Kebun Warisan's Followers

Sunday, December 23, 2007

>>Panduan Penanaman Bendi

Petikan:>http://spt01.tripod.com/bendi.htm



PANDUAN MENANAM BENDI

PENDAHULUAN
Bendi yang dipercayai berasal daripada Afrika Utara ialah sejenis tanaman sayuran buah yang berlendir. Ia mudah di tanam dan kurang diserang penyakit dan perosak. Buah dan bahagian-bahagian lain tanaman ini boleh dipelbagaigunakan seperti buahnya boleh dimasak dengan pelbagai cara; dikari, sebagai ulam, salad dan digoreng. Buahnya juga diproses iaitu ditin, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang bendi yang tua dijadikan kertas dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi.
PENANAMAN
Bendi boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah seperti gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut dan tanah-tanah lembah sungai yang bersaliran baik.
Penyediaan tanah Bajak dan gembur tanah sedalam 15 sm hingga 22 sm. Buat pengapuran jika perlu iaitu 2 minggu sebelum menanam. Sediakan batas. Gaulkan ke dalam tanah baja organik seperti tahi ayam reput sebanyak 3 hingga 5 tan sehektar.

Menanam Tanam biji benih sedalam 2.5 sm di batas. Pastikan dibubuh 2 biji selubang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 90 sm antara pokok. Selepas 2 minggu cabut satu pokok yang kurang subur. Sebanyak 11 gm biji benih diperlukan untuk satu batas yang berukuran 1.2 m lebar dan 30 m panjang.
Membaja Tabur baja sebatian NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok setiap 2 minggu. Untuk sehektar memerlukan 1 tan baja.
Menyiram Siram sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman penting di peringkat pokok mengeluarkan bunga dan pembentukan buah.
Merumput Cabut rumpai jika perlu atau gunakan racun herba. Ikut arahan pada label racun herba tersebut.
Sungkupan Buat sungkupan daripada jerami padi, daun-daun kering atau kepingan plastik hitam bagi mengawal rumpai dan untuk mengekalkan kelembapan tanah.
Memangkas Setelah semua hasil dipetik, pokok-pokok perlu dipangkas setinggi 40 sm hingga 60 sm dari paras tanah untuk mendapatkan hasil bagi kali kedua. Empat hingga lima tunas baru dibiarkan membesar selepas pemangkasan. Pemangkasan ini diikuti dengan pembajaan.
PENUAIAN
Buah-buah bendi boleh dituai dengan memotong 2 sm dari pangkal buah. Elakkan dari tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh menjatuhkan mutu buah. Penuaian mula dilakukan ketika:

i.
50 hingga 55 hari selepas menanam.
ii.
5 hingga 6 hari selepas bung berkembang dan berlaku pendebungaan.
iii.
Buah berukuran 10 hingga 12 cm panjang, iaitu buah-buah masih lembut, hujungya rapuh, senang dipatahkan dan belum berpulur.
Pada peringkat ini buah-buah telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling tinggi dan hendaklah dituai supaya pokok-pokok bendi boleh terus mengeluarkan bunga-bunga baru dan seterusnya menjamin pengeluaran buah yang berterusan. Hasil dikutip setiap 2 hari sekali dan berterusan sehingga 8 minggu. Jumlah hasil dianggarkan 10,000 hingga 15,000 kilogram sehektar. Buah-buah bendi boleh dipasarkan antar RM 3.00 hingga RM 4.00 sekilogram.
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Buah-buah yang telah dituai dikumpulkan di tempat teduh dan dimasukkan di dalam bakul (plastik atau buluh) yang telah dialas dengan kertas atau plastik cerah yang berlubang. Ia hanya boleh disimpan selama 2 hingga 3 hari sahaja tanpa dibungkus dengan plastik. Sedikit air perlu dipercikkan supaya pengudaraan menjadi lembap. Buah-buah yang dibungkus dengan beg plastik boleh disimpan selama 7 hingga 8 hari dalam keadaan suhu 24 darjah C hingga 26 darjah C dan kelembapan bandingan 70 hingga 75 peratus.

No comments: