Kebun Warisan's Followers

Showing posts with label Ulam. Show all posts
Showing posts with label Ulam. Show all posts

Monday, April 7, 2008

BERUBAT DENGAN TUMBUHAN

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:

Berubat dengan tumbuhan

ISI KANDUNGAN
Pengenalan
Berubat dengan tumbuhan :
halia
lengkuas
nangka
cengkih
asam jawa
petai belalang
pegaga
kacangma
semangkok
terung pipit


PENGENALAN

Malaysia kaya dengan hutan malar hijau. Iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun membolehkan banyak jenis spesies tumbuhan hidup di kawasannya. Setiap tumbuhan ini mempunyai pelbagai kegunaan kepada manusia. Antaranya, tumbuhan digunakan sebagai bahan makanan, bahan api, membina rumah, membuat kraftangan, dan perabot. Tetapi kegunaan tumbuhan untuk perubatan juga tidak dilupakan.

Sejak dahulu lagi, tumbuh-tumbuhan telah digunakan dalam mengubat penyakit tertentu. Manusia berubat dengan tumbuhan melalui pengalaman dan pengetahuan yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain. Selain itu, perhubungan antara rupa bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan sering dikaitkan dengan jenis penyakit yang ingin diubati.

Pada masa kini, masih ada ramai orang yang menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk mengubati beberapa jenis penyakit. Menurut Pertubuhan Kegiatan Sedunia (WHO), lebih kurang 70% populasi dunia menggunakan ubat dari tumbuhan di negara membangun dan negara mundur kerana ianya murah dan mudah didapati.

Kadangkala kita menggunakan tumbuh-tumbuhan perubatan ini tanpa disedari yang secara tidak langsung boleh mengubati penyakit. Antara tumbuh-tumbuhan perubatan ini ialah halia, lengkuas, petai belalang, asam jawa, kacangma, nangka, terung pipit, pegaga, semangkok, dan cengkih .

BERUBAT DENGAN TUMBUHAN

Nama saintifik : Zingiber officinale
Famili : Zingiberaceae
Nama biasa : Halia
Tumbuhan ini daripada jenis herba saka yang mempunyai rizom berubi. Biasanya halia ditanam di kawasan kampung.Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 1 meter. Daunnya pula panjang dan boleh menjangkau sehingga 20 sentimeter panjang. Warna daun halia hijau kekuningan. Ianya ditanam dengan cara mengerat rizomnya dan dipacak di tempat lain.

Dipercayai air halia dapat merawat penyakit gastrik, perut yang kembung dan merawat selsema. Selain itu, akar halia digunakan untuk menyembuh luka dan rizom halia digunakan sebagai ubat sakit kepala dan batuk kering.


Nama saintifik : Leucaena leucocephala
Famili : Leguminosae
Nama biasa : Petai belalang

Pokok ini sejenis pokok rendang. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 10 meter. Pokok ini dipercayai berasal Amerika Tengah. Daunnya kecil dan buahnya terdapat dalam bentuk lenggai yang pipih. Saiz lenggainya kira-kira 6 cm panjang dan 1 cm lebar. Lenggainya berwarna hijau dan berubah menjadi perang setelah tua.
Daun muda pokok ditumbuk bersama beras dan disapu pada leher untuk mengubati penyakit batuk. Campuran beras dan daun muda ditumbuk dan disapu pada keseluruhan badan untuk mengubati penyakit campak.

Nama saintifik : Alpinia galaga
Famili : Zingiberaceae)
Nama biasa : Lengkuas
Tumbuhan ini daripada jenis herba saka. Tumbuhan ini berasal daripada Pulau Jawa dan Malaysia. Lengkuas ditanam dan ada juga yang tumbuh liar di kawasan kampung. Batangnya lurus, gemuk dan berisi. Bunga pokok ini berwarna putih kehijauan.

Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 2 meter. Ianya ditanam dengan menyemai rizom yang berakar dan sesuai ditanam di tanah gembur yang mempunyai banyak cahaya matahari.

Antara kegunaan lengkuas dari segi perubatan ialah menggunakan daun lengkuas yang direbus dan rebusannya itu boleh digunakan sebagai losyen bayi. Selain itu, air yang diperoleh daripada batang muda lengkuas digunakan untuk merawat sakit telinga. Rizom pokok lengkuas pula dikunyah untuk menghilangkan bau mulut yang busuk dan akarnya digunakan sebagai ubat panau.


Nama saintifik : Hydrocotyle asiatica
Famili : Umbilliferae g)Nama biasa : Pegaga

Pokok tumbuh secara menjalar dan memanjat Ianya tumbuh liar dan ada juga ditanam untuk tujuan komersial. Daun tumbuhan ini kecil dan berukuran kira-kira 1 hingga 5 cm lebar. Batangnya lembut dan bunganya berwarna merah ungu.

Di bawah menunjukkan kandungan vitamin dan mineral dalam setiap 100 gram pegaga :

Serat
1.6 mg
Kalsium
171 mg
Fosforus
32 mg
Ferum
5.6 mg
Natrium
21 mg
Kalsium
391 mg
Karoten
2649 lg
Vitamin B1
0.09 mg
Vitamin B2
0.19 mg
Vitamin C
48.5 mg


Air daun pegaga dilaporkan boleh memanaskan badan terutamanya yang ibu yang baru lepas bersalin. Air daun pegaga direbus dengan sedikit gula dipercayai boleh mengubati sakit mata. Untuk merawat penyakit sengal badan pula, daun pegaga dicampurkan dengan sedikit bawang. Kemudian air rebusan itu diminum.

Nama saintifik : Artocarpus heterophyllus
Famili : Urticaceae
Nama biasa : Nangka
Pokok nangka ditanam di sekitar rumah untuk mendapatkan buahnya. Pokok ini besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 14 meter panjang dan 30 cm lebar. Kulit buahnya tebal dan berkeruntu. Pokok ini dikatakan berasal dari India.
Kajian saintifik menunjukkan bahawa buah nangka mengandungi sejenis bahan yang disebut sebagai asetilkolina, iaitu bahan pemancar saraf yang terdapat di dalam haiwan. Batang, daun dan buah pokok ini mempunyai getah yang putih dan melekat.
Daun nangka boleh menyembuhkan penyakit barah dengan mencampurkan biji jagung dan tempurung kelapa bersama. Kemudiannya dibakar dan disapukan pada bahagian yang menghidap barah.

Nama saintifik : Solanum torvum
Famili : Solanaceae j)Nama biasa : Terung pipit

Pokoknya adalah daripada jenis pokok renik yang tumbuh liar di kawasan terdedah. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 5 meter. Buah mudanya berbentuk bulat dan berwarna
hijau.Di dalam buahnya terdapat banyak biji yang kecil.
Akar tumbuhan digunakan sebagai ubat bagi kaki yang luka. Buahnya juga boleh menurunkan tekanan darah tinggi.

Nama saintifik : Eugenia aromatica
Famili : Myrtaceae
Nama biasa : Cengkih
Pokok ini ditanam untuk mendapatkan bunganya. Bunga cengkih digunakan sebagai rempah dalam masakan orang Melayu dan India. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 12 meter. Pokok ini menghasilkan bunga kira-kira 5 tahun selepas ditanam.

Daun pokok ini digunakan untuk mengurangkan sakit gigi dan bau mulut. Bijinya berwarna ungu keperang-perangan.Bunga cengkih mengubah warna pada tiga peringkat iaitu pada peringkat awal berwarna kehijauan dan kemudian bertukar menjadi warna kekuningan dan merah jambu.akhir sekali, ia menjadi warna merah pucat.

Nama saintifik : Northopanax scutellarium
Famili : Araliaceae i)Nama biasa : Semangkok

Pokok ini jenis renik. Ianya ditanam di kawasan rumah sebagai tumbuhan hiasan dan tumbuhan ubatan. Daunnya terdiri daripada 2 hingga 5 anak daun.Bentuk daunnya hampir-hampir bulat dan berkeadaan melekung dan berkedut. Tepian daunnya kelihatan bergerigi.Bunganya berwarna kuning dan bertangkai pendek.
Daunnya boleh merawat masalah keguguran rambut dan mengatasi masalah untuk membuang air kecil.

Nama saintifik : Tamarindus indica
Famili : Leguminosae
Nama biasa : Asam jawa
Pokoknya besar dan rendah. Ia hidup secara liar dan sering didapati di tepi jalan dan kawasan rumah di kampung.
Ketinggiannya boleh mencpai ketinggian 10 hingga 11 meter. Daunnya halus dan daun mudanya hijau pucat. Buahnya berbentuk bulat pipih dan memanjang hingga kira-kira 15 cm dan berwarna perang. Pokok ini mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk berbuah.
Buahnya dimakan bersama gula untuk menghilangkan serak dan batuk. Selain itu, asam jawa juga boleh menghilangkan bisa lebah dan lipan dengan menumbuk buahnya bersama air dan ditampalkan pada luka. Daunnya pula boleh dijadikan ubat bisul dengan ditumbuk dengan kunyit dan ditampal pada bisul .


Nama saintifik : Leonurus sibirus
Famili : Lamiaceae h) Nama biasa : Kacangma (nama tempatan Sarawak),
Motherwort (Bahasa Inggeris),
Yimucao (Bahasa Cina).

Pokok ini biasanya tumbuh liar atau ditanam di sekitar kawasan perumahan. Pokoknya tumbuh menegak. Ketinggiannya boleh mencapai 1 meter. Bunganya berwarna putih keungu-unguan atau merah jambu. Jika pokok ini tidak berbunga, ia kelihatan seakan-akan ulam raja.
Tumbuhan ini boleh mengurangkan sakit badan, melancarkan kitaran haid dan mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin.di samping itu, kacangma juga berfungsi membaiki peredaran darahdan merendahkan tekanan darah.

Nama saintifik : Parkia speciosa
Famili : Leguminosae ) Nama biasa : Petai

Pada masa dahulu, pokok petai hanya terdapat secara liar sahaja, tetapi kini ia sering ditanam kerana nilai komersialnya semakin meningkat.
Saiz pokok ini boleh mencapai sehingga 50 meter tinggi. Pokok ini mengambil masa yang lama untuk menghasilkan buah, iaitu kira-kira 5 tahun.
Buah petai dikatakan boleh mengubati penyakit kencing manis.


Nama saintifik : Eugenia malaccensis
Famili : Myrtaceae
Nama biasa : Jambu bol
Pokok ini besar dab daunnya juga besar. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 18 meter. Ia sering ditanam di sekitaran rumah kerana bentuknya yang rendang. Pokok ini boleh berbunga dan berbuah beberapa kali setahun.
Buahnya berbentuk bujur dan bersaiz kira-kira 5 cm panjang. Apabila masak, ia berwarna merah jambu atau merah tua. Terdapat juga buahnya yang berwarna putih kekuningan. Kulitnya amat nipis dan mudah tercelar. Bahagian dalam buahnya berwarna putih.
Daun jambu bol dikatakan boleh digunakan untuk merawat sakit tekak dan lidah yang luka. Untuk mengubati lidah yang luka, daunnya dikeringkan dan ditumbuk sehingga lumat dan kemudian disapukan pada lidah yang luka.

KESIMPULAN
Setiap tumbuhan perubatan mempunyai ciri-cirinya tersendiri seperti dari segi bentuk buah, akar, batang dan daunnya. Selain itu, sebilangan besar tumbuhan perubatan bukan sahaja boleh didapati dari buahnya sahaja, malah daun dan akarnya juga dapat merawat jenis penyakit yang tertentu. Di samping itu, mengubat dengan tumbuhan masih diramalkan terutamanya masyarakat luar bandar. Hal ini kerana kebanyakan tumbuh-tumbuhan ubatan ini mudah diperolehi dan murah serta merupakan tinggalan petua dari nenek moyang mereka.
Sementara itu, tumbuh-tumbuhan yang biasa digunakan dalam makanan harian mempunyai khasiat untuk kesihatan diri yang tidak disedari oleh kita. Misalnya tumbuh-tumbuhan yang telah dibincangkan, adakah anda sedar akan kegunaannya dalam mengubat penyakit tertentu ?
Oleh yang demikian, memang tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan memang banyak memberi manfaat kepada manusia sejagat sekiranya ianya digunakan dengan cara yang betul dan manusia masih mewarisi petua-petua yang ada.
RUJUKAN
Mustafa Ali Mohd. 1995, Siri Kenali Alam FRIM_PFB Ulam, Shah Alam. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Agromedia-Bil. 4,1998
http://www.hort.purdue.edu/newcrop/morton/tamarind.html
http://www.bioag.byu.edu/aghort/aghort100/ginger.html
http://www.foodsci.oost.edu/a/jack.html

Monday, March 17, 2008

Jering

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:

Jering
Archidendron jiringa ( Jack ) NielsenFamili: LeguminosaeNama lain: Jengkol
Buah jering juga tidak asing bagi masyarakat Melayu. Bijinya yang muda dimakan segar sebagai ulam atau dicicah dengan pelbagai resipi sambal ketika makan nasi.

Buahnya yang tua boleh dimasak dalam pelbagai resipi masakan tradisional. Cambahan kotiledonnya juga dimakan sebagai ulam. Pucuk jering berwarna ungu juga enak dimakan sebagai ulam. Keunikannya, jering dapat merangsang selera untuk makan nasi.
Bagaimanapun, jering tidak boleh dimakan banyak dan boleh menyebabkan kesakitan ketika membuang air kecil atau dipanggil �disepit jering�. Pengambilan yang sederhana sebagai ulam baik sebagai laksatif dan diuretik.

Jering mengandungi khasiat makanan sederhana. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian buah muda mengandungi: air 93 g, protein 3.5 g, karbohidrat 1.7 g, lemak 0.1 g, kalsium 21 miligram (mg), fosforus 25 mg, ferum 0.7 mg, vitamin B1 0.1 mg, vitamin C 12 mg

Pokoknya sederhana besar dan mencapai ketinggian 20 meter. Batangnya licin, berwarna kelabu asap. Dahannya bercabang banyak dan membentuk silara yang rimbun dan rendang.
Daunnya majmuk pinat, terdiri daripada dua hingga tiga anak daunnya berbentuk ovat-elips hingga oblong. Berukuran 8 � 15 sentimeter (sm) panjang dan 4 � 5 sm lebar.
Ketika muda anak daun ini berwarna merah keunguan dan bertukar hijau muda apabila matang. Bunganya sub-umbel, kecil, stamen banyak berwarna putih.
Lenggainya berputar, 20 � 25 sm panjang, 3 � 4 sm lebar dan berlobus pada tempat yang mengandungi biji dan berwarna perang keunguan atau kehijauan.
Tangkai dan lenggainya berkayu dan liat. Bijinya orbikular, 2.5 � 3 sm diameter, tebar 1.5 sm, testa berwarna putih kekuningan dan apabila masak bertukar perang

Pokok jering mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Di kampung pokok ini ditanam dalam konsep dusun. Di hutan sekunder dan belukar pula, pokok jering masih lagi didapati tumbuh liar. Tupai dahan adalah penyebar utama pokok ini.

Sunday, March 16, 2008

Petai

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:

Petai
Nama Saintifik : Parkia speciosaFamili: Mimosaceae

BUAH petai tidak asing kepada masyarakat Malaysia sebagai ulam dan penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional. Buahnya sama ada dimakan segar, dijeruk atau direbus enak jika dimakan dengan nasi.

Ulam berkenaan dapat merangsang selera sehingga nasi dirasakan lebih enak dan menambah selera. Petai juga dikatakan mengandungi khasiat dan boleh dijadikan sebagai ubat.
Pokok petai berasal dari Malaysia, Indonesia dan Thailand. Kini, pokoknya masih lagi dapat dilihat tumbuh liar di hutan. Di dusun, pokok petai adalah pokok yang dominan dan sering ditanam bersama pokok buah-buahan lain.

Pokok sederhana besar, setinggi 30 meter, batangnya agak lurus, berwarna kelabu keperangan, licin dan silaranya rendang terbuka. Daunnya terdiri daripada 14 hingga 18 pasang, anak daunnya halus, berukuran 5 � 10 milimeter (mm), panjang 1.5 � 3 mm lebar, berwarna hijau muda.

Bunganya banyak dan halus, bersesak-sesak pada kepala bunga, berwarna putih kekuningan. Lenggainya berbentuk papan, 35 � 45 sentimeter (sm) panjang, 3 � 5 sm lebar, Bijinya bujur 2 � 2.5 cm diameter, tersusun melintang sepanjang papan lenggai.
Terdapat sejenis petai di Sabah dan Sarawak mempunyai biji tersusun membujur.

Biji petai mengandungi khasiat makan agak tinggi.
Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 70 g, protein 10 g, lemak 1.8 g, karbohidrat 16.9 g, kalsium 126 miligram (mg), fosforus 3 mg, ferum 3.4 mg, natrium 11 mg, kalium 376 mg, vitamin B1 0.15 mg, vitamin B 2 0.2 mg, niasin 0.5 mg dan vitamin C 32.7 mg

Pokok petai mudah hidup tetapi memerlukan tanah yang subur. Sebaik-baiknya ditanam dalam keadaan belakar atau konsep dusun. Pokok Petai biasanya hidup bersimbiosis dengan pokok lain.

Sunday, December 23, 2007

>>ULAM TRADISIONAL MALAYSIA

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.


ULAM TRADISIONAL MALAYSIA
NOR AZURA BT. AB. AZIZ


KANDUNGAN
Pendahuluan
Jenis-Jenis Ulam Tradisional
Pengeluaran
Khasiat- Khasiat Ulam
Khasiat Pemakanan
Khasiat Perubatan
Kesimpulan
Rujukan
Lampiran

PENDAHULUAN
Ulam merupakan suatu juadah penting dalam hidangan harian di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Kini kegemaran memakan ulam telah merebak ke kawasan kota dan merangkumi masyarakat bukan Melayu. Misalnya ulam petai sekarang ini amat digemari oleh masyarakat keturunan Cina.
Sebagai takrifan umum, ulam ialah sayur-sayuran yang dimakan mentah, dicelur atau direbus sebelum dimakan. Biasanya ulam-ulam dicicah dengan sambal, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi sebagai pembuka selera. Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian sesuatu pokok yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunga.
Mengikut takrif tersebut, sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terung boleh dijadikan ulam. Satu lagi kumpulan ulam ialah ulam tradisional. Selain dicicah dengan sambal, ulam-ulam tradisional ini juga boleh dijadikan sebagai bahan dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu dan masakan sayur lemak. Sayur-sayuran ini dianggap tradisional kerana mudah didapati di kawasan-kawasan kampung, kadang-kadang tumbuh dengan sendiri atau ditanam tanpa penjagaan rapi, serta telah dimakan sejak zaman dahulu lagi.

JENIS-JENIS ULAM TRADISIONAL
Lebih daripada 120 jenis ulam tradisional telah dikenal pasti di Malaysia sehingga kini (Muharyani 1987). Ulam-ulam ini dari berbagai famili tumbuh-tumbuhan. Ulam boleh didapati dari tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga, hingga pokok-pokok renek dan pokok- pokok besar seperti petai dan kerdas. Sebilangan pokok ulam ini jenis semusim manakala yang lain jenis saka.
Pokok petai misalnya, tergolong dalam pokok yang besar dan tinggi. Biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara. Pokoknya boleh meninggi atau menjulang antara 20 – 30 m seperti pokok binjai. Ukuran lilit batangnya boleh menjangkau antara 2 – 5 m. Manakala pegaga pula sejenis herba yang tumbuh menjalar dengan daun berbentuk cordate berukuran selebar 1.3 – 5.1 cm dan mempunyai tangkai daun yang panjangnya 2.5 – 7.6 cm.
Berdasarkan kedapatan dan kebiasaan, ulam-ulam tradisional secara amnya boleh dibahagi kepada dua kumpulan (Jadual 1). Kumpulan ulam yang popular dan mudah didapati di pasaran, contohnya rebung buluh, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, ulam raja dan sebagainya. Sementara beluntas, pucuk betik, cekur, pucuk gajus dan beberapa jenis ulam lagi termasuk dalam kumpulan kedua iaitu ulam yang kurang terkenal dan jarang didapati di pasaran.

Jadual 1. Beberapa Jenis Ulam Tradisional Malaysia

JENIS YANG POPULAR
Nama biasa
Nama saintifik
Buluh (rebung)
Bambusa sp.
Cekur manis
Sauropus androgynus
Jering
Pithecellobium jiringa
Kacang kelisa
Psophocarpus tetragonolobus
Kaduk
Piper sarmentosum
Kerdas
Pithecellobium bubalinum
Kesum
Polygonum minus
Nangka (buah muda)
Artocarpus integra
Paku (pucuk)
Athyrium esculentum
Pegaga
Hydrocotyle asiatica
Petai
Parkia speciosa
Pisang (jantung)
Musa sapientum
Selom
Oenanthe javanica
Terung pipit
Solanum torvum
Ubi kayu (pucuk)
Manihot esculenta
Ulam raja
Cosmos caudatus

JENIS YANG KURANG TERKENAL
Beluntas
Pluchea indica
Betik (pucuk)
Carica papaya
Cekur
Kaempferia galanga
Gajus (pucuk)
Annacardium occidentale
Geli-geli
Lasia spinosa
Kelor (daun)
Moringa oleifera
Kemahang
Colocasia esculenta
Keman
Neptunia prostrata
Keremak
Alternanthera triandra
Mengkudu (pucuk)
Morinda citrifolia
Pina-pina
Pterococcus corniculatus
Putat (pucuk)
Barringtonia racemosa
Paku rawan
Limnocharis flava
Salang
Claoxylon longifolium
Setang
Melia excelsa
Tapak itik
Marsilis minuta


PENGELUARAN
Cuma beberapa jenis ulam tradisional sahaja yang ditanam. Itu pun secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri atau dipasarkan. Antara ulam-ulam tersebut termasuklah ulam raja, selom dan kacang kelisa. Kebanyakan jenis ulam seperti jering, pucuk putat dan rebung dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan semulajadi seperti hutan atau dusun. Sebilangan besarnya pula merupakan hasil sampingan sesuatu tanaman yang ditanam untuk tujuan lain. Golongan ini termasuklah jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda dan pucuk gajus.

Memandangkan perkara-perkara tersebut, tahap pengeluaran dan keluasan kawasan tanaman ulam adalah amat sukar untuk ditentukan. Walau bagaimanapun, oleh sebab permintaan yang meningkat untuk beberapa jenis ulam terutama petai, terdapat petani-petani yang telah mula menanam ulam-ulam secara meluas atau komersial.

KHASIAT- KHASIAT ULAM
KHASIAT PEMAKANAN
Sebagaimana sayur-sayuran biasa, ulam-ulam juga mengandungi nilai pemakanan yang penting seperti karbohidrat, lemak, protein, mineral-mineral dan vitamin-vitamin untuk kesihatan manusia. Khasiat pemakanan beberapa jenis ulam utama yang dibandingkan dengan kubis dan sawi disenaraikan dalam Jadual 2.
Secara amnya ulam-ulam jenis biji, seperti petai dan jering, mempunyai nilai kalori atau tenaga yang tinggi (102 – 124 kcal/100g). Kandungan kalori ulam-ulam jenis buah pula sederhana, misalnya 78 kcal/100g bagi terung pipit. Kandungan kalori ulam-ulam jenis daun atau pucuk agak rendah iaitu 17 – 74 kcal/100g. Biasanya kandungan kalori ini berkait rapat dengan kandungan karbohidrat dan lemak. Bagaimanapun kandungan lemak ulam-ulam utama yang dikaji kurang daripada 1.8g/100g ulam.

Kandungan nutrisi biji petai berbeza mengikut umur dan kesegaran bijinya. Petai yang kecut atau bijinya tidak membulat merupakan petai yang tidak elok serta kandungan khasiatnya kurang. Petai yang segar mengandungi kandungan protein yang tinggi (10g/100g petai) dibandingkan dengan ulam-ulam lain. Kajian oleh MARDI menunjukkan bahawa protein di dalam petai dan jering adalah bermutu tinggi kerana mengandungi profil asid amino yang baik terutama asid-asid amino perlu. Kandungan protein bagi jering, pucuk ubi dan cekur manis pula di antara 5.8 dan 7.6 g/100g ulam. Ulam-ulam lain yang dikaji mempunyai kandungan protein yang kurang daripada 3.8 g/100g ulam.

Kebanyakan ulam mengandungi mineral-mineral utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan kalium (K). Daun kaduk didapati mempunyai Ca, P dan Fe yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain.

Kebanyakan ulam juga mengandungi vitamin-vitamin utama seperti karotena, vitamin A, B dan C. Antara ulam-ulam yang dikaji, cekur manis didapati amat kaya dengan karotena iaitu sebanyak 17 870 mg/100g ulam, dibandingkan dengan ulam-ulam lain yang karotenanya kurang daripada 5 700 mg/100g. Cekur manis dan pucuk ubi kayu didapati kaya dengan vitamin C (136 – 192 mg vitamin C/100g) dibandingkan dengan ulam-ulam lain. Kedua-dua jenis ulam ini sangat mudah didapati kerana tumbuh meliar di kawasan dusun atau belukar. Ia juga mudah tumbuh jika ditanam dan tahan terhadap penyakit.

Kebanyakan vitamin yang terkandung di dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba. Ini kerana biasanya ulam-ulam dimakan mentah iaitu tidak dimasak atau jika perlu direbus seketika sebelum dimakan. Vitamin yang mudah larut di dalam air dan mudah dimusnahkan oleh haba ialah vitamin B dan vitamin C.

Serabut adalah satu lagi komponen yang penting di dalam ulam-ulam. Sungguhpun serabut tidak dihadamkan, kita memerlukan sejumlah serabut untuk menjaga kesihatan badan. Serabut berguna untuk memberikan pukal (bulk) pada bahan buangan dan untuk pergerakan bahan buangan di dalam saluran penghadaman. Kekurangan serabut dalam sajian akan menyebabkan sembelit dan buasir. Sebilangan besar ulam, terutama jenis daun, mempunyai kandungan serabut yang melebihi 1.5 g/100g ulam. Kandungan serabut daun kaduk ialah antara yang tertinggi, iaitu sebanyak 2.7 g/100g daun.

KHASIAT PERUBATAN
Ulaman tempatan yang kita miliki sebenarnya buka sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar di samping sumber makanan yang berkhasiat. Dalam perubatan tradisional Melayu, beberapa jenis ulam dikatakan mempunyai khasiat perubatan sama ada sebagai pencegah atau penyembuh penyakit (Jadual 3).

Pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjanakan kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak. Sementara itu, Dr. Robert D. Willix Jr. dalam bukunya Health ang Longevity Newsletter menggelar pegaga sebagai “herba ajaib” kerana dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit. Rajen M, seorang ahli farmasi yang juga pensyarah di Universiti Malaya menyatakan khasiat pegaga telah lama diiktiraf di seluruh Asia.

Jering pula didapati mengandungi sejenis sebatian alkaloid yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Sementara bagi pesakit kencing manis pula, jering boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Khasiat daun kaduk untuk memperkuatkan tulang pula mungkin disebabkan oleh kandungan mineral, terutamanya kalsium yang tinggi.



Jadual 3. Khasiat Ulam Mengikut Perubatan Tradisional Melayu

Jenis Ulam
Khasiat
Cekur
Menguncupkan rahim (untuk wanita lepas bersalin), mencegah sakit dan sengal tulang, demam, batuk dan sakit kerongkong.
Jering
Mencegah penyakit kencing manis, membersihkan buah pinggang, memperbaiki pembuangan air kecil dan memperkuat tulang.
Kaduk
Memperkuatkan tulang.
Pegaga
Menguncupkan rahim, mengawet muda, memperbaiki peredaran darah, pertumbuhan rambut, memperkuatkan gigi dan untuk kecerdasan otak.
Petai
Mencegah penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kembung, membersihkan darah dan usus.
Pucuk betik
Membantu penghadaman.
Pucuk gajus
Membersihkan darah.
Pucuk mengkudu
Mencegah sakit kepala, buasir, kembung dan menguncupkan rahim.
Pucuk putat
Mencegah pening dan darah tinggi, membersihkan darah dan menguncupkan rahim.
Ulam raja
Membersihkan darah dan memperkuatkan tulang

Sumber : Muharyani (1987)

KESIMPULAN
Memakan ulam-ulaman ialah suatu amalan yang baik kerana selain membuka selera, ulam-ulam mempunyai khasiat daripada segi pemakanan dan perubatan. Kementerian Pertanian telah mengambil langkah awal dengan melaksanakan “Kempen Galakan Makan Ulam dan Sayuran Tempatan” untuk menyedarkan orang ramai tentang kelebihan dan khasiat memakan ulam-ulaman. Penanaman ulam juga diharap dapat dijadikan sebagai suatu aktiviti pertanian komersial yang dapat meningkatkan pendapatan petani-petani. Para petani dan penggemar ulam harus digalakkan menanam pokok-pokok ulam kerana sayuran ini selalunya tahan pada musuh dan penyakit; dan dengan demikian masalah sisa racun kimia yang mungkin memudaratkan kesihatan kita tidak akan timbul. Selain dari itu terdapat juga usaha-usaha untuk mengkomersialkan khasiat ulam dalam bentuk jus seperti jus pegaga dan jus mengkudu.

RUJUKAN
Muharyani, O. (1987). The raw facts of eating ulam. New Straits Times 6 Ogos 1987,
sect. 2, m.s 3
Tee, E.S. (1985). Nutrient composition of Malaysian foods – A preliminary table.Hlm 69.
Kuala Lumpur: Institute of Medical Research
Ong Hean Chooi. (1997). Nutrien dalam ulam penting untuk tubuh. Dewan Kosmik
Disember 1997, m.s 36 – 37
Berita Jabatan Pertanian (1988). Kempen galakan makan ulam dan sayuran tempatan.
Januari 1988, Bil. 1