Kebun Warisan's Followers

Sunday, April 6, 2008

Berita:Kenapa perlu beralih kepada pertanian organik?

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:http://www.harakahdaily.net/


Kenapa perlu beralih kepada pertanian organik?

SM Mohamed Idris Thu Mar 27, 08 4:23:28 pm MYT

Pertanian organik didefinisikan sebagai 'sistem pengurusan pengeluaran makanan holistik, yang menggalakkan dan meningkatkan kesihatan ekosistem pertanian, termasuk kepelbagaian bio, pusingan biologikal dan aktiviti biologikal tanah. Ia menekankan penggunaan amalan pengurusan dalam mengutamakan penggunaan input luar ladang, dengan mengambil kira keadaan wilayah yang memerlukan penggunaan sistem tempatan. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan seberapa yang boleh, agronomi, kaedah mekanikal dan biologikal, bertentangan terhadap penggunaan bahan sintetik, untuk memenuhi sebarang fungsi khusus dalam sistem." (FAO/WHO Codex Alimentarius Commission). -->-->

Melalui kaedah holistik semula jadi, pertanian organik menyatukan kepelbagaian bio liar, kepelbagaian bio pertanian dan pemuliharaan tanah, dan membawa pertanian satu langkah ke hadapan dengan menghapuskanbaja kimia, racun makhluk perosak dan organisme ubah suai genetik (GMO), yang bukan hanya memperbaiki kesihatan manusia, tetapi juga flora dan fauna yang berkait dengan ladang dan alam sekitarnya. Pertanian organik menguatkan struktur tanah, memelihara air dan memastikan pemuliharaan dan penggunaan mapan kepelbagaian bio.
Pencemaran pertanian seperti baja bukan organik, racun rumpai dan racun makhluk perosak daripada pertanian konvesional adalah menjadi kebimbangan utama di seluruh dunia.

Eutrophication, tumbuhan dan binatang akuatik menjadi lemas akibat pertumbuhan algae yang cepat, dirujuk sebagai 'algae blooms', membunuh tasik, sungai dan air. Penggunaan berterusan racun rumpai dan racun makhluk perosak boleh melangkaui sasaran rumpai dan serangga apabila diperkenalkan dalam alam sekitar akuatik. Bahan kimia ini berkumpul dalam rantaian makanan di mana pemangsa pada bahagian paling atas sering mengambil dos toksik. Pertanian organik mengembalikan keseimbangan alam sekitar dan tidak mempunyai kesan yang merosakkan ke atas alam sekitar (IFOAM).

Racun makhluk perosak telah digunakan dalam pertanian sejak Perang Dunia Kedua, dan sejak dari mula lagi terdapat kebimbangan mengenai pengkomersialan bahan kimia racun makhluk perosak. Buku 'Silent Spring' oleh Rachel Carson yang diterbitkan pada 1964 mendedahkan kesan racun makhluk perosak terhadap alam sekitar. Racun serangga era Perang Dunia Kedua, DDT diharamkan di negara maju dalam tahun 1970-an tetapi terus digunakan di India sehingga tahun 1990-an. Tragedi Bhopal 1984 menjadi pembuka mata kepada sebahagian besar penduduk India dan dunia luar.

Menurut penyelidikan terhadap gangguan kesihatan akibat daripada penggunaan bahan kimia berasaskan petroleum dalam produk pengguna dan persekitaran kerja boleh diperolehi daripada laman sesawang yang berkaitan di bawah. Bahan kimia berasaskan petroleum didapati menyebabkan kesan terhadap sistem imun dan saraf selepas pendedahan dalam jangka panjang.
Penyakit yang dikenal pasti dalam penyelidikan perubatan termasuklah kanser dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, pelbagai gangguan neurologi, kelemahan sistem imun, gangguan autoimun, asma, alergi, ketidaksuburan, keguguran, dan gangguan tingkah laku kanak-kanak termasuk kesukaran dalam pembelajaran, mental yang terencat, hiperaktiviti dan gangguan kurang perhatian (ADD). Bahan kimia berasaskan petroleum dipercayai menyebabkan masalah ini melalui pelbagai jalan termasuklah mencacatkan DNA (gen) yang sempurna, melemahkan pembaikan DNA, mempercepatakan kehilangan gen, kemerosotan sistem pertahanan penyahtoksikan tubuh (hati dan buah pinggang) serta melemahkan pertahanan utama otak - (the Blood Brain Barrier) (http://www.chem-tok.com/).

Hampir lima dekad, orang ramai dan petani telah diberitahu bahawa racun makhluk perosak penting untuk pertanian moden dan untuk memberi makan kepada penduduk dunia, pada hal perkara ini adalah tidak benar. Racun makhluk perosak melemahkan ekosistem yang telah mengekalkan pertanian manusia sejak beribu tahun lalu, memusnahkan mikrob tanah dan menghapuskan pemangsa dan serangga yang memberikan manfaat. Tambahan, serangga akan terus mutasi untuk menjadi tahan kepada racun makhluk perosak. Di sebalik peningkatan 10 kali ganda dalam penggunaan racun serangga dalam beberapa tahun lalu, kajian menunjukkan pertumbuhan 30% dalam beberapa jenis makhluk perosak. Penghasilan bagi setiap hektar dalam pengeluaran pertanian pada umumnya semakin merosot dalam banyak sistem pertanian akibat kemerosotan kandungan bahan organik dalam tanah. Adalah sesuatu yang terlambat jika kita pada masa ini tidak merancang dasar yang sempurna untuk mengembalikan semula tanah kita dengan bahan organik. Untuk bahan organik apa yang kita perlukan ialah baja yang baik.

Persoalan yang sering ditanya ialah di mana untuk kita mendapatkan baja yang banyak ini. Jawapannya terletak dalam kompos. Sebahagian besar sisa oragnik daripada pertanian serta sisa pasar dengan mudah boleh ditukarkan kepada baja, tanpa kos pelaburan yang besar. Ini menggalakkan industri bagi kompos berasaskan tempatan. Semburan dedaun organik serta semburan penghalau serangga juga boleh disediakan pada peringkat tempatan. Ia juga boleh menghasilkan peluang untuk sebahagian besar belia dan wanita di luar bandar.

Kerajaan membelanjakan wang yang besar terhadap perbelanjaan perubatan apabila menumpukan kepada makanan yang sihat boleh menjadi jawapannya. 'Mencegah lebih baik dari mengubati' dan dasar kerajaan terhadap pertanian perlu disesuaikan untuk menggalakkan serta melindungi pertanian organik.

Pertanian organik menyumbang kepada keselamatan makanan dan alam sekitar melalui kombinasi beberapa ciri terutamanya:
* Meningkatkan hasil di kawasan input rendah.
* Memelihara kepelbagaian bio & sumber semula jadi di ladang dan kawasan sekitarnya.
* Meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos.
* Mengitar semula sisa organik untuk pengeluaran baja, menyelesaikan pengurusan sisa.
* Usahawan mikro dalam ekonomi luar Bandar.
* Melindungi kesihatan petani dan pengguna.
* Menghasilkan pelbagai makanan dan selamat.
* Kemapanan dalam jangka panjang.

Oleh sebab itu pertanian organik perlu menjadi bahagian penting daripada sebarang dasar pertanian yang bertujuan menjamin keselamatan makanan dan kini adalah masanya bagi kerajaan Malaysia mengambil tindakan ke arah ini.

Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang. - lanh -->

1 comment:

Anonymous said...

hi,saya hendak mengetahui tempat2 yang sesuai untuk saya membuat latihan industri.saya mengambil kursus agrobiology.saya ingin membuat latihan industri ni d sabah.yang berhampiarn dgn Kota Kinabalu.saya student USM 2nd year.tolong bantu saya untuk mencari tempat@agensi2 yg berkaitan dgn kursus saya kat sabah.Terima kasih.