PANDUAN MENANAM MANGGA
(Tanaman Jangka Panjang)
Nama Saintifik: Mangifera indica Linn.
Nama Biasa: Mangga atau mempelam
Famili : Anacardiaceae
VARIETI MANGGA / KLON YANG DISYORKAN:
MA 128
Klon berasal dari Sungai Nibong, Kuala Selangor. Popular dengan gelaran Harumanis. Telah didaftarkan pada 28 Mei 1971. Buahnya sederhana besar dengan berat diantara 400-450 gm sebuah. Bentuk buah adalah bujur dan bengkok sedikit di bahagian hujung. Kulit buah berwarna hijau walaupun telah masak. Isinya tebal, berwarna oren, berjus, tekstur isinya halus, mempunyai bau yang harum dan rasanya manis.
MA131
Mula dikenali di Kedah dan dipanggil Mangga Haji Dollah. Telah didaftar dibawah klon Nombor MA 131 pada 28 Jun 1971. Juga ditanam di pekan Terong, Perak (4 ha. di Kg. Sungai Hantu dan 1 ha. di Kg. Sungai Kerang) dan diikenali dengan nama tempatan Mangga Nangka Udang dan juga Nangka Betik. Buah bersaiz besar dengan ukuran panjang 26 cm dan lebar 12 cm. Bentuknya memanjang serta membuat sedikit di bahagian pangkal hujung buah. Berat purata sebiji boleh mencapai hingga 2 kg. Kulitnya sederhana tebal dan berwarna hijau kekuningan pada peringkat matang dan berwarna kuning kehijauan bila masak. Isinya tebal, halus dan berwarna kuning kemerahan setelah masak. Isinya masam-masam manis dan beraroma sedikit.
Pokok penanti adalah jenis tradisional seperti mempelam telur yang berumur lebih 20 tahun. Klon nangka udang yang dicantum adalah daripada Negeri Kedah. Oleh kerana saiz buah adalah besar dan berat (1.8-2.3 sebiji) serta harga runcit pada RM5.00-RM8.00 / kg. maka buah ini mempunyai pasaran tertentu sahaja (niche market).
MA 162
Berasal dari Port Dickson. Dikenali dengan nama 'Foo Fatt' atau 'Golek'. Didaftarkan pada 28 Januari, 1972. Buah bersaiz sederhana besar dan purata berat buah ialah 500 gm sebiji. Buah berbentuk bulat memanjang dan bengkok di hujung. Kulit buah berwarna hijau kekuningan apabila masak. Isinya tebal, berwarna oren, bertekstur halus dan rasanya manis tetapi tidak beraroma.
MA 165
Berasal dari Negeri Kelantan. Dikenali dengan nama MAHA 65. Didaftarkan pada 28 Januari 1972. Buah bersaiz besar (450-600 gm sebiji), berbentuk panjang dan leper. Kulit buah berwarna hijau kekuningan bila masak. Isinya berwarna kuning muda, tebal tanpa sabut, tekstur isinya halus, rasa yang manis dan tidak beraroma. Pengeluaran buah adalah tinggi tetapi mudah merekah sebelum matang.
MA 204
Berasal dari Kodiang, Kedah. Popular dengan nama 'Melele' dan telah didaftar pada 13 November, 1978, saiz buah sederhana, berbentuk bulat membujur dan mempunyai puting yang nyata di bahagian tangkai buah. Kulit buah berwarna hijau kekuningan. Isinya berwarna kuning, berjus dan beraroma, isinya bersabut sedikit.
MA 223
Berasal dari Thailand. Dikenali dengan nama 'Nam Doc Mai'. Mangga ini sangat sesuai ditanam di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Buah berbentuk bujur dan membengkok sedikit di bahagian hujung. Saiz buah sederhana besar dan purata berat buah adalah diantara 400-450 gm sebiji. Kulit buah masak berwarna kuning emas dan isinya berwarna kuning. Rasanya manis, berbau harum, berjus dan bersabut sedikit. Klon ini didaftar pada 19 Oktober, 1990."
Chok Anan (MA 224)
Manual Tanaman Mangga Chok Anan (format pdf) - klik !
KEPERLUAN ASAS TANAMAN
Iklim
Iklim tropika dan subtropika adalah sangat sesuai. Pokok boleh tumbuh dengan optimun pada suhu 24oC-27oC dengan taburan hujan diantara 750 mm - 2500 mm setahun dan wujudnya musim kemarau yang jelas selama 1-2 bulan bagi merangsang pokok mangga untuk berbunga. Keadaan kering juga diperlukan semasa bunga kembang bagi menggalakkan proses pendebungaan, persenyaawaan dan pembentukan putik buah yang baik. Hujan yang berlebihan pula akan menyebabkan serangan penyakit dan perosak pada bunga dan seterusnya mengurangkan pembentukan putik buah. Dalam keadaan terbuka, angin yang deras akan memberikan kesan buruk kepada kelekatan bunga, putik dan buah mangga. Oleh yang demikian, pokok-pokok lindungan untuk menahan kederasan angin seperti tanaman rhu, bintangor, medang dan belinjau adalah digalakkan.
Faktor Tanah
Kawasan tanah yang terlalu berpasir, berbatu dan cetek, bertakung air beralkali dan berbatu kapur adalah tidak sesuai untuk tanaman mangga. Tanaman mangga sentiasa memerlukan salinan yang baik walaupun ia tidak begitu sensitif terhadap keadaan keasidan tanah dengan julat kesesuaian pH diantara 5.5 - 7.5. Tanaman mangga didapati tidak tahan terhadap saliniti yang berlebihan. Tanah yang mempunyai saliniti 2 mmhos atau kurang pada kedalaman 0-125 cm amatlah sesuai.
Kawasan yang mempunyai paras air yang tinggi, mangga patut ditanam di atas batas atau busut. Penanaman cara begini biasa terdapat di kawasan MADA Kedah dimana busut disediakan. Biasanya pokok mangga di kawasan begitu adalah lebih kecil dan cepat berbuah.
AMALAN KULTUR
Bagi kawasan berbukit-bukit, kecerunannya hendaklah tidak melebihi 20o. Teres penanaman, jalan ladang dan langkah-langkah pengawalan hakisan perlulah dibuat bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan dan penjagaan ladang. Kawasan yang bertekstur sederhana memadailah dibajak piring sekali dan diikuti dengan bajak putar. Kawasan yang bertekstur keras pula disyorkan dua kali bajak piring dan bajak putar.
BENIH TANAMAN
Boleh dibiakkan dengan kaedah cantuman mata tunas atau baji dan kaedah lain yang sesuai. ((i) lihat panduan cantuman mata tunas / baji (ii) cantuman pokok). Pokok penanti dari jenis mangga telur digunakan kerana ianya sangat sesuai, peratus percambahan tinggi, saiz kecil dan mudah diperolehi. Buah yang digunakan untuk tujuan pokok penanti mestilah cukup matang bagi mendapatkan peratus percambahan yang tinggi disamping memudahkan kerja-kerja memproses.
Selepas diproses, biji benih dirawat dengan racun kulat dan disemai di dalam kotak semaian yang berisi pasir halus dari sungai. Siraman dibuat 2-3 kali sehari. Semaian dibuat di bawah lindungan 45% telus cahaya. Percambahan berlaku selepas 2-3 minggu biji benih disemai. Anak-anak pokok penanti boleh diubah ke dalam polibeg setelah berumur 4-5 minggu. Media tanah campuran ialah 7:3:2 atau 5:2:1 (tanah:baja organik:pasir) dimasukkan ke dalam polibeg berukuran 20.3 cm x 30.5 x 0.125 cm. Anak-anak pokok penanti boleh diletakkan di dalam rumah teduhan atau di semaian terbuka.
Siraman kepada anak pokok penanti dibuat setiap hari. Racun kulat digunakan apabila perlu. Pembajaan dibuat dengan menggunakan baja kimia diselangi dengan baja organik seperti tahi ayam. Ini disyorkan kerana ia dapat mengekalkan kesuburan tanah lebih lama. Kerja-kerja cantuman boleh dibuat setelah pokok penanti berumur 4-5 bulan. Teknik yang biasa dilakukan ialah cantuman mata tunas kerana ia mudah dilakukan, kos yang lebih rendah, peratus kejayaan tinggi, pokok lebih tahan dan pertumbuhan lebih cepat.
SISTEM PENANAMAN
Untuk memaksimumkan pengeluaran hasil mangga dan juga memperolehi harga pasaran yang baik, penanaman campuran klon mangga adalah disyorkan. Bagi kawasan yang telah ditanam dengan klon tunggal dan menghadapi masalah pembungaan dan pengeluaran buah, campuran klon boleh diperolehi dengan kaedah cantuman dewasa di ladang, di mana pokok asal akan ditebang sehingga tinggal ketinggian lebih kurang 1 meter dari permukaan tanah. Tunas baru akan mula terbit sebulan kemudian. Kerja-kerja mencantum dengan mata tunas boleh dilakukan 5 bulan selepas menebang pokok dan hasil akan diperolehi 2 tahun selepas mencantum.
PENANAMAN DI LADANG
Sebaik-baiknya dilakukan pada awal musim hujan. Bagi kawasan tanah yang rata dan landai, sistem segi empat, segi tiga sama dan siku keluang boleh digunakan, manakala di kawasn yang curam pokok ditanam mengikut kontur bagi mengurangkan masalah hakisan tanah. Jarak tanaman ialah 9m x 9m bagi klon yang bersifat tinggi dan besar dan 7.5m x 7.5m bagi klon yang sederhana besar.
Lubang tanaman digali, berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm. Asingkan tanah atas daripada tanah bawah. Gaulkan 10 kg baja organaik dan 200 gm CIRP dengan tanah atas dan masukkan semua ke dalam lubang, diikuti dengan tanah bawah untuk dijadikan busut. Lubang dibiarkan selama 1 bulan. Semasa menanam, lubang digali semula sebesar beg plastik anak mangga yang hendak ditanam. Buangkan plastik sebelum anak benih ditanam. Kayu pancang atau kayu penyokong digunakan supaya anak pokok tidak patah atau tumbang bila ditiup angin. Sungkupan diletak di pangkal pokok bagi mengekalkan kelembapan dan mengawal rumpai. Penyiraman dijalankan setiap hari.
PEMBAJAAN
Pembajaan yang sempurna menjamin tanaman mangga tumbuh subur dan memberi hasil yang optimum. Pembajaan tanaman ini dipengaruhi oleh faktor seperti jenis tanah dan untuk tanaman tersebut.
Program pembajaan untuk tanaman mangga
Peringkat Pertumbuhan Umur Pokok
(Tahun) Jenis Baja Sebatian (N:P:K:Mg) Kadar Baja
Kg/Pokok/
/Tahun Cara dan Masa Membaja
Masa menanam Pembajaan asas
CIRP
Baja Organik 0.2
10 Dimasukkan ke dalam lubang dan gaul bersama tanah atas.
Tumbesaran 1
2
3 15:15:15 atau
14:13:19:2 atau
15:15:6:4
Baja Organik 1.0
10-15
Bahan organik ditabur dan digaul di permukaan tanah, dipangkal pokok sekali setahun. Baja sebatian ditabur/secara poket di bawah julai daun 3-4 kali setahun.
Berbuah 4
5
6
7
>8
12:12:7:2+TE atau
12:6:22:3 atau
13:13:20:2+TE
Baja Organik
2.0
2.5
3.0
4.0
4.0
15-40
Baja sebatian ditabur 3-4 kali sethaun.
Baja organik ditabur dan digaul di permukaan tanah, di pangkal pokok sekali setahun.
PEMANGKASAN
Pemangkasan (cantasan) adalah amalan penting yang perlu dilakukan. Ia dapat mengekalkan perseimbangan di antara dahan dan ranting supaya kelihatan lebih menarik disamping mendapat penghasilan buah yang lebih tinggi dan seragam. (sila lihat panduan pangkasan pokok).
PENGURUSAN AIR
Tanaman mangga memerlukan keadaan kering untuk mula berbunga dan berbuah. Di kawasan di mana kemarau berpanjangan dan pokok mengalami kekurangan air, putik buah akan mengalami keguguran dan pembesaran buah akan terjejas. Untuk mengelakkan keadaan ini, pokok perlu diberi pengairan sekurang-kurangnya selama tujuh minggu sebaik sahaja selepas pembungaan penuh. Kadar keperluan air sepokok sehari oleh tanaman adalah berbeza mengikut peringkat tumbesarannya.
Apabila pembentukan putik buah bermula, pengairan perlu diberi berterusan sehingga buah hampir matang iaitu lebih kurang 7 minggu kemudian. Selepas itu ianya diberhentikan bagi mengelak buah dari merekah kerana tumbesaran buah terhad dan juga bagi mempercepatkan proses kematangan buah. Memandangkan iklim di Malaysia yang panas, disyorkan pemberian air dijalankan 2 kali sehari dan jumlahnya tidak melebihi kadar keperluan harian yang ditetapkan.
PENJARANGAN DAN PEMBUNGKUSAN BUAH
Amalan menjarangkan buah dilakukan serentak semasa membungkus buah. Biasanya buah dijarangkan sehingga 2-3 buah setangkai sahaja untuk dibiarkan membesar. Penjarangan diamalkan bagi mendapat hasil buah yang bermutu serta saiz dan bentuk buah yang hampir seragam.
Buah mangga biasanya dibungkus pada peringkat 40-45 hari selepas berputik iaitu apabila buah mangga sebesar telur ayam. Hanya buah yang bersih dan tidak cacat sahaja dipilih untuk dibungkus. Sebelum membungkus, buah mangga perlu disembur dengan racun serangga dan racun kulat yang disyorkan.
Buah mangga dibungkus dengan kertas yang biasanya dijadikan beg yang saiznya boleh menampung buah yang telah matang. Setiap beg dikhaskan untuk membungkus sebiji buah sahaja walaupun terdapat beberapa buah dalam satu tangkai. Beg kertas ini perlu diberi tanda dengan warna-warna yang berbeza bagi memudahkan pemetikan. Kerja-kerja ini penting kerana pembungaan berlaku berperingkat-peringkat dan ini menyebabkan peringkat kematangan buah juga berperingkat-peringkat.
TEMPOH KEMATANGAN
Pengiraan umur buah mengikut kalender merupakan cara yang mudah untuk menentukan kematangan buah mangga. Catatan umur buah yang sesuai dituai dikira sasma ada daripada pemekaran bunga atau pembentukan putik buah. Masa yang sesuai untuk penuaian beberapa varieti mangga adalah seperti berikut:-
Tempoh kematangan mengikut klon
Klon Umur dari peringkat berputik (minggu)
Chok Anan (MA 224)
Golek (MA 162)
MAHA 65 (MA 165)
Masmuda (MA 204)
Harummanis (MA 128)
Nam Dorkmai (MA 223)
Tok Boon
Epal
Malgoa
Sala
Maha 65
Lebai Mohamad 10
12
16
13
12
12
15
15
12
12
16
13
Buah yang matang tenggelam di dalam air kerana ketumpatannya lebih daripada 1. Sementara buah yang belum matang pula timbul dalam air dan ketumpatannya kurang daripada 1. Penentuan cara ini sesuai bagi buah mangga Masmuda dan Cokanan. Selanjutnya buah yang matang (buah yang tenggelam dalam air) boleh diasingkan lagi mengikut darjah kematangan menggunakan larutan garam biasa (NaCI) pada kepekatan yang berbeza-beza.
PENGUTIPAN HASIL
Pengutipan buah mangga bergantung kepada pasaran dan destinasi pemasaran. Buah yang dituai hendaklah mencapai peringkat kematangan yang sesuai. Kerja-kerja penuaian perlu dijalankan dengan cermat dan teliti supaya mutu buah terpelihara. Penuaian boleh dilakukan dengan memotong tangkai buah serapat yang boleh dengan daun terakhir menggunakan kacip pemotong. Pemetikan cara ini dilakukan dengan tangan dan sesuai bagi pokok yang rendah atau pokok yang buahnya mudah dicapai apabila menggunakan tangga. Bagi pokok yang tinggi dan tangga tidak boleh digunakan, alat-alat tertentu seperti perangkap jaring yang dipasang pada galah yang panjang boleh digunakan.
Buah yang dipetik boleh mengeluarkan lelehan getah sekiranya buah ditarik dari tangkainya. Lelehan getah ini boleh menurunkan mutu buah sekiranya ia dibiarkan kering. Untuk mengurangkannya disyorkan memotong tangkai buah lebih panjang ketika memetik buah. Elakkan getah dari meleleh ke permukaan kulit buah dengan menyusun tangkai buah menghala ke bawah.
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Pengendalian di Ladang
Buah yang dituai, dikutip dan dikumpulkan di kawasan teduhan yang terlindung dari pancaran matahari dan disusun di atas guni atau sponge. Selepas buah dikumpulkan, ia perlu disusun semula dalam bakul-bakul plastik yang berjaring. Bakul-bakul tersebut perlu dilapik dengan sponge atau alas yang sesuai untuk mengelakkan buah-buah dari tercedera atau rosak semasa pengangkutan dari ladang ke pusat pembungkusan.
Pengendalian di Pusat Pembungkusan
Di Pusat Pembungkusan, buah dipillih (untuk mengasingkan yang rosak), dibasuh, dikering, digred, diperam, disimpan dan dibungkus untuk dieksport. Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang dijalankan:-
Membasuh
Kertas pemebalut dibuangkan, tangkai dipotong sehingga tinggal tidak melebihi 0.3 cm. Buah dimasukkan ke dalam tangki air dan digosok dengan sponge atau kain. Kelaskan buah yang mempunyai ciri-ciri dan saiz yang sama.
Pengeringan
Buah yang sudah dibasuh dikeringkan dengan meletakkannya di atas para yang beralas sponge bagi mengelak buah dari tercedera. Buah tersebut perlu disusun selapis sahaja dan tidak terdedah kepada cahaya matahari atau bahan-bahan panas. Biasanya kipas angin digunakan dalam proses pengeringan.
Penggredkan
Kerja-kerja penggredan buah dilakukan semasa menyusun untuk dikeringkan. Aktviti penggredan dilakukan untuk memenuhi kehendak pasaran dan meningkatkan kualiti buah. Mutu buah digredkan di bawah 3 gred iaitu Gred A, Gred B dan Gred C. Boleh dikelasifikasikan sebagai besar (>500 gm), sederhana (350-500 gm) dan kecil 250-350 gm).
Pemeraman
Biasanya buah mangga yang dikutip akan masak dalam masa 3-4 hari. Proses pemeraman dilakukan sekiranya buah yang akan dipasarkan masih belum masak. Beberapa kaedah digunakan seperti membalut buah dengan kertas, diperam dalam bakul atau kotak. Penggunaan gas etelina juga diamalkan untuk mendapatkan keseragaman buah yang masak dan kulit yang menarik. Untuk tujuan ini, sebuah bilik pemeraman khas diperlukan. Gas etelina pada kadar 5 bpj didedahkan kepada buah mangga selama 19 jam dan suhu dikawal diantara 20oC-30oC dengan kelembapan bandingan pada kadar 85-90%.
Pembungkusan
Jenis pembungkusan yang disyorkan bagi tujuan pemasaran adalah menggunakan kotak kertas. Saiz kotak berbeza-beza tetapi atasnya perlu mempunyai lubang-lubang udara dengan muatan yang terhad kepada kuantiti atau berat yang telah ditentukan. Sebaik-baiknya buah mangga hendaklah diisi selapis sahaja dan dibahagian dalam kotak tersebut perlu ada sekatan atau ruang-ruang kecil bagi setiap buah untuk mengelakkan buah daripada bergerak yang mana boleh merosakkan buah. Buah-buah tersebut juga boleh dibungkus dengan kertas lembut atau bahan-bahan lain sebagai kusyen atau sponge.
PENYIMPANAN
Buah-buah yang telah diproses dan tidak dapat dijual terus perlu disimpan di dalam bilik sejuk yang mempunyai suhu antara 9-10oC. Penyimpanan secara ini adalah bertujuan melambatkan buah mangga dari menjadi rosak. Buah mangga dapat disimpan selama 4-7 hari buah akan masak. Sekiranya tiada bilik sejuk, penyimpanan secara biasa boleh diamalkan. Buah dimasukkan ke dalam kotak atau bakul, disusun selapis dan dilapik dengan sponge. Seterusnya, kotak diletakkan di atas para. Pastikan tiada buah yang rosak atau berpenyakit kerana ini akan memudahkan jangkitan penyakit atau merosakkan buah-buah yang elok.
PENGANGKUTAN
Untuk pasaran tempatan dan bagi menjamin kualiti buah, lori yang digunakan perlu mempunyai pengedaran udara yang baik, dan bertutup di atas supaya buah tidak terdedah kepada sinaran cahaya matahari. Kotak atau bakul buah tidak disusun terlalu tinggi dan padat kerana ia membuatkan buah tertindih dan rosak. Kontena berhawa dingin digunakan bagi pengangkutan jauh agar buah dapat disimpan lebih lama dan tidak mudah rosak.
KENALI PENYAKIT MANGGA
Penyakit Antranos Buah
Penyakit Antraknos buah dan hawar jambak bunga adalah disebabkan oleh kulat yang sama dan menjadi penghalang utama dalam pengeluaran mangga di kawasan tropika. Penyakit ini boleh menyebabkan putik mangga gugur. Penyakit ini juga menyebabkan kerosakan yang tinggi pada buah-buah selepas dipetik jika tidak dikawal.
Tanda-tanda penyakit:
Penyakit ini bermula dengan bintik-bintik hitam kecil di permukaan kulit buah. Bintik ini membesar dan bercantum menjadi tompok-tompok hitam. Biasanya terdapat retak-retak pada tompok hitam tersebut. Dalam keadaan lembab, tompok-tompok hitam tersebut diselaputi oleh lapisan spora-spora berwarna merah muda, biasa dalam bentuk cecincin berpusar. Jika terdapat hujan semasa pembetukan buah, kulit buah akan ditumbuhi bintik kecil yang keras dan timbul, kulit buah menjadi capuk-capuk dan berkerak. Jika musim hujan lebat, kulat-kulat yang terdapat di bahagian atas buah akan turun mengikut aliran hujan menjadikan buah dijangkiti penyakit ini. Apabila buah semakin matang, di hujungnya menjadi hitam dan isinya reput menjadi warna perang kehitaman. Antraknos juga menyerang buah matang di peringkat penyimpanan sebelum dipasarkan.
Agen penyebab:
Patagen penyakit Antraknos ini ialah kulat Colletotrichum gloeosporioides Penz.
Kawalan:
Sembur dengan racun kulat seperti maneb, mancozeb, propineb, chlorothalonil, captafol, benomyl, thiolpanatemethyl dan racun kulat jenis kupram. Ini boleh diguna secara berasingan, campuran atau berselang seli.
Sembur dengan tiga campuran racun iaitu racun kulat, baja daun dan racun serangga contoh: mancozeb, baja daun dan deltamethrin.
Penyakit Antraknos Jambak Bunga
Tanda-tanda penyakit:
Penyakit yang paling serius, boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk. Bunga dan putik-putik kecil yang diserang penyakit ini akan gugur dan menyebabkan pokok tidak berubah. Serangan semakin teruk di musim hujan dan lembab.
Tanda-tanda penyakit bermula dengan bintik kecil, nekrotik dan berwarna hitam pada kudup, bunga, tangkai bunga dan keseluruhan jambak bunga. Bintik-bintik tersebut membesar dan bercantum menyebabkan keseluruhan jambak bunga menjadi hitam dan kering.
Kawalan: Seperti kawalan penyakit antraknos buah.
Penyakit Antraknos Daun
Penyakit kulapuk hitam selalunya dikelirukan sebagai penyakit jelaga hitam. Kulat penyakit ini berbeza dengan kulat jelaga hitam kerana kulat ini adalah adalah sejenis parasit obligate. Penyakit ini tidak menyebabkan kerosakan yang teruk walaupun ia sering terdapat. Kulit ini juga mengurangkan permukaan fotosintesis. Perhubungan yang rapat antara kulat ini dengan koya adalah kerana manisan yang dikeluarkan oleh koya menggalakkan pertumbuhan kulat ini.
Penyakit ini bermula dengan bintik nekrotik yang kecil tersebar di seluruh permukaan daun. Lama kelamaan bintik-bintik membesar berbentuk bulat atau bersegi. Dalam cuaca lembab atau hujan bintik-bintik menjadi lebih besar dan dalam pelbagai bentuk. Tompokan ini berwarna perang muda hingga kelabu keperangan di tengah dan perang gelap kehitaman di sekelilingnya. Di musim kemarau tompokan menjadi kering dan gugur dan menyebabkan daun berlubang-lubang seperti ditebuk.
Agen penyebab:
Patogen penyakit Antraknos ini ialah kulat Colletotrichum gloeosporioides Penz.
Kawalan: Sama seperti antraknos buah.
Penyakit Bintik Alga
Penyakit ini terjadi apabila pokok kurang subur, keadaan tanah yang tidak baik dan pokok yang ditanam terlalu rapat. Pada serangan yang teruk, alga ini menutup permukaan daun dan ia juga menyebabkan kulit pada batang pokok mangga mengelupas.
Terdapat tompok-tompok berwarna perang seperti karat yang berukuran 5-8 mm pada permukaan atas dan bawah daun. Lama kelamaan tompok yang berwarna karat tadi menjadi pudar dan berubah warna menjadi perang kehijauan. Dengan sendirinya tompokan itu akan hilang dan meninggalkan tompokan putih, kering dan menjadi kehitaman menyebabkan kawasan untuk fotosintesis pada permukaan daun kurang.
Agen penyebab:
Penyakit bintik daun alga ini disebabkan oleh alga hijau yang diberi nama Cephaleuros virescens Kunze.
Kawalan:
- permbaiki amalan-amalan pertanian seperti saliran, dll.
- pembajaan baja yang baik.
- sentiasa kawal serangga seperti hama dan penyakit kulat yang lain dari semasa ke semasa.
- pokok yang ditanam terlalu rapat hendaklah dilakukan cantasan untuk memperbaiki
pengudaraan kawasan tersebut dan supaya banyak terdedah kepada cahaya matahari.
Penyakit Kulapuk Hitam
Penyakit ini adalah penyakit yang biasa didapati dan menyebabkan kerosakan yang teruk pada daun-daun mangga. Daun mangga pada peringkat pucuk sangat peka kepada penyakit ini. Jika serangan teruk, pucuk-pucuk pokok mangga akan mati terutama di musim-musim hujan. Penyakit antraknos daun ini adalah punca kepada jangkitan penyakit hawar jambak bunga dan antraknos buah. Oleh itu kawalan penyakit antraknos daun adalah penting untuk menghalang kerosakan pada jambak bunga dan buah.
Tanda-tanda penyakit:
Serangan kulapuk hitam kelihatan seperti tompokan hitam seperti baldu dan terdapat di dalam berbagai-bagai betuk hingga sebesar 1 cm. Tompokan ini selalunya banyak, meliputi seluruh permukaan daun. Biasanya terdapat di permukaan atau daun, juga terdapat pada tangkai dan ranting.
Agen penyebab:
Penyakit ini disebabkan oleh kulat Meliola mangiferae Earle.
Kawalan:
Kawalan penyakit ini boleh dibuat dengan menghapuskan koya-koya. Penyemburan racun serangga dan racun kulat dari semasa ke semasa untuk mengawal perosak-perosak utama akan melindungi pokok dari serangan penyakit ini.
Penyakit Jelaga Hitam
Penyakit jelaga hitam tersebar luas dan biasanya terdapat pada tanaman mangga tetapi ia bukanlah jenis parasitik. Ia mendapat makanan dari manisan yang dikeluarkan oleh kutu daun, koya-koya dan lain-lain serangga. Jelaga hitam menutup permukaan daun dan mengurangkan fotosisntesis menyebabkan pokok mangga mengeluarkan buah yang sedikit dan pokok kelihatan tidak sihat.
Haifa jelaga hitam ini juga menyerap air menyebabkan permukaan daun sentiasa berkeadaan lembab dan ini akan menggalakkan penyakit-penyakit lain merebak. Jelaga hitam juga menyebabkan mutu buah rnedah untuk pemasaran. Jelaga hitam biasanya terdapat pada batang, dahan, ranting , daun dan juga pada buah. Pada daun dan ranting, kulat ini kelihatan seperti jaringan haifa yang longgar atau lapisan nipis atau lapisan tebal seperti baldu. Pada buah pula jelaga hitam kelihatan seperti selaput nipis berwarna hitam yang bercorak seperti aliran airmata.
Agen penyebab:
Penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis kulat jenis Ascomycete. Kebanyakan spesies ini mempunyai peringkat mengawan dan tidak mengawan. Konidianya adalah jenis gelap dan begitu juga perithecianya. Pertumbuhan berbagai jenis kulat ini menyebabkan kerja mengenalpasti spesies sukar. Genera yang biasa didapati pada mangga ialah:-
Tripospermum, Limaciluna, Trichopelteca, Chaetothyrium, Antennulariella,
Capnodendron, Scorias (Neocapnodium), Scolecoxyphium dan Polychaeton.
Kawalan:
Kawalan serangga yang mengeluarkan manisan. Sembur dengan racun malathion, white oil, demoton-S-methyl dan methamidophos.
Penyakit Bintik Kerah (Crusty leaf spot)
Penyakit ini biasa ditemui pada daun-daun tua yang pokoknya kurang subur. Pokok di kawasan dusun, tapak semaian dan pokok yang ditanam di kawasan rumah selalu diserang oleh penyakit ini. Penyakit ini hanyalah menyebabkan bintik-bintik pada daun dan tidak begitu merbahaya.
Penyakit ini kelihatan seperti bintik gelap yang timbul, keras serta berbentuk bulat atau lonjong. Bintik ini terdapat pada permukaan bawah daun. Bintik keras ini berukuran lebih kurang 1 mm dan senang ditanggalkan dari daun. Di permukaan atas daun pula bintik ini kelihatan kekuningan dan di tengahnya bintik berwarna gelap. Daun-daun pada dahan-dahan di bahagian bawah pokok kerap diserang penyakit ini.
Agen penyebab:
Disebabkan oleh kulat yang bernama Zimmermaniella trispora P. Henn.
Kawalan:
Sembur racun kulat untuk mengawal penyakit lain adalah mencukupi bagi menjauhkan penyakit ini. Lakukan pembajaan yang betul dri semasa ke semasa.
Penyakit Cendawan Angin
Penyakit ini adalah yang paling merbahaya menyerang bahagian kulit dahan, ranting dan batang utama pokok mangga. Pokok mangga yang berumur 5-15 tahun yang mempunyai kanopi agak tebal amat mudah dihinggapi oleh penyakit ini. Penyakit ini menyebabkan dahan yang diserang menjadi layu dan kering. Keadaan ini akan mengurangkan kanopi dan juga keupayaan berbuah.
Pada peringkat awal, terdapat bebenang putih seperti sutera di atas permukaan kulit batang. Dalam keadaan yang sesuai bebenang tersebut terus membaluti batang dan lama kelamaan warnanya bertukar menjadi merah muda. Bebenang ini akan kering bila batang yang diserang menjadi kering dan mati. Pada peringkat ini, maisila yang sterile berwarna merah muda menjadi semakin tebal lalu membentuk selaput.
Agen penyebab:
Disebabkan oleh kulat Corticium salmonicolor Berk et Br. dari keluarga Corticiaceae.. Kulat ini mengeluarkan dua peringkat, iaitu peringkat "corticium" dan "necator" Di peringkat "corticium" spora dikeluarkan di atas lapisan hymenium. Pada peringkat "necator" konidia dikeluarkan dari "sporodochium".
Kawalan:
Sentiasa jalankan pengawasan supaya penyakit ini dapat dirawati sebelum jadi teruk. Pangkas batang yang teruk diserang dan bakar. Sapu bahagian yang diserang dengan racun kulat jenis tridemorph dan lain-lain.
PEROSAK TANAMAN MANGGA DAN CARA MENGAWALNYA
Kumbang belangkas (Hypormeces squamosus)
Memakan pucuk, daun muda dan tangkai buah yang belum matang. Buah akan luruh awal dan tidak akan masak walaupun diperam. Balut buah di peringkat kecil. Sembur dengan dizinon atau cypermethrin.
Kumbang pengerat pucuk (Deporaus marginatus)
Menyerang tanaman pada peringkat berpucuk. Sebur dengan carbaryl, cypermethrin, deltamethrin atau dichlorvos.
Kumbang curculion (Alcidodes spp.)
Menyerang pucuk muda. Terdapat tanda hitam memanjang di bahagian tangkai pucuk. Pucuk akan bantut dan mati.
Kumbang pengorek buah (Cryptorrjynchus mangiferae)
Mengorek lubang di peringkat putik lagi. Lubang akan tertutup apabila buah semakin besar.
Ulat pengorek pucuk (Chlumetia transversa)
Larva mengorek bahagian pucuk dan terus memakan bahagian tengah tangkai pucuk. Pucuk menjadi kecut dan mati.
Ulat pengorek batang (Rhytidodera simulans)
Menyerang pokok matang. Ulat yang menetas di dalam ranting mengorek masuk ke dalam pucuk dan terus menuju ke dalam batang. Ranting atau dahan yang diserang mempunyai lubang-lubang dan daun layu atau mati. Cantas dan musnah ranting yang diserang. Kawalan dengan racun serangga seperti malathion atau carbaryl. Masukkan paradichlorobenzene (ubat gegat) yang hancur ke dalam lubang, ditutup dengan tanah liat.
Lelompat daun (Idioscopus nitidulus)
Dewasa dan nimfa menghisap sap dari daun muda, menjadikan daun kecil. Kawalan dengan imidachloprid, carbaryl atau cypermethrin.
Lalat Buah (Bactrocera dorsalis)
Menyerang buah yang hampir masak menjadikannya busuk dan berair. Bungkus buah di peringkat sebesar telur ayam. Guna umpan protein dicampur dengan racun serangga. Sembur dengan acephate, cypermethrin, deltamethrin, dimethoate atau fenthion.
SPESIFIKASI PIAWAIAN DAN GRED MANGGA
(sumber: FAMA)
Skop
Spesifikasi piawaian dan gred ini adalah untuk buah mangga yang dipasarkan di pasaran domestik yang merangkumi buah jenis Harumanis, Maha, chokanan dan Nam Dok Mai.
Definasi Terma
Bagi tujuan spesifikasi tersebut, terma-terma yang digunakan akan bermaksud:
Tahap Kematangan
Terdiri daripada enam indeks kematangan seperti berikut:-
Indeks 1:
Buah muda berwarna hijau, kusam dan jika dimasukkan ke dalam bekas berisi air (ujian densiti) buah akan timbul. Tidak sesuai untuk dipasarkan.
Indeks 2:
Hijau muda berkilat. Buah telah matang dan warna hijau.
Indeks 3:
Hijau kekuningan
Indeks 4:
Kuning Kehijauan
Indeks 5:
Kuning. Buah berwarna kuning keseluruhan dari pangkal hingga hujung buah.
Indeks 6:
Kuning sedikit jingga. Buah telah terlalu masak dan lisut. Tidak digalakkan untuk dipasarkan.
Kotor
Terdapat pasir, lumpur, getah buah dan lain-lain yang boleh dibersihkan.
Segar
Buah yang cantik dan bersih.
Cacat Bentuk
Bentuk buah yang ganjil dan tidak seperti bentuk biasa buah mangga.
Rosak
Buah yang rosak akibat kecederaan mekanikal seperti luka, pecah, lebam dan busuk reput akibat serangan penyakit dan makluk perosak, lisut dan nyahwarna luar biasa, lecur terbakar serta kesan seperti cacat rupa yang melebihi 25% permukaan kulit buah.
Cacat Rupa
Mempunyai kesan tompok hitam akibat serangan lalat buah dan/atau kesan warna kelabu akibat terkena getah semasa penuaian pada permukaan kulit buah. Kesan-kesan ini terdapat pada 10%-25% permukaan kulit buah.
Keperluan Minima
Agak bebas daripada rosak disebabkan kecederaan mekanikal dan penyakit, kotoran dan sesuai untuk dimakan oleh manusia. Telah mencapai peringkat kematangan yang mencukupi (indeks 2- indeks 5).
Pengelasan Gred dan Saiz
Gred 1
Dari varieti sama dan kandungan bahan pepejal larut > 8oBix
Keseragaman tahap kematangan (kelonggaran maksimum: 5%)
Kesegaran (kelonggaran maksimum: 5%)
Kecacatan: cacat rupa, cacat bentuk, kotor (kelonggaran maksimum: 10%)
Kerosakan (kelonggaran maksimum: 5%)
Saiz yang seragam (berat >500 gm) (kelonggaran maksimum: 5%)
Gred 2:
Dari varieti sama:
Keseragaman tahap kematangan (kelonggaran maksimum: 5%)
Kesegaran (kelonggaran maksimum: 5%)
Kecacatan: cacat rupa, cacat bentuk, kotor (kelonggaran maksimum: 15%)
Kerosakan (kelonggaran maksimum: 10%)
Saiz yang seragam (berat 350-500 gm) (kelonggaran maksimum: 10%)
Luar Gred:
Buah yang tidak memenuhi ciri-ciri di atas
Pembungkusan dan Perlabelan
Pembungkusan:
Buah mangga daripada gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan.
Perlabelan
Tiap-tiap unit pembungkusan hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat berikut:-
- Tarikh
- Nama / kod penanam
- No. kad pengenalan
- No. Pendaftaran Syarikat
- Alamat
- Komoditi
- Berat Bersih
- Gred
Persampelan
Bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 78: 1973 Method of Sampling Fresh Fruits atau kaedah statistik yang dipersetujui.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:-
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
Kementerian Pertanian Malaysia
Bangunan FAMA POINT, Lot 17304, Jalan Persiaran Satu
Bandar Baru selayang, 68100 Batu Caves
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 603-61389622 Faks: 603-61383650 / 61385200
Emel: fama@pop.moa.my
Laman web: http://www.famaxchange.org/index.php
Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
No comments:
Post a Comment