Tuesday, December 4, 2007
MAHA 2008 - 11 hingga 23 Ogos 2008
KUALA LUMPUR 3 Dis. – Buat pertama kali, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengenakan bayaran kepada pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2008 (MAHA 2008) yang diadakan pada 11 hingga 23 Ogos tahun depan. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini, kadar bayaran tiket itu masih belum ditentukan tetapi beliau berjanji untuk mengenakan satu kadar bayaran yang amat minimum. Beliau berkata, ia bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya bertujuan mengawal kesesakan lalu lintas dan pengunjung yang didapati melebihi 150,000 orang pada tahun lalu. “Kita hanya sasarkan 100,000 pengunjung pada MAHA 2008 dan akan memastikan keselesaan serta kemudahan pengunjung dapat dipelihara,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi ke Tapak Pameran Kekal Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini. Projek MAEPS yang bakal diiktiraf sebagai tapak pameran pertanian terbesar di dunia itu dimulakan pada Jun lalu dan dimajukan oleh syarikat konsortium UEM Building/Pelangi Wira Sdn. Bhd. dengan menelan belanja keseluruhan sebanyak RM220 juta. Setakat 29 November lalu, tapak pameran berbumbung seluas 42,000 meter persegi itu sudah siap 32 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun tahun depan. Selain MAHA 2008, MAEPS akan dibuka kepada pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti berkaitan pertanian di negara ini seperti pameran jentera, seminar, persidangan dan sebagainya. Muhyiddin menambah, bilangan peserta MAHA 2008 setakat ini didapati meningkat daripada tahun lalu iaitu sebanyak 1,500 orang. Katanya, bilangan itu jauh lebih tinggi daripada peserta tahun lalu yang hanya mencatatkan penyertaan sebanyak 962 orang. Katanya, tempoh pameran itu juga ditambah daripada enam hari kepada 13 hari bagi memberi peluang kepada orang ramai mengunjungi pameran berkenaan. “Sambutan pada tahun lalu amat baik dengan kehadiran lebih 150,000 pengunjung sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya dan di ruang pameran. “Pada tahun ini, kita membuat beberapa perubahan termasuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih berkesan dari pusat bandar ke tapak pameran,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment