Kebun Warisan's Followers

Tuesday, January 6, 2009

PISANG -INFO

Pisang
Posted by: admin In: @Tanaman Buah


Pisang dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Ianya dikenali di negara-negara tropika seantero dunia akibat dari perkembangan aktiviti perdagangan. Pisang mula diperkenalkan oleh saudagar-saudagar Arab di Afrika Timur. Pada tahun 1402, ianya telah dibawa ke Kepulauan Canary oleh orang-orang Portugis. Manakala bangsa Sepanyol memperkenalkan pisang ke Mexico sekitar tahun 1531 dan ke Benua Eropah Barat serta Amerika Utara pada tahun 1866.
Malaysia kaya dengan pelbagai jenis pisang, dari sebesar-besar pisang seperti pisang Tanduk hinggalah sekecil-kecil pisang seperti pisang Emas. Terdapat lebih dari 14 jenis pisang yang boleh ditemui dan ditanam di sini. Dalam istilah sainsnya, pisang tergolong dalam Order Zingerberalis, iaitu kumpulan keluarga Musaceae dan genus Musa. Genus Musa boleh dibahagikan kepada dua kumpulan; Eumusa iaitu kumpulan yang boleh dimakan dan Phusocaulis, yang tidak boleh dimakan.


Antara jenis-jenis pisang yang terdapat di tanahair kita adalah seperti:


Pisang Embun


Pisang ini juga dikenali sebagai pisang Bunga. Pisang ini berbentuk panjang, pada peringkat permulaannya ianya berwarna hijau dan kemudian berubah menjadi warna kuning pucat. Ianya berkulit tebal dan senang dikupas. Satu tandan pisang Embun yang besar, beratnya boleh menjangkau antara 15 hingga 35 kilogram. Setiap tandan pula mempunyai 7 hingga 9 sikat dengan bilangan 100 hingga 200 biji buah pisang. Manakala setiap sikat pula mengandungi 14 hingga 15 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini berukuran 15 hingga 20 sentimeter dan lebarnya 4 sentimeter . Ketinggian pokok pisang jenis ini ialah kira-kira 5 meter .


Pisang Emas


Saiz buah pisang ini adalah kecil tetapi rasanya lazat berbanding dengan pisang jenis lain. Apabila ianya ranum, buah serta isinya berwarna kuning keemasan . Buah pisang ini mudah lebam dan bertukar menjadi kehitaman. Setiap tandan mempunyai berat antara 7 hingga 9 kilogram, 6 hingga 7 sikat dengan bilangan 100 hingga 150 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini bersaiz 9.0 sentimeter dan lebarnya ialah 3.5 sentimeter. Pokok pisang Emas adalah kecil sahaja.


Pisang Rastali


Buah pisang ini bersaiz sederhana. Kulitnya berwarna kuning dan agak kasar. Terdapat bintik-bintik hitam dan coklat di atas permukaan kulitnya serta ianya mudah dikupas. Isinya pula berwarna putih atau krim pucat. Setiap tandan mempunyai berat kira-kira 10 kilogram, 7 hingga 8 sikat dengan bilangan 90 hingga 100 biji buah pisang . Manakala setiap sikat mengandungi 10 hingga 14 biji buah pisang. Panjang buah pisang Rastali ialah kira-kira 12.0 sentimeter dan lebarnya berukuran 3.7 sentimeter.


Terdapat pelbagai jenis pisang yang tumbuh subur di negara kita selain dari tiga jenis pisang yang telah diterangkan. Ianya adalah seperti pisang Berangan, pisang Masak Hijau, pisang Nipah, pisang Raja, pisang Tanduk, pisang Awak dan tidak ketinggalan juga pisang Raja Udang yang dipercayai tidak boleh dimakan. Satu lagi jenis pisang yang kurang dikenali ramai iaitu pisang Kaki. Pisang ini unik kerana bentuknya tidak menyerupai pisang-pisang biasa yang lain. Buahnya berbentuk bulat, berisi ranggup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea.


Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:Segalanya Ttg Tumbuhan

No comments: