Kebun Warisan's Followers

Saturday, October 3, 2009

PENANAMAN DUKU-LANGSAT


PENANAMAN DUKU-LANGSAT

DUKU LANGSAT

Duku-langsat ialah hasil kacukan semulajadi di antara duku dan langsat. Di Malaysia, pokok ini hanya tumbuh di beberapa kawasan di Terengganu terutama sekali di tebing-tebing Sungai Terengganu dan Sungai Telemong dalam daerah Kuala Terengganu. Pokok-pokok yang ada merupakan warisan dan generasi yang terdahulu sejak seratus tahun yang lalu.

Rupa bentuk dan warnanya sama seperti langsat, cuma kulitnya tebal sedikit, tidak bergetah dan rasanya manis. Di Terengganu, buah ini dikenali sebagai 'duku' tetapi ini tidaklah tepat.

Jenis
Oleh kerana duku-langsat membiak melalui biji benih, maka terdapat berbagai-bagai perbezaan daripada segi bentuk, jenis dan beberapa ciri yang lain. Walau bagaimanapun, jenis-jenis duku-langsat ini mempunyai ciri-ciri yang agak sama dan rasanya manis. Kelon-kelon yang telah didaftar oleh Jabatan Pertanian ialah Du1, Du2, Du3, Du4 dan Du5.

Iklim
Duku-langsat memerlukan iklim tropika iaitu panas dan lembab di sepanjang tahun. Ia tahan pada cuaca kering dan musim hujan yang biasa berlaku di Terengganu.

Tanah
Pokok ini tumbuh dengan subur di kawasan yang berhampiran dengan sungai. Duku-langsat sesuai ditanam di tanah yang berpasir, mempunyai saliran yang baik dan berkeadaan lembab. Pertumbuhannya kurang subur di tanah yang menakung air dan mempunyai paras air yang tinggi.

Cara Menanam

Membiak:
Pembiakan tampang bagi duku-langsat belum lagi diamalkan secara meluas kerana pembiakan begini telah didapati kurang berjaya. Cara yang biasa dilakukan oleh petani-petani ialah mengambil anak-anak duku-langsat yang tumbuh sendiri di bawah pokok induk sebagai bahan tanaman. Anak-anak duku-langsat sesuai ditanam di dusun atau ladang setelah berumur dua tahun.


Menanam:
Jarak tanaman yang disyorkan ialah diantara 9.0 - 12.00 meter. Selalunya duku-langsat yang tumbuh sendiri hidup subur di celah-celah pokok lain. Anak-anaknya dibiarkan tumbuh di bawah pokok-pokok yang matang. Purata jarak di antara pokok yang telah matang dianggarkan sejauh 4.5 meter.

Penjagaan

Naungan:
Pokok ini memerlukan keadaan yang redup, sejuk dan lembab di sepanjang masa. Di Terengganu, duku-langsat tumbuh diantara pokok buah-buahan lain yang memberi naungan. Di bawahnya pula terdapat semak-samun atau pokok-pokok kecil yang sentiasa menutupi tanah supaya sejuk. Dusun yang kurang dinaungkan akan merendahkan hasil kerana keadaan yang lapang dan terbuka menyebabkan pokok mudah diserang penyakit matirosot.


Membaja:
Mengikut tinjauan yang dibuat, duku-langsat tidak memerlukan penjagaan yang rapi seperti membaja, merumput atau mencantas. Hasil yang tinggi ditentukan oleh tanah yang subur; kawasan yang sesuai dan naungan yang mencukupi. Mungkin pokok-pokok naungan ini membantu memperkayakan baja organan yang terkandung dalam tanah hasil daripada bahan-bahan tumbuhan yang reput. Bahan baja semulajadi ini seterusnya mengurangkan keperluan baja tambahan bagi duku-langsat.

Memungut Hasil:

Pokok duku-langsat biasanya mula berbuah setelah berumur 12 tahun. Duku-langsat berbuah setahun sekali dan kadang-kadang terdapat juga buah di luar musim. Pokok berbunga dalam bulan Jun dan mengambil masa 4 bulan sehingga buah masak. Ini bermakna buah mula dipetik dalam bulan Oktober hingga November. Hasil yang diperolehi dari satu pokok yang berumur 50 tahun ke atas biasanya ialah 240 - 300 kg (4-5 pikul) semusim. Bagi satu pokok buahnya habis di petik dalam masa 2-4 minggu.



Cara Mengutip Hasil:

Waktu mengutip hasil yang paling sesuai ialah di antara pukul sepuluh hingga sebelas pagi dan pukul tiga hingga empat di sebelah petang. Pada waktu-waktu ini, buah-buahnya telah kering dari embun dan cuaca yang redup dapat mengelakkan buah dari pecah. Pemetik buah terpaksa memanjat dan memetik gugusan-gugusan buah. Memetik hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan tampuk buah di dahan-dahan kerana bunga-bunga di musim akan datang akan dikeluarkan di tampuk-tampuk yang sama. Buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bakul atau kain sarung dan dihulur ke bawah dengan tali. Setelah dikumpul, buah yang kurang bermutu atau pecah diasingkan dari buah yang elok dan dimasukkan ke dalam guni-guni untuk dijual kepada peaih atau pemborong.



Pasaran:

Harga duku-langsat bergantung kepada hasil yang diperolehi dan musim buah-buahan yang lain. Jika terdapat banyak buah-buahan lain di pasaran, harganya rendah sedikit. Harga buah yang ditolak kepada peraih-peraih ialah lebih kurang RM90.00 bagi 60.5 kg (1 pikul) sewaktu dalam musim atau RM140.00 bagi 60.5 kg di awal musim. Oleh kerana duku-langssat digemari ramai dan bekalannya pula terhad, buah ini tetap mendapat harga yang memuaskan dan menguntungkan pekebun-pekebun.



Masalah:

Masalah utama yang sering dihadapi oleh tuan-tuan punya dusun duku-langsat ialah kekurangan tenaga untuk memetik buah. Buah-buah yang telah masak mestilah dipetik dengan segera kerana warnanya akan bertukar menjadi perang dan seterusnya hitam dalam masa beberapa hari setelah masak. Buah yang begini kurang bermutu dan rendah harganya. Untuk mengatasi masalah ini, pekebun-pekebun terpaksa mengupah pemetik-pemetik buah untuk mengutip hasil dengan bayaran lebih kurang RM15.00 bagi setiap 60.5 kg buah yang dipetik.



Pengendalian Lepastuai

Sepanjang yang diketahui duku-langsat merupakan sejenis tanaman yang tidak memerlukan penjagaan yang rapi tetapi hidup subur dalam keadaan yang sesuai. Namun begitu, penyelidikan selanjutnya seperti pembiakan secara tampang, pengurangan masa yang diambil untuk mula berbuah, penggalakan pengeluaran bunga di luar musim, pengawalan musuh-musuh utama, cara memangkas yang betul dan pembajaaan yang sesuai diamalkan perlulah dijalankan. Dengan cara ini dapatlah bekalan duku-langsat ini memenuhi permintaan pembeli-pembeli yang akan bertambah di masa hadapan.



Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA

1 comment:

Imah said...

Salam,Penanaman Duku-Langsatmengambil masa berapa lama untuk mengeluarkan hasil?