Kebun Warisan's Followers

Sunday, October 11, 2009

Nasihat dan Panduan Kepada Usahawan Penternakan Ikan Keli

Nasihat dan Panduan Kepada Usahawan Penternakan Ikan Keli
September 22, 2008 ·

Kami terus membuktikan bahawa perniagaan dalam penternakan ikan keli ini mempunyai masa hadapan yang amat cerah jika disertakan dengan ilmu penternakan yang betul dan strategi pemasaran yang kukuh. Selepas penyertaan kami di MAHA 2008 di mana kami telah tidak putus-putus didatangi segenap lapisan usahawan dan bakal usahawan penternak yang inginkan maklumat berkenaan dengan penternakan ikan keli, kini ladang Pembenihan kami di Taman Desa Kundang, Rawang tidak menang tangan untuk melayani pelanggan-pelanggan di mana terdapat ramai usahawan penternak samada baru dan lama mula membeli benih-benih ikan keli kami.

Pengalaman sebelum ini dari ratio penternak baru yang dihasilkan dianggarkan dari 10 usahawan penternak baru yang lahir akan menyaksikan hanya 4 usahawan penternak yang kembali membeli anak benih keli dan selebihnya gagal atau ‘patah jiwa’ untuk meneruskan penternakan ikan keli. MENGAPA?

Ini jawapan kami kepada ramai usahawan penternak baru. Atau anda boleh mengambilnya sebagai pesanan atau nasihat ikhlas daripada kami.

1. Kebanyakkan usahawan penternak bermula dari ‘zero’ dan terburu-buru memulakan penternakan tanpa mendapatkan ilmu yang betul dari penternak-penternak yang telah berjaya. Ramai juga yang telah mengambil nasihat atau tunjuk ajar dari mereka yang juga tidak mahir atau berlandaskan ‘cakap-cakap’ kosong tanpa bukti kukuh.

Oleh itu kepada usahawan-usahawan penternakan ikan keli yang baru hendaklah mulakan dahulu dengan banyak bertanya dan melawat ladang-ladang ikan keli yang telah lama beroperasi, contohnya di ladang penternakan Green Vision Sdn Bhd di Bestari Jaya (dahulu dikenali dengan nama Batang Berjuntai), Kuala Selangor; ataupun melawat ladang pembenihan kami (yang sentiasa terbuka kepada anda semua kecuali hari cuti umum dan tamat waktu operasi!).

Ataupun menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh kami dari Koperasi Penternakan Akuakultur Air Tawar Berhad (KOTAWA) yang diiktiraf oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Usahawan. Anda disarankan juga mengambil kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jab Perikanan tetapi selepas itu harus juga melawat atau bertemu dengan penternak atau pengusaha-pengusaha yang telah berjaya. Kemahiran teori tidak 100% benar jika tidak disertai dengan kemahiran impimentasi!

Terdapat banyak kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak tetapi anda hendaklah juga mengambil sedikit masa untuk mengkaji ‘penceramah’ itu samada telah mempunyai pengalaman membuka ladang penternakan sendiri; atau mengkaji saiz perniagaan mereka samada mereka telah mempunyai beratus atau beribu kolam penternakan ikan air tawar terutamanya ikan keli. Ini semua untuk anda juga kerana berbalik kepada kenyataan kami tadi: KEMAHIRAN TEORI TIDAK 100% BENAR JIKA TIDAK DISERTAI DENGAN KEMAHIRAN IMPLIMENTASI ATAU PERLAKSANAAN! Ini adalah pengalaman kami sendiri dan percayalah bahawa kami tidak akan sampai ke sini jika tidak disertai dengan pengalaman menempuh sendiri pelbagai suka-duka menjalankan usaha penternakan dari kolam tanah, kolam tangki, kolam kanvas dan kolam simen. Dan pada hari ini kami boleh mengatakan bahawa ada juga ‘cakap-cakap teori’ tidak boleh digunakan untuk digunakan dalam kerja-kerja penternakan ikan keli!

Anda harus mensasarkan target usaha anda. Anda mesti tahu di mana kedudukan anda samada anda adalah usahawan penternakan ikan keli secara komersil ataupun sekadar usahawan baru bermula atau ‘main-main’ (suka-suka cuba). Sebabnya masalah atau cabaran bagi usahawan yang mempunyai 10 kolam tidak sama dengan usahawan yang bermula dengan 1000 kolam! Bagi kami sekiranya anda bermula dengan 10 atau 50 kolam, ianya masih dianggap kecil dan di tahap ’suka-suka’ atau percubaan. Sebelum bermula buat unjuran ‘cash-flow’ anda kerana setakat ada perkiraan untung-rugi belum cukup sempurna untuk membuat rujukan kepada pembangunan kewangan perniagaan anda. ‘Cashflow’ ibarat peta perjalanan anda. Tetapkan modal anda, sasarkan tempoh pengeluaran dan bila masa anda akan berhadapan dengan ‘kewangan kritikal’; semuanya boleh didapati jika anda membuat unjuran ‘cash-flow’!

Dan yang paling penting adalah pasaran. Inilah faktor yang menyebabkan ramai usahawan penternak baru mengalami keadaan ‘patah jiwa’ kerana menyangkakan dengan sekali usaha (harvest) anda akan terus jadi JUTAWAN IKAN KELI! Kenyataannya kita (usahawan penternak ikan keli bumiputera) masih jauh untuk mengatasi pengeluaran ikan keli dari ladang-ladang pengusaha bukan bumiputera. Hakikatnya mereka menguasai pasaran dan kekadang melambakkan produk mereka di pasar borong. Harga mereka juga jauh lebih murah iaitu sekadar RM1.80 ke RM2.5 sekg! Sedangkan kebanyakkan usahawan penternak bumiputera tahu kita tidak boleh menjual di bawah harga RM3.20 sekg! Kenapa mereka boleh jual murah?

a. Jumlah pengeluaran mereka yang besar menyebabkan mereka boleh untung kecil dari setiap kg tetapi masih boleh untung kerana jumlah kuantiti penjualan mereka besar. Terdapat lebih dari 10 penternak ladang besar yang dimiliki oleh bukan bumiputera dan kadar pengeluaran setiap ladang bermula dari 5 tan sehari sehingga 10 tan sehari. Setakat ini dari penyelidikan dan pengamatan kami hanya Green Vision dari Bestari Jaya sahaja yang mampu mengeluarkan sehingga 3 tan sehari!

b. Kos makanan yang murah kerana mereka juga adalah penternak ayam dan khinzir. Oleh itu segala bahan buangan termasuk najis, organ dalaman ayam dan khinzir yang sepatutnya dibuang dapat dijadikan ‘multiple income’ kepada mereka. Jadi, mereka bukan sahaja melaksanakan penternakan ikan keli, sebaliknya income besar mereka adalah dari ayam dan khinzir dan kos buangan pula boleh disalurkan kepada kolam ikan keli yang juga menambah keuntungan mereka! Sedangkan penternak kita kebanyakkannya membeli makanan ikan pellets yang dibeli dari kilang atau kedai-kedai yang kini semakin mahal.

c. Jaringan perniagaan yang sudah lama wujud menyebabkan mereka dapat menjual ikan keli di pasar-pasar borong, hypermarket dan pasar-pasar malam. Malah FAMA juga membantu mereka memasarkan ikan-ikan keli di seluruh negara termasuk Kelantan dan Terengganu!

Namun begitu Tuhan itu Maha adil! Kita mampu menerjah pasaran ini di mana KUALITI ikan keli yang diternak oleh kebanyakkan penternak kita yang menggunakan makanan 100% pellet adalah LEBIH ENAK DAN SEDAP dari ikan keli dari ladang bukan bumiputera. Walaupun kami belum boleh mengiktiraf semua produk ikan keli kita adalah KELI ORGANIK, tetapi memadailah kita mempunyai jalan keluar kepada masalah utama ini.

Kami menasihatkan kepada penternak-penternak bumiputera yang mempunyai kurang dari 50 kolam agar meneroka sendiri pasaran ke kedai-kedai makanan orang kita yang memang inginkan ikan-ikan keli kita kerana lebih sedap dari ikan keli dari pasar borong. Dan yang pentingnya kita boleh menjual pada kadar harga dari RM4.50 ke RM5.00 sekg.

Bagi usahawan-usahawan penternak ikan keli secara komersil, adalah penting utk mereka mendapatkan dahulu pembeli-pembeli ikan keli samada untuk diesksport, diproses atau dihantar ke kilang-kilang Keli Sardin dan Keli Smoke atau kilang-kilang industri hiliran berasaskan ikan.

Yang paling penting untuk semua usahawan-usahawan penternak ikan keli, ingatlah pesanan jujur ini dari kami:

DON’T COMPETE: LETS COMPLETE EACH OTHER!

Kami akan huraikan maksud perkataan ini di posting yang lain. Selamat menternak. Salam akhir Ramadhan dan SELAMAT HARI RAYA AIDLIFITRI kepada semua pelanggan-pelanggan dan sahabat-sahabat kami dan pohon ampun dan maaf ke atas segala kesilapan, ketelanjuran atau kebiadapan semasa kita berhubungan di dunia perniagaan ini. Terima kasih di atas sokongan anda semua.



Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:Sendikota’s Weblog

No comments: