Kebun Warisan's Followers

Sunday, April 6, 2008

JENIS-JENIS BUNGA DALAM KEHIDUPAN DAN BUDAYA

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:http://pkukmweb.ukm.my

TUMBUHAN DAN MANUSIA : BUNGA SIMBOL KEHIDUPAN DAN BUDAYA
NASIRAH HARON (A 57432)

ISI KANDUNGAN

1.0 Pengenalan

2.0 Jenis-jenis bunga dalam kehidupan dan budaya

2.1 Bunga Alamanda

2.2 Bunga Bakung

2.3 Bunga Kertas

2.4 Bunga Matahari

2.5 Bunga Kemboja

2.6 Bunga Kenanga

2.7 Bunga Lili

2.8 Bunga Mawar

2.9 Bunga Melati

2.10 Bunga Kemuning

3.0 Kesimpulan.

4.0 Rujukan



1.0 PENGENALAN

Bunga adalah sebahagian daripada keindahan alam yang mampu membawa kita kepada perasaan gembira, sehingga ia sering dikaitkan dengan perasaan kasih sayang, bersyukur dan juga dukacita.

Bunga dipakai pada hari pertunangan, pesta, pernikahan dan juga kelahiran anak. Ianya juga sering digunakan untuk menunjukkan simbol cinta, kesihatan dan umur yang panjang. Bunga juga diletakkan di kuburan orang yang dicintai sebagai tanda berkabung dan hormat.

Bunga dipakai dalam perayaan hari kebesaran, kemerdekaan, menyambut orang kenamaan dan juga menghormati pahlawan sebagai simbol penghargaan dan sukacita. Sesuatu perayaan yang tidak dihiasi dengan bunga akan terasa hambar dan kurang ceria.

Ada beberapa jenis bunga yang dianggap bernilai kerana dipercayai memiliki pengaruh dan keistimewaan tertentu. Nilai dan makna bunga selalu dikaitkan dengan bentuk, warna, bau, lagenda, mitos atau kepercayaan tertentu.

Bunga juga digunakan sebagai penghias meja rumah makan, ruang tamu, ruang restoran, ruang hotel dan sebagainya untuk menyemarakkan suasana. Ruang yang dihiasi bunga mampu melahirkan perasaan tenang dan damai.

Warna bunga melambangkan sesuatu kepada penggemarnya. Putih dianggap melambangkan kesucian, kepercayaan, kejujuran dan berkabung. Kuning melambangkan kebencian, dukacita dan kesedihan. Hitam melambangkan dukacita, kesungguhan hati, dan kesedihan. Biru pula melambangkan kesetiaan dan perenungan yang dalam. Merah melambangkan asmara, kemasyhuran, nafsu amarah, daya atau hasrat yang kuat. Emas melambangkan kemegahan dan kekuasaan manakala perak pula melambangkan kepercayaan yang teguh.

2.0 JENIS-JENIS BUNGA DALAM KEHIDUPAN DAN BUDAYA

Bunga adalah sesuatu yang penting kepada manusia. Bunga bukan sahaja membawa maksud yang tertentu malahan ianya mempunyai lagenda dan mitos tertentu dalam sesebuah masyarakat.

2.1 BUNGA ALAMANDA

Penggemar alamanda percaya bahawa tanaman yang berbunga kuning ini dapat dipakai sebagai penolak bala jika ditanam di halaman rumah dan getahnya pula dapat digunakan untuk meyembuhkan penyakit disetri.

Alamanda yang tumbuh menjalar setinggi 3 hingga 6 m diperkenalkan oleh Allamond iaitu seorang doktor dari Negeri Belanda sekitar seabad yang lalu. Pokok ini mempunyai batang yang bergetah putih, bunganya berbentuk tandan dan setiap tandan terdiri daripada 8 hingga 10 kuntum bunga. Alamanda ditanam terutama sebagai penghias pagar. Spesies Allamanda nerrifolia berbunga kuning cerah, Allamanda purpureceae berbunga kuning keunguan dan Allamanda cathartica berbunga kuning. Ketiga-tiga spesies ini termasuk dalam famili Apocynaceae.

2.2 BUNGA BAKUNG.

Bunga bakung Crinum asiaticum, famili Amarillydaceae, menurut kepercayaan Cina, Mesir dan Arab bunga ini dapat memberikan perlindungan terhadap penyakit wabak yang menular sekiranya ditanam diperkarangan rumah atau kebun di sekitar rumah terutamanya bakung yang berbunga putih ungu dan berdaun keunguan.

Potongan umbi bunga bakung ini kononya dapat dipakai sebagai pelindung daripada pengaruh roh yang jahat jika dipasang di pintu rumah. Selain itu juga ianya boleh dipakai untuk penawar racun sengatan binatang berbisa dan mengubat luka

Bakung mempunyai ketinggian antara 0,5 – 1,25 m. Di Indonesia tanaman ini biasanya ditanam di perkarangan rumah sebagai tanaman hiasan. Bakung juga tumbuh sebagai tumbuhan liar. Bunganya berbentuk corong, mekar pada malam hari dan berbau harum.

2.3 BUNGA KERTAS.

Ada segolongan masyarakat yang mengangap bunga kertas melambangkan kasih buat kekasih, ibu, anak dan semua insan di dunia.Tapi ada masyarakat yang menganggap bunga kertas pantang ditanam di depan rumah agar pemilik tidak mendapat musibah yang memalukan.

Bunga kertas berasal dari Amerika Latin dan ditemui oleh Antonie de Bougainveille pada tahun 1769-1776 di Brazil. Fasa pembungaan bunga kertas ini agak aneh kerana jika ianya tumbuh di tempat yang kurang subur dan kering, pokok ini akan menghasilkan bunga yang lebat. Dari 13 spesies bunga kertas ini, yang paling banyak ditanam ialah Bougenvillia spectabilis dan Bougenvillia glabra. Semuanya tergolong dalam famili Nyctaginaceae. B. spectabilis berbunga cerah dengan untaian bunga yang menonjol dan rangkaian yang cukup panjang, warnanya ialah putih, ungu, oren dan merah. B. glabra mempunyai bentuk bunga yang kurang menonjol kerana bunganya muncul antara daun.

2.4 BUNGA MATAHARI

Bunga matahari Helianthus annuus, famili Compositae berbentuk bundar, kuning dan daun yang runcing dengan diameter bunga sekitar 25 cm. Pokoknya setinggi 90 – 350 cm, berbatang kecil, berbulu kasar dan hampir tidak bercabang.

Tanaman asal Amerika Latin ini banyak ditanam oleh masyarakat Jawa Barat di depan rumah sebagai penolak bala kerana dianggap dapat mencegah bahaya. Orang Jawa juga percaya , dengan menanam bunga matahari di halaman rumah akan menimbulkan kedamaian, kabahagiaan dan keharmonian rumah tangga bagi pemiliknya.

Bunga ini juga merupakan salah satu bunga persembahan dalam upacara spiritual Kasada bagi masyarakat Hindu di Tengger, Probolinggo dan Jawa Timur.

2.5 BUNGA KEMBOJA.

Tanpa bunga kemboja Plumeria acuminata, famili Apocynaceae, tari Legong Keraton di Bali pasti kurang menarik. Bunga ini selalu dipakai di telinga penari semasa upacara tarian itu berlangsung. Bunga kemboja berwarna putih dengan pusat bunga berwarna kuning keemasan.Pokok ini banyak ditanam di halaman candi dan kawasan kubur.

Di Jawa, kemboja dilarang ditanam di halaman rumah kerana bunga ini boleh menimbulkan kesan seram seperti suasana kubur dan juga boleh mengundang roh jahat yang akan mengganggu ketenteraman penghuni rumah. Ada juga sebahagian masyarakat yang percaya bahawa mereka yang berjaya menemukan bunga kemboja yang berkelopak genap (6 helai) akan mendapat rezeki.

Di Hawaii, kalung bunga kemboja dipakai untuk menyambut tetamu.Di India, bunga kemboja digunakan sebagai bunga persembahan kepada dewa untuk memenuhi nazar. Di Cina, sari bunga kemboja dipakai sebagai pewangi setelah mandi dan juga sebagai penyegar badan.

2.6 BUNGA KENANGA

Bunga kenanga Canangium odoratum, famili Annonaceae sangat sesuai ditanam di halaman rumah kerana ianya dapat menolak `black magic` seperti terkena buatan orang. Bunganya yang berbau harum digunakan untuk membuat bunga rampai atau dipakai semasa upacara adat tertentu.

Pokok kenanga merupakan pokok yang besar setinggi 38m dengan diameter batangnya 1m. Pokok kenanga yang ditanam untuk tanaman hiasan biasanya setinggi 1 hingga 2 m.

Bunga kenanga berwarna hijau kekuningan, tidak begitu menonjol dan tumbuh berkelompok yang terdiri daripada 6 hingga 10 kuntum pada satu tangkai. Kelopak bunga ini berbentuk pita yang agak terpilin sepanjang 5 - 10 cm.

2.7 BUNGA LILI

Bunga lili Lilium longiflorum, famili Liliaceae sering dianggap sebagai lambang kemurnian oleh bangsa Mesir, Yunani dan Romawi kuno. Sebutan ‘lilium’ berasal dari bahasa Yunani leirus yang bererti lembut dan licin. Bunga ini telah ditanam di daerah sekitar Laut Tengah (Itali, Mesir dan sebagainya) sejak abad ke-9 SM. Bunga ini telah digunakan dalam upacara keagamaan atau pengkebumian.

Bunga lili berbentuk piala atau terompet panjang, besar, berwarna putih dan berbau harum. Spesies Lilium speciosum dan Lilium trigrinum juga banyak ditanam sebagai penghias kebun dan taman. Masyarakat lebih menyukai Lilium longiflorum untuk membuat karangan bunga kerana warnanya yang putih bersih dan sedap dipandang.

BUNGA MAWAR.

Sappho, seorang penyair Romawi menggelarkan bunga mawar sebagai “Ratu segala jenis bunga” kerana ianya dianggap sebagai lambang kesucian dan keimanan. Shakespeare seorang pujangga Inggeris memuja bunga mawar yang dianggap melambangkan keperkasaan. Kuntuman mawar dengan daun dan tangkai batangnya yang berduri melambangkan kegagahan yang menyatu dengan keindahan dan keharuman.

Persembahan mawar merah kepada gadis pujaan hati bererti isyarat pernyataan cinta si pemuda. Untuk menentukan jawapan si gadis, ianya dapat dinilai dengan bunga mawar yang dibalas olehnya. Kalau si gadis membalas dengan mawar kuning, bererti ia belum menentukan pilihan, kalau membalas dengan mawar tanpa bunga bererti cinta si pemuda ditolak dan kalau dibalas dengan bunga mawar yang berwarna merah ini bererti yang si gadis juga turut menyintai pemuda tersebut. Mawar dianggap sebagai lambang keremajaan, cinta, kasih dan keindahan. Mawar juga digalakkan ditanam di halaman rumah kerana ia dipercayai dapat membawa rezeki kepada pemilik.

Mawar yang paling banyak ditanam adalah mawar teh (tea rose) dari spesies Rosa indica fragran hybrids, famili Rosaceae.

2.9 BUNGA MELATI

Melati Jasminum sambac, famili Oleaceae telah dinobatkan sebagai puspa bangsa, maskot bangsa Indonesia oleh Presiden Soeharto pada 5 julai 1990. Bunga ini merupakan simbol kepada kesucian, ketulusan dan kebersihan hati.

Melati sangat popular dalam kehidupan masyarakat Melayu, Betawi, Jawa, Sunda, Madura dan Bali kerana ianya dianggap melambangkan kesuburan, kesejahteraan dan kemakmuran. Pengantin tanpa lilitan untaian melati pada keris yang dipakainya akan dianggap kurang sempurna pernikahannya.

Ibu-ibu yang mempunyai air susu yang kurang boleh menjadikan melati sebagai ubatnya. Melati yang sudah digiling hendaklah disapu pada buah dadanya agar air susu yang dihasilkan bertambah banyak.

Melati Jasminum sambac dapat dibezakan kepada 2 jenis berdasarkan kepada mahkota bunganya, iaitu yang berbunga tunggal dan berkumpulan. Bunga melati berwarna putih dan berbau harum.

2.10 BUNGA KEMUNING.

Kemuning, Murraya paniculata, famili Rutaceae merupakan pokok yang setinggi 3 – 7 m, berbatang pendek, berdaun rimbun dan memberi manfaat sebagai tanaman pagar. Tanaman ini berbunga terus-menerus sepanjang tahun. Warna bunga ini pada peringkat awal ialah kehijau-hijauan dan setelah mekar penuh ianya bertukar menjadai putih bersih.

Daun dan bunganya jika digiling halus dan disapukan pada badan, akan membuatkan seseorang wanita lebih cantik dan berkulit kuning bersih. Kayunya yang berwarna kuning agak kecoklatan merupakan bahan yang sesuai untuk membuat sarung keris.

3.0 KESIMPULAN

Bunga sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Baunya yang harum dan warnanya yang menarik menjadi penyeri di setiap majlis. Namun begitu, ramai yang belum menyedari fungsi bunga dalam kehidupan dan budaya masyarakat sekarang. Bunga bukan sahaja berguna sebagai penyeri, tetapi ianya juga mempunyai maksud yang tertentu dan berguna untuk perubatan.

4.0 RUJUKAN

Utami, 1994, Majalah Trubus 299 : Semarak Bunga-bunga Semusim Dalam Keranjang Gantung, Yayasan Sosial Tani Membangun, Indonesia.

B. Sarwono, 1994, Majalah Trubus 300 : Bunga Simbol Kehidupan, Yayasan Sosial Tani Membangun, Indonesia.

Muhammad B. Zakaria & Mustafa Ali Mohd., 1994, Traditional Malay Medicinal Plants, Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd., Kuala Lumpur.

Rukayah Aman, 1995, Tanaman Hiasan Ruangan, Penerbit Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

1 comment:

TAMAN ABS said...

terima kasih atas info ini. saya mohon share kat fb agar lebih ramailagi org di luar sana mendapa maklumat.