisnya ialah Intermittent Nutrient Flow Technique (INFT). Bagi sistem ini bakul-bakul kecil yang mengandungi anak benih, diletakkan di dalam lubang pada penutup palong dengan akarnya mencecah larutan nutrien. Pelan latar asas sistem INFT (lihat Rajah 1).
PERALATAN SISTEM
Peralatan yang diperlukan untuk sistem ini adalah seperti berikut:-
Tangki air berkapasiti 1000 liter
Pam letrik berkuasa 2 H.P.
Bekas takongan atau palong berukuran 4 m panjang x 0.2 m lebar x 0.1 m dalam
Paip masuk air, jenis P.E. Grade D, berikuran 50 mm untuk mengepam air ke dalam palong.
Paip buang air, jenis P.E. Grade 0, berukuran 100 mm untuk mengumpul air yang mengalir dari palong.
Bekas air adalah penting dalam sistem hidroponik. Air tadahan hujan atau air paip boleh digunakan. Bagi air paip, kandungan klorinnya perlu diawasi sebelum air digunakan. Kandungan klorin boleh dikurangkan dengan membiarkannya dalam takongan sehari.
Bagi sistem ini, larutan nutrien dipam dari tangki air secara berkala ke dalam palong. Pam untuk menggerakkan dan mengalirkan air dijadualkan berjalan selama setengah jam setiap satu jam mulai pukul 7 pagi hingga 7 malam (pam dijalankan 8 kali dengan jumlah 4 jam sehari).
Bekas takongan biasanya dalam bentuk palong dan saiznya berbeza mengikut keperluan. Bekas takongan ini digunakan untuk mengisi larutan nutrien yang mengalir dan boleh dibuat dengan kayu (lihat Rajah 2).. Palong-palong dibuat daripada plywood setebal 1 cm. Saiz palong adalah 400 cm panjang x 20 cm lebar x 10 cm dalam. Palong-palong ini perlu dilapikkan dengan plastik hitam tebal. Bagi kawasan seluas 10 m x 20 m, ia boleh menempatkan 80 palong.
Styroform yang dipotong mengikut ukuran palong digunakan sebagai penutup palong. Lubang-lubang yang boleh memuatkan bakul semaian ditebok di styroform mengikut jarak tanaman yang akan diusahakan. Bagi tanaman timun Jepun, jarak lubang adalah 40.5 cm. Palong-palong boleh diletakkan di atas para-para yang dibuat daripada kayu (lihat Rajah 3). Empat palong boleh diletakkan di atas satu rak di mana empat palong ini mendapat bekalan air dari satu paip masuk dan satu paip buang. Palong-palong hendaklah diletakkan mencondong ke sebelah (dengan cerun 1:100) supaya air dapat mengalir daripada bahagian masuk air kepada bahagian buang air melalui tekanan graviti. Air yang dikumpulkan dalam tangki dipamkan semula ke dalam palong-palong tersebut.
Dalam sistem INFT ini, kepingan styroform berukuran 17.6 cm lebar x 5 cm tinggi dari 1.2 cm tebal diletakkan di bahagian tengah dan hujung tiap-tiap palong sebagai sekatan. Ini adalah untuk memastikan sedikit air dapat bertakong semasa pam tidak berjalan. Kaedah ini juga menjamin tanaman tidak terjejas sekiranya berlaku masalah terputus bekalan letrik. Semasa pam tidak berjalan, takongan air baja yang bertakung kerana adanya sekatan dalam setiap palong memadai untuk keperluan tanaman. (Sila lihat pelan struktur sistem hidroponik) !
PEMILIHAN STRUKTUR PELINDUNG
Struktur pelindung hujan digunakan untuk pengeluaran sayuran secara hidroponik. Struktur ini sama seperti rumah dan dibuat daripada kayu tetapi bumbungnya adalah bahan plastik yang lutsinar dan tidak berdinding. Struktur jenis kayu adalah lebih murah dan senang dibina walaupun tempoh hayatnya lebih pendek daripada jenis besi.
Bentuk yang popular adalah gergaji dan gable. Jenis tiang yang disyorkan adalah kayu keras (Kelas B). Bagi bumbung, kayu kelas C yang berkualiti sederhana boleh digunakan (lihat Rajah 4 dan 5).
PENYEDIAAN LARUTAN NUTRIEN
Sebelum anak benih dialih, bancuhan baja dalam tangki dibuat terlebih dahulu. Campuran baja yang dibuat adalah mengikut jenis tanaman yang diusahakan, kerana setiap tanaman mempunyai keperluan baja yang berlainan. Tanaman timun Jepun memerlukan kadar Kalium dan Kalsium yang berbeza. cF atau condutivity factor dan pH larutan baja juga perlu sentiasa dalam lingkungan yang disyorkan iaitu pH 5.5 - 6.5 dan 20 - 30 cF.
Contoh formulasi baja dalam tangki hidroponik
Jenis Nutrien g/1000 liter air
Larutan A: CaNO3 900
Larutan B: KNO3 600
MgSO4 450
KH2PI4 160
EDTA-FE4 7.9
ZnSO3 0.4
MnSO4 1.5
CuSO4 0.3
NH4Mo4 0.1
H3BO3 1.7
Formulasi baja larutan pekat di dalam pasaran biasanya dirumuskan sebagai Rumusan A dan B, di mana rumusan A adalah kalsium nitrat dan rumusan B adalah campuran lain-lain nutrien. Setiap rumusan adalah larutan pekat dan perlu diasingkan untuk mengelakkan pemendapatan jika kedua rumusan pekat ini dicampurkan. Dalam persediaan larutan baja di dalam tangki yang luas seperti 1000 liter, rumusan A dan B dicampur dengan kadar 1:1. Campuran kedua-dua rumusan dalam tangki air yang besar tidak akan menyebabkan pemendapatan.
PENANAMAN DAN PENYELENGGARAN POKOK
Menyemai biji benih
Sebanyak 3 g biji benih timun Jepun diperlukan untuk sistem hidroponik di rumah lindungan berukuran 10 m x 20 m. Semaian tanaman disediakan terlebih dahulu sebelum diletakkan ke dalam palong tanaman. Semaian biasanya dilakukan 5-7 hari sebelum dialih. Sedikit rockwool digunakan sebagai media percambahan dalam setiap bakul. Bakul-bakul yang telah disemai dengan biji benih ini diaturkan ke dalam bekas yang diisi dengan sedikit air baja dan diletakkan di kawasan yang redup.
Jarak tanaman
Bekas-bekas yang mengandungi anak benih yang sihat dan subur sahaja dipilih untuk dialihkan ke palong tanaman. Bekas-bekas ini diletak di dalam lubang palong yang berjarak 40.5 cm antara satu sama lain sepanjang palong. Jarak tanaman diantara pokok di dalam palong lain adalah 40.5 cm tiga segi sama. Sebanyak 700 pokok diperolehi dari kawasan 10 m x 20 m (lihat Rajah 6).
Menyedia trellis
Sistem trellis perlu disediakan kerana varieti Sakata adalah jenis indeterminate. Sokongan kayu untuk dawai-dawai trellis di sediakan di kedua hujung palong dan di tengah palong. Tinggi sokongan kayu adalah 20 cm. Dawai halus dipasang selari dan melintang dengan panjang palong dengan jarak 60 cm antara satu sama lain (lihat Rajah 7).
Pokok timun Jepun dilatih dan diikat dan diikat ke dawai trellis supaya dahan-dahan cabang menegak dan cabang-cabang akan berada di bahagian atas trellis dawai yang disediakan apabila pokok membesar. Dahan-dahan berlebihan di bahagian atas dan di bawah trellis akan dibuang supaya pengudaraan mencukupi dan tidak menggalakkan keadaan lembab yang boleh menyebabkan serangan penyakit.
Kawalan perosak
Semburan racun kulat perlu pada peringkat pertumbuhan awal. Semburan racun serangga perosak dibuat apabila diperlukan sahaja. Kadangkala semburan baja daun terutama kalsium diperlukan untuk menjamin kesuburan pokok (terutama untuk megelakkan penyakit blossom end rot bagi tanaman tomato).
Pengawasan yang rapi perlu dijalankan dan langkah-langkah kawalan diambil segera apabila serangan perosak atau penyakit melebihi Paras Ambang Ekonomik. Semburan racun perosak sekiranya perlu, dijalankan secara semburan setempat iaitu menyembur pada pokok tanaman yang diserang perosak atau penyakit sahaja. Kumbang daun (penyakit kulapuk downy), kutu daun (penyakit kulapuk berdebu) dan lalat buah (penyakit antraknos lecur anak benih dan penyakit virus) adalah diantara perosak dan penyakit timun Jepun.
PEMBACAAN pH dan cF
Alat meter ringkas untuk membaca paras pH dan kepekatan bahan larut cF perlu untuk menyelenggara keadaan larutan baja dalam tangki atau palong. Bacaan ini amat penting untuk memastikan larutan baja mengandungi zat yang secukupnya dan tidak kurang atau terlebih daripada keperluan tanaman. Pemerhatian terhadap kekurangan air dalam takungan perlu dibuat dan ditambah bila perlu. Bacaan cF dan pH perlu ditahap yang disyorkan dan penambahan larutan dibuat untuk mendapat bacaan yang sesuai.
PENGUTIPAN HASIL
Hasil dikutip 35-37 hari selepas disemai apabila panjang buah timun Jepun berukuran lebih kurang 20 cm. Timun digred berdasarkan saiz, warna, kesegaran, tahap kecederaan mekanikal dan kesan serangan penyakit dan serangga. Buah-buah timun yang baik perlu diasingkan daripada buah-buah yang rosak akibat serangan penyakit atau serangga, bengkok, terbantut dan berwarna kuning. Pembersihan dengan air tidak digalakkan kecuali jika terlalu kotor.
Buah-buah yang dipilih dibungkus dalam beg plastik polietilena yang mempunyai lubang-lubang kecil. Untuk memanjangkan tempoh penyimpanan buah timun, ia perlu disimpan di dalam bilik sejuk pada suhu 15oC dengan kelembapan relatif diantara 90-95%. Pada suhu ini, timun boleh disimpan selama 2 minggu tanpa mengalami penurunan mutu yang ketara.
Pengendalian Lepas Tuai
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.
SPESIFIKASI PIAWAIAN DAN GRED
Spesifikasi piawaian dan gred ini meliputi timun hijau keputih-putihan dan timun susu daripada varieti Cucumis sativus L. yang ditanam di Semenanjung Malaysia.
Indeks I
Muda. Timun berkenaan belum mencapai tahap kematangan. Terdapat jalur-jalur hijau meliputi sehingga keseluruhan permukaan kulit daripada bahagian pangkal hingga hujung timun.
Indeks 2
Matang. Timun berkenaan telah mencapai tahap kematangan. Jalur-jalur hijau meliputi sekurang-kurangnya dua pertiga daripada permukaan timun dan selebihnya berwarna keputih-putihan.
Indeks 3
Tua. Timun berkenaan telah terlalu matang dan jika dipotong bijinya agak keras dan 'seed cavity' agak berserat. Warna keputih-putihan telah bertukar kepada warna kekuning-kuningan.
Keperluan Minima
Agak bebas daripada rosak disebabkan kecederaan mekanikal dan penyakit, kotoran, kecacatan dan sesuai untuk dimakan oleh manusia serta telah mencapai peringkat matang.
Pengelasan Gred dan Saiz
Gred Ketentuan Kelonggaran (% maksimum)
1 Kematangan yang seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang > 23 cm) 5
10
15
5
2 Kematangan yang seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang 18-23 cm) 10
15
20
10
Luar Gred Timun yang tidak memenuhi ciri-ciri gred di atas
Pengelasan Gred dan Saiz Timun Susu
Gred Ketentuan Kelonggaran (% maksimum)
1 Kematangan yang seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang > 21 cm) 5
10
15
5
2 Kematangan yang seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang 19-21 cm) 10
15
20
10
Luar Gred Timun yang tidak memenuhi ciri-ciri gred di atas
PEMBUNGKUSAN DAN PERLABELAN
Pembungkusan
Timun daripada gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Kertas atau bahan lain yang digunakan untuk membalut atau mengalas hendaklah bersih dan tidak akan menyebabkan kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan.
Perlabelan
Tiap-tiap unit pembungkusan hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat berikut:- Tarikh, nama/kod penanaman, nama/kod pengeksport, nombor kad pengenalan, nombor pendaftaran syarikat, alamat, komoditi, berat bersih dan gred.
PERSAMPELAN
Bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 1187:1990 Method of Sampling For Fresh Vegetables, atau kaedah statistik yang dipersetujui.
Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:perak.gov
No comments:
Post a Comment