Kebun Warisan's Followers

Monday, January 26, 2009

PENTERNAKAN PUYUH PEDAGING




Penternakan Puyuh Pedaging

Pembinaan Ladang

Pemiharaan puyuh pedaging tidak memerlukan kawasan yang besar. Ini adalah kerana sais puyuh jauh lebih kecil dari penternakan unggas lain seperti ayam. Walaupun demikian keperluan pemeliharaan adalah lebihkurang sama dengan penternakan ayam. Kawasan penternakan hendaklah mengikut perundangan negeri terlibat. Sebagai contoh, bagi negeri Johor penternakan puyuh memerlukan lesen mengikut keperluan Enakmen Industri Ternakan Negeri Johor.

Didalam pemilihan tapak kawasan penternakan sebaiknya kawasan ladang hendaklah jauh dari kawasan perumahan dan ladang-ladang unggas yang lain. Kawasan hendaklah bebas dari banjir dengan mempunyai kemudahan jalan bagi pengangkutan barangan dari luar ke ladang dan sebaliknya. Tanah berbukit tiada halangan kecuali perlu diratakan bagi setiap kawasan bangsal yang perlu didirikan. Kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik perlu diambil kira didalam pemilihan kawasan.

Keperluan bangsal adalah tertakluk kepada kumpulan ternakan atau kekerapan pengeluaran puyuh pedaging. Sebagai contoh, bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurangnya lapan. Ini berdasarkan sistem penternakan sekali gus masuk sekali gus keluar bagi setiap bangsal. Begitu juga bagi keperluan kawasan. Sais bangsal untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan sekor sebanyak 210 sentimeter persegi. Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara 2 bangsal. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakan gangguan dari ternakan atau binatang lain. Puyuh masih lagi mempunyai sifat terkejut dan 'excitability' yang boleh menjejaskan prestasi.

Bagi penternakan puyuh pedaging pada lazimnya pengusaha digalakan menjalankan aktiviti sembelihan dan menjual puyuh secara bersih proses. Dengan cara ini pengusaha diperlukan mengadakan logi pemprosesan sendiri. Logi ini hendaklah berjauhan dari kawasan penternakan. Bangunan yang diperlukan bergantung kepada jumlah pemprosesan yang hendak dijalankan. Bilik sejuk atau peti sejuk perlu diadakan untuk penyimpanan stok puyuh proses.

2. Sistem Pengurusan

Sistem pemeliharaan diatas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik. Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas biasa digunakan oleh penternak tempatan. Anak puyuh diinduk didalam kotak perindukan dan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.

3. Bekalan anak puyuh

Puyuh yang digunakan untuk pengeluaran daging adalah Japanese quail ( Coturnix japonica ). Bekalan anak puyuh untuk pedaging dari pengusaha tempatan lazimnya dari jenis penelur. Akantetapi ada terdapat penternak puyuh baka yang menggunakan puyuh berbadan besar yang diimpot dari negara luar. Dari segi rupa dan diskripsi kedua puyuh jenis pedaging dan penelur adalah dari jenis yang sama. Bezanya adalah bagi kegunaan pengeluaran daging puyuh ini telah menjalani pemilihan dan pembiakan untuk menghasilkan daging yang lebih. Jabatan Perkhidmatan Haiwan dari Institut Kemajuan Ternakan Ayam telah menghasilkan puyuh jenis pedaging ( dari jenis Coturnix japonica ) hasil dari pemilihan dan pembiakan yang dijalankan. Puyuh ini telah diberi nama PUYUH IKTA. Tentukan pengusaha mendapat bekalan anak puyuh pedaging dari pembekal anak puyuh pedaging IKTA keluaran Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Ini mempastikan bahawa pengusaha mendapat anak puyuh berkualiti tinggi.

Pengurusan Penternakan

Peringkat Perindukan

Dalam sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, anak puyuh dari umur 1 hingga 10 - 14 hari dipelihara dalam sistem kepungan menggunakan kadboard serta hoover ( alat pemanas ). Sebanyak 1000 ekor anak puyuh ditempatkan dalam satu kepongan. Luas kawasan semasa perindukan adalah 30 sentimeter persegi/ekor hingga umur 10 hari bilamana kepongan akan dibuka dan anak puyuh dibesarkan diseluruh bangsal. Gas hoover yang digunakan digantung ditengah kepongan setinggi 91 sentimeter. Pemberian haba perlu dikawal mengikut kepanasan semasa. Sekeliling bangsal ditutup dengan bidai bagi mengelakkan kemasukan udara sejuk dari luar tanpa kawalan. Bekas minuman 8 liter untuk 200 ekor anak puyuh ditempatkan di dalam bulatan selama masa perindukan.. Dulang makanan berukuran 30.5 x 30.5 x 2.52 sentimeter digunakan untuk 200 ekor anak puyuh semasa perindukan. Sampah sarap adalah dari jenis ketaman kayu setebal 8 sentimeter digunakan. Makanan dan minuman diberi tanpa had.

Didalam sistem pemeliharaan didalam kotak kayu khas, anak puyuh diindukkan didalamnya selama 10 - 14 hari juga. Lantai kotak hendaklah dialas dengan kertas kuat atau jenis 'corrugated paper'. Ini adalah bagi mengelakkan anak puyuh jatuh ke tanah. Kotak kayu ditutup dengan plastik atau guni untuk menahan haba didalamnya. Pemberian haba adalah dari lampu pijar 100 watt yang digantung ditengah petak kotak tersebut. Setiap petak berukuran 1 meter persegi boleh memuatkan sehingga 80 ekor anak puyuh. Bangsal hendaklah ditutup semasa perindukan dengan 'polyethelene sheets'. Peralatan makanan dan minuman adalah seperti dinyatakan diatas.

Peringkat Pembesaran

Didalam sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, kepongan akan dibuka selepas anak puyuh berumur 10-14 hari dimana anak puyuh akan berada sepenuhnya didalam satu bangsal sehingga dijual. Selepas perindukan bekas minuman otomatik digunakan untuk menampong 200 ekor puyuh setiap satu dan bekas makanan gantung digunakan untuk 100 ekor puyuh setiap satu. Makanan perlu diberikan sentiasa tanpa had untuk menentukan pembesaran yang cepat. Tentukan air yang bersih diberikan. Elakan dari gangguan luar semasa pembesaran puyuh ini. Masa tamat pemeliharaan adalah apabila umur puyuh mencapai 42 hari. Pada ketika ini berat badan hidup puyuh adalah purata 290 gram sekor. Sila lihat Lampiran 2 untuk piawaian puyuh pedaging IKTA. Puyuh akan ditangkap dan dihantar untuk diproses secepat mungkin. Perlu ditekankan disini bahawa kelewatan untuk menjual puyuh akan menyebabkan puyuh mencapai umur kematangan seksual ( mengeluarkan telur ) dan ini akan menjejaskan kualiti daging. Lazimnya umur kematangan seksual adalah 45 hari.

Bagi sistem pemeliharaan didalam kotak kayu khas, selesai sahaja tempoh perindukan, plastik penutup atau guni hendaklah dibuka. Begitu juga dengan kepongan di bangsal. Kertas alas hendaklah dibuang dan puyuh dibesarkan diatasnya. Bekas minuman masih digunakan dan ditempatkan didalam kotak manakala palung makanan hendaklah digunakan untuk pemberian makanan. Palung makanan hendaklah digantung disebelah luar kotak untuk kemudahan pemberian makanan. Satu petak boleh membesarkan sehingga 40 ekor puyuh pedaging. Kebanyakan penternak menggunakan kotak kayu bertingkat untuk tujuan pembesaran. Gambarajah 2 menunjukkan contoh kotak pembesaran. Puyuh akan dibesarkan didalam kotak ini sehingga di proses. Palung minuman dan makanan digantung diluar kotak. Bilangan puyuh yang boleh ditempatkan didalam satu petak atau tingkat bergantung kepada ukuran kotak. Lazimnya hendaklah diberikan keluasan lantai sebanyak 209 sentimeter persegi seekor.

Pemakanan Puyuh

Puyuh diberi makanan dari jenis 'Quail Starter mash' atau Makanan Permulaan Puyuh. Kandungan nutrien yang disyorkan adalah seperti di Lampiran 3. Tentukan pengusaha menggunakan makanan jenis ini untuk mempastikan pembesaran yang cepat. Di lapangan banyak pengusaha puyuh pedaging tempatan tidak menggunakan makanan dari jenis ini. Makanan permulaan ayam pedaging digunakan dengan meluas bagi memberi makan puyuh pedaging. Keadaan ini berlaku kerana syarikat pembuat makanan ternakan tidak menjual makanan puyuh pedaging kerana volume yang kecil. Walaubagaimanapun pengusaha besar boleh mendapatkan makanan puyuh pedaging dengan rundingan terus kepada pengeluar makanan.

Kesihatan

Puyuh pada kebiasaannya mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit tetapi ia juga boleh dijangkiti penyakit-penyakit yang biasa terdapat pada unggas yang lain. Penyakit-penyakit puyuh yang spesifik adalah seperti Ulcerative Enterititis dan Quail Bronchitis. Kecederaan kerana sifat pemangsa sejenis, keadaan 'flighty behaviour' dan pergaduhan kerana perebutan kedudukan sosial merupakan salah satu sebab utama kematian. Pengusaha adalah dinasihatkan supaya berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mendapatkan makluman dan panduan keatas penyakit puyuh dari masa ke semasa.

Pengurusan Alam Sekitar

Pengusaha penternakan puyuh pedaging adalah dinasihatkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penternakan. Perkara-perkara yang dititikberatkan dalam penternakan puyuh adalah seperti masalah lalat, berbau busuk dan melepaskan air buangan ladang kedalam sungai. Adalah menjadi satu kesalahan bagi pengusaha untuk melanggar apa-apa peraturan yang terkandung didalam undang-undang alam sekitar. Pengusaha adalah dinasihatkan untuk mendapat maklumat yang lebih jelas dari Jabatan alam sekitar berhampiran di negeri masing-masing.

Amalan Pengurusan Penternakan Yang Baik
(Good Animal Husbandry Practices - GAHP)

Cara penternakan yang diamalkan sekarang jauh dari yang dikehendaki untuk memenuhi keperluan pelanggan masakini. Penternak harus menitikberatkan sistem pemeliharaan yang disyorkan bagi menjamin kehendak pelanggan ( pengeluaran hasil yang bersih ) dan pulangan keuntungan yang optimum. Mengamalkan GAHP meningkatkan keyakinan keatas kebersihan dan keselamatan makanan dan ini dapat meningkatkan perniagaan luar dan dalam negeri.

Kedudukan ladang

Ciri-ciri yang baik didalam memilih tempat untuk penternakan puyuh adalah seperti berikut :

Ladang hendaklah jauh dari kawasan perkampongan.
Jauh dari ladang unggas yang lain.
Mempunyai hubungana jalanraya untuk kemudahan pengangkutan barang-barang input dan output.
Tanah yang datar tetapi tidak mudah dinaiki air.
Kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik.

Perumahan

Perumahan bagi penternakan puyuh pedaging mementingkan keselesaan dari alam sekitar dan keselamatan dari pemangsa. Puyuh amat sensitif keatas kedua perkara tersebut. Dimensi bangsal terpulang kepada sais penternakan yang hendak dijalankan. Beberapa perkara harus dipatuhi untuk menjamin pengeluaran yang maksimum.


Tentukan paksi panjang mengikut arah timur/barat. Ini menentukan cahaya matahari tidak banyak dapat memasuki bangsal yang boleh mengakibatkan kenaikan suhu didalam bangsal.
Jarak antara bangsal hendaklah jangan kurang dari 15.38 meter untuk menjaga dari perebakan penyakit dari bangsal kebangsal.
Tentukan kedudukan bangsal tidak dihalangi oleh pokok pokok besar atau bangunan yang boleh menghalang peredaran udara yang sempurna. Elakan kawasan yang lembab.
Lebar bangsal dihadkan sehingga 12.3 meter sahaja.
Panjang bangsal bergantung kepada kontour tanah dan sistem peralatan yang digunakan.
Gunakan atap bangsal diperbuat dari aluminium.
Tepi bangsal perlu ditutup dengan dawai atau setaraf untuk mencegah kemasukan burung atau pemangsa.
Lantai bangsal mesti disimin untuk kebersihan dan kesenangan pengurusan.
Peparitan sekeliling bangsal perlu ada untuk mengalirkan air dari hujan ke parit besar.

Pembersihan Bangsal

Setelah tamat pemeliharaan sekumpulan puyuh maka kebersihan bangsal perlu dijalankan dengan segera. Ini adalah untuk menjamin bangsal bersih dari kekotoran dan kuman serta virus penyakit untuk kumpulan puyuh seterusnya. Program kebersihan bangsal adalah seperti berikut :


Keluarkan sampah sarap lama/najis
Keluarkan dan cuci peralatan makanan
Bersih bekas minuman dan servis bekas minuman otomatik.
Lakukan semburan racun serangga termasuk kawasan bumbung. Gunakan bancuran mengikut syor dan peraturan pembekal.
Pembasuhan bangsal dengan menggunakan air. Pengunaan 'High pressure sprayer' amat digalakan.
Lakukan semburan racun pembasmi kuman. Gunakan bancuhan mengikut syor dan peraturan pembekal.

Persiapan Penerimaan Anak Puyuh

Sekeliling bangsal perlu ditutup dengan 'polyethelene sheets' bagi mengelakan kemasukan angin sejuk dari luar. Hanya 3/4 ketinggian tepi bangsal yang perlu ditutup. Ketaman kayu atau bahan setaraf yang boleh menyerap air dan selamat digunakan setebal 7.6 sentimeter hendaklah dialaskan keatas lantai. Kebanyakan peralatan ternakan puyuh adalah sama dengan peralatan ternakan ayam . Bulatan untuk perindukan 1000 ekor anak puyuh serta peralatan perindukan hendaklah disediakan sebelum ketibaan anak puyuh.

Bagi sistem menggunakan kotak khas, sekeliling bangsal perlu juga ditutup. Gunakan kertas dari jenis ' corrugated paper ' untuk dijadikan alas lantai didalam kotak. Tempatkan lebihkurang 100 ekor anak puyuh untuk perindukan bagi setiap petak. Sediakan air dan makanan sebelum kemasukan anak puyuh.

Perindukan

Anak puyuh perlu dimasukkan kedalam bangsal sebaik sahaja sampai di ladang. Penangguhan akan menyebabkan anak puyuh menjadi lemah dan mengakibatkan kematian yang tinggi. Pengurusan perindukan amatlah penting kerana kegagalan memenuhi kehendak anak puyuh mengakibatkan peratus kematian yang tinggi dan kadar pembesaran yang terencat. Perindukan adalah pemeliharaan anak puyuh dengan menjaga keperluan suhu dan peredaran serta pengudaraan yang sempurna. Keperluan suhu yang sesuai adalah 35 - 36 C pada 3 hari pertama. Selepas itu suhu didalam bilik boleh dikurangkan mengikut keadaan hari. Pemberian haba tamat pada hari ke 10. Pengurusan yang paling baik adalah dengan mengikut keperluan anak puyuh dan keadaan cuaca pada hari berkenaan. Suhu yang rendah mengakibatkan kematian puyuh kerana bertindih. Manakala suhu yang terlalu tinggi akan menyebabkan kematian kerana tekanan kepanasan. Tempoh perindukan adalah 10 ke 14 hari. Air bersih hendaklah diberikan setiap hari. Guli-guli kaca ditempatkan didalam bekas minuman bagi mengelakkan anak puyuh mati lemas. Bekas minuman dan guli-guli perlu dibersihkan setiap hari. Pemberian makanan dilakukan setiap hari. Tentukan jumlah makanan yang diisikan kedalam bekas mencukupi dan tidak membazir. Tentukan hanya makanan yang bersih diberikan. Anak-anak puyuh yang mati mesti dikeluarkan setiap hari dan dibuang. Pemberian antibiotik boleh diberikan mengikut keadaan. Pengusaha dinasihatkan berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk mendapatkan nasihat penggunaan ubatan.

Pembesaran

Selepas sahaja perindukan, didalam sistem pemeliharaan diatas sampah sarap, kepongan dibuka dan puyuh dibiarkan membesar diatas lantai sampah sarap. Sampah sarap setebal 7.62-12.7 sentimeter perlu diberikan di kawasan pemeliharaan. Gunakan bekas minuman otomatik kepada puyuh. Tentukan paras bekas minuman rendah dan dapat diminum oleh semua puyuh. Paras air didalam takongan bekas minuman otomatik perlu juga keparas yang dapat diminum oleh puyuh. Bekas minuman perlu dicuci selalu. Pemberian air bersih hendaklah diberikan untuk menjaga kesihatan puyuh. Bekas makanan gantung digunakan selepas perindukan dengan kadar satu bekas untuk 100 ekor puyuh. Jumlah makanan yang diisi tidak perlu penuh kerana jumlah tabongan makanan didalamnya adalah besar. Adalah penting makanan yang segar diberi setiap hari. Gantungkan bekas makanan keparas yang dapat dimakan puyuh.

Bagi pemeliharaan didalam kotak khas, selepas perindukan, tutupan diatas kotak perlu dibuka. Alas kertas hendaklah dibuang dan puyuh dipelihara diatas lantai kotak. Air minuman disyorkan dengan menggunakan bekas minuman air untuk 80 ekor ( satu petak ). Palung makanan hendaklah digantung disebelah luar untuk kemudahan pemberian makanan.

Pengurusan Lain

Puyuh yang mati perlu dikeluarkan setiap hari dan dimusnahkan. Elakkan gangguan dari ternakan lain dikawasan penternakan puyuh dan kemasukan orang yang tidak berkenaan ke dalam bangsal.

Membenteras penyakit yang paling berkesan adalah dengan pengawalan. Menjaga kebersihan kawasan dan bangsal perlu sentiasa diberi tumpuan. Jika berlaku penyakit, pengusaha dinasihatkan untuk berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan atau Doktor Veterinar untuk mendapatkan nasihat. Apabila menggunakan ubatan, pemberian hendaklah mengikut kadar yang disyorkan. Pengusaha perlu menjaga keperluan kegunaan ubatan termasuk 'withdrawal period' sebelum puyuh diproses.

Penangkapan Puyuh untuk Diproses.

Apabila umur puyuh telah mencapai umur jual maka puyuh hendaklah ditangkap dan dimuatkan kedalam bakul untuk penghantaran ketempat pemprosesan. Penangkapan perlu dijalankan dengan baik untuk mengelakkan kecederaan puyuh. Puyuh-puyuh sebelum disembelih diberhentikan pemberian makanan sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ditangkap.Cara ini bukan sahaja menjimatkan kos makanan tetapi menjamin pemprosesan yang bersih dari sisa makanan dan najis. Penangkapan hendaklah dijalankan dengan cepat dan elakkan puyuh terperanjat. Gunakan penghalang untuk memudahkan pekerjaan. Elakkan dari menendang dan membaling puyuh. Tangkap puyuh secukupnya dan dipegang dibahagian kaki puyuh. Muatkan kedalam bakul dengan memasuki kepala dahulu. Masukan secukupnya bilangan puyuh kedalam bakul dan elakkan dari kesesakan.

Pemprosesan Puyuh

Puyuh yang telah sampai ketempat pemprosesan perlu diproses secepat mungkin. Bakul-bakul puyuh hendaklah ditempatkan didalam kawasan khas yang disediakan untuk pemunggahan. Kebersihan perlu dijaga semasa melakukan penyembelihan. Keadah penyembelihan mengikut kehendak hukum Islam perlu dilaksanakan. Teknik penceluran dan pembuangan bulu dijalankan dengan baiknya untuk mengelakkan berlaku kerosakan keatas karkas seperti patah kaki, koyak kulit atau hancur. Tentukan pembuangan isiperut dilakukan dengan sempurna sehingga bersih. Paru-paru mesti dikeluarkan. Puyuh yang siap diproses hendaklah dibasuh dengan sebersihnya dan disejukkan sebelum dibungkus. Tentukan keadaan kawasan sentiasa berada dalam keadaan bersih. Puyuh-puyuh yang telah siap dibungkus hendaklah disimpan kedalam peti sejuk untuk dijualkan.

Penyimpanan Rekod

Penyimpanan rekod pemeliharaan adalah penting bagi pengusaha untuk menganalisakan kejayaan atau kegagalan penternakan. Rekod membantu pengusaha mengenal pasti kelemahan pengurusan dan tindakan serta merta boleh diambil apabila mendapati masalah.

Pemasaran
Anak Puyuh
Bagi pengusaha puyuh baka, hasil penjualan adalah anak puyuh. Kadar harga yang dikenakan didapati sangat berbeza diantara negeri-negeri dan didalam kawasan sesebuah negeri. Rajah menunjukkan harga penjualan anak puyuh mengikut negeri.


Harga Penjualan Anak Puyuh Pedaging Komersil Negeri Harga Anak puyuh Pedaging
(sen / ekor)
Johor 40
Kedah 30
Kedah 30,40,50,60,100
Kelantan 30,35,50
Negeri Sembilan 40
Pahang 50
Perak 35,40
Terengganu 35,40
Sarawak 55,100
WP Labuan 80


Perbezaan harga kerana berikut :

ada pengusaha menjual anak puyuh melebihi umur sehari.
kos pengeluaran yang berbeza.
jenis puyuh yang berbeza ( antara puyuh pedaging dan penelur ).


Puyuh Proses
Didalam penternakan puyuh, penjualan dari ladang adalah dalam bentuk bersih diproses. Kebanyakan pengusaha puyuh pedaging mempunyai kemudahan pemprosesan. Penjualan puyuh ada beberapa bentuk mengikut negeri/kawasan penternakan. Penjualan secara seekor adalah paling popular dikebanyakan negeri. Puyuh-puyuh proses dijual mengikut ekor dan ada beberapa gred puyuh. Gred puyuh tidak seragam untuk kebanyakan pengusaha. Negeri Kelantan dan Pahang menjual mengikut berat sekilogram.

Rajah menunjukkan gred dan harga jualan yang diamalkan mengikut negeri. Puyuh proses biasanya dijual kepada peniaga-peniaga restoran, pasar malam dan pasaraya.


Gred dan Harga Puyuh Mengikut Negeri ( 1998 ) Negeri Gred Harga
Kedah A( 150 - 180 gm/ekor ) 1.50 / ekor
B ( kurang dari 150 gm/ekor ) 1.20 / ekor
1.10 / ekor
Perak Borong 1.60 / ekor
Selangor A (minima 2.0 kg / 10 ekor )
B (minima 1.6 kg / 10 ekor )
C (minima 1.45 kg / 10 ekor ) 2.00 / ekor
1.70 / ekor
1.50 / ekor
Negeri Sembilan A ( melebihi 1.5 kg / 10 ekor )
B ( 1.30 - 1.45 kg / 10 ekor )
C ( 1.00 - 1.20 kg / 10 ekor ) 1.75 / ekor
1.60 / ekor
1.10 / ekor
Johor AA ( melebihi 190 gm / ekor )
A ( 170 - 190 gm / ekor )
B ( 150 - 170 gm / ekor ) 2.10 / ekor
1.90 / ekor
1.70 / ekor
Terengganu 1.10 - 1.20 gm / ekor 1.50 - 1.60 / ekor
atau 12.00 / kg
Kelantan 100 gm / ekor
110 gm / ekor
160 gm / ekor
180 gm / ekor 12.00 / kg
13.00 / kg
18.00 / kg
20.00 / kg



Puyuh Goreng

Puyuh pedaging untuk dimakan yang sangat popular adalah dalam bentuk goreng. Boleh dikatakan peratusan yang tinggi puyuh dijual dalam bentuk ini yang banyak terdapat di pasar malam, pasar tani, warung dan restoran. Harga yang dikenakan tidak menentu dan mengikut kawasan pasaran. Sebagai contoh, dibandar Johor Bahru seekor puyuh goreng berharga RM2.50 - RM3.00/ekor. Walaubagaimanapun ada juga terdapat puyuh dijual dalam bentuk masakan lain di restoran.


Promosi

Untuk menggalakkan perkembangan industri ternakan puyuh pedaging, promosi perlu dijalankan untuk mendedahkan pengguna kepada khasiat dan keenakan daging puyuh. Jabatan Perkhidmatan Haiwan melalui negeri-negeri dan FAMA sering mengadakan promosi daging puyuh bagi tujuan tersebut. Pengguna telah didedahkan kepada khasiat dan keenakan daging puyuh. Sambutan yang menggalakan dari pengguna menunjukkan puyuh boleh diterima. Penyebaran promosi masih lagi terhad kepada pengguna dibandar. Walaubagaiamanapun, pengusaha puyuh pedaging perlu juga memainkan peranan untuk mencapai pengambilan daging puyuh ketahap yang lebih tinggi.

Piawaian Puyuh Pedaging IKTA

Berat Hidup ( Purata Jantan dan Betina )


1 hari 10 gram
7 hari 40 gram
14 hari 90 gram
21 hari 160 gram
28 hari 220 gram
35 hari 270 gram
42 hari 290 gram


Kadar Penukaran Makanan


7 hari 1.07
14 hari 1.58
21 hari 1.89
28 hari 2.18
35 hari 2.64
42 hari 3.03


Kadar Kematian ( Kumulatif )


7 hari 1.07 - 1.90
14 hari 1.58 - 2.90
21 hari 1.89 - 3.90
28 hari 2.18 - 4.90
35 hari 2.64 - 5.90
42 hari 3.03 - 6.50

Senarai Pengusaha Puyuh Baka/ Bekalan Anak Puyuh


Nama Alamat Telefon
Ishak bin Zainon Bt.17, Jalan Naka
06760 Pokok Sena
Kedah 04-7821605
Shahridzo bin Md Eunos d/a Ladang Infoternak
Jabatan Haiwan Negeri Perak
31100 Sg. Siput (U)
Perak 05-8914706
Mohd Fauzi bin Mohd Yusof d/a Ladang Infoternak
Jabatan Haiwan Negeri Perak
31100 Sg. Siput (U)
Perak 05-8914706
Ruzlan bin Othman No.30, Jalan Kubur
Kg Cherang Lali
17500 Tanah Merah
Kelantan 09-9556524
Muhamad Kama bin Mohd Amin Jalan Pengkalan Baru
Kg. Jeram
21200 Manur
Kuala Terengganu 09-6151776
Azri bin Haron Kg Bayas
Ulu Melaka
07000 Langkawi
Kedah 04-9652387
Jamaludun bin Ali Lot 278, Kg Bahru
27000 Jerantut
Pahang 09-2671018

Senarai Pengusaha Bekalan Puyuh Proses


Nama Alamat Telefon
Shahridzo bin Md Eunos d/a Ladang Infoternak
Jabatan Haiwan Negeri Perak
31100 Sg. Siput (U)
Perak 05-8914706
Mohd Fauzi bin Mohd Yusof d/a Ladang Infoternak
Jabatan Haiwan Negeri Perak
31100 Sg. Siput (U)
Perak 05-8914706
Ruzlan bin Othman No.30, Jalan Kubur
Kg Cherang Lali
17500 Tanah Merah
Kelantan 09-9556524
Muhamad Kama bin Mohd Amin Jalan Pengkalan Baru
Kg. Jeram
21200 Manur
Kuala Terengganu 09-6151776
Azri bin Haron Kg Bayas
Ulu Melaka
07000 Langkawi
Kedah 04-9652387
Jamaludun bin Ali Lot 278, Kg Bahru
27000 Jerantut
Pahang 09-2671018
Nasiman bin Kassan Jalan Nasiman, Kg. SC
Sg. Tiram, Johor Bahru
Harun/Idris bin Baba Kg. Pengkalan Pauh,
78100 Lubok China,
Melaka 06 - 6967981
Hj. Daud Muhamad Jalan Lubok Rotan
17500 Tanah Merah,
Kelantan


Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:JABATAN PERTANIAN

1 comment:

Unknown said...

salam
good info .. saya mendapat faedah yg begitu luas dari tulisan tuan ... Taniah kerana berkongsi maklumat.