Kebun Warisan's Followers

Thursday, April 10, 2008

HASIL CENDAWAN LUMAYAN

Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:

HASIL CENDAWAN LUMAYAN
Oleh Kamudin Baharom

Usahawan muda hargai tunjuk ajar bekas guru dorong sertai sektor perniagaan tani PADANG BESAR: Faiz Mansor, penanam cendawan tiram kelabu bukan saja terhutang budi kepada gurunya kerana mengajar beliau bahasa Inggeris, sebaliknya beliau juga banyak berjasa terhadap kejayaannya untuk menyertai sektor perniagaan tani yang diusahakannya sejak lima tahun lalu. Faiz, 24, mengusahakan tanaman itu dalam skala besar di Kampung Datuk Ali, Chuping dekat sini. Beliau mengakui tunjuk ajar bekas guru bahasa Inggerisnya di Sekolah Kebangsaan Sintok, Kedah, Ooi Guan Teck, yang berpengalaman dalam tanaman itu, lebih lima tahun lalu turut mempengaruhi beliau mengusahakan tanaman berkenaan. "Selepas tamat pengajian di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Arau, pada 2001, saya tidak tahu nak buat apa. Saya kemudian bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur, tetapi berhenti tidak lama selepas itu kerana berasakan tidak sesuai.

"Selepas beberapa bulan berada di kampung, tanpa melakukan sebarang pekerjaan, saya didatangi Cikgu Ooi yang kemudiannya memperkenalkan tanaman cendawan tiram kelabu.

"Selain itu, beliau sendiri mengajar pelbagai kaedah termasuk cara membina bangsal untuk tanaman ini menggunakan kaedah dari Thailand," katanya. Faiz berkata, bimbingan dan semangat yang diberikan oleh Ooi mempengaruhi beliau untuk menerokai bidang tanaman cendawan itu terutama selepas menyertai program lawatan sambil belajar ke beberapa tempat.


"Sejak itu, saya bertekad untuk menjadikan tanaman cendawan tiram kelabu ini sebagai kerja tetap selepas mengharungi pelbagai kesulitan sebelum ini. Paling penting adalah tekad untuk menjadi seorang yang berjaya dalam industri asas tani," katanya. Mengimbau kembali pembabitannya itu, Faiz, 24, yang juga anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chuping, Mansor Jusoh, berkata beliau bermula secara kecil-kecilan lebih lima tahun lalu.

Katanya, berbekalkan modal RM10,000 daripada ahli keluarganya, sebuah bangsal berukuran 4.5 meter X 9 meter dibina di belakang rumah yang mampu menempatkan 10,000 polibeg.Bagaimanapun, katanya, selepas lima tahun, usahanya itu diperluaskan dan kini sudah memiliki empat bangsal termasuk satu daripadanya berukuran 15 meter X 4.5 meter yang mampu menampung 15,000 polibeg.

Setiap polibeg diisi dengan serbuk kayu untuk menjadi medium cendawan tumbuh. Tiga lagi bangsal mampu mengisi 10,000 polibeg setiap satu yang secara keseluruhannya berjumlah 45,000 polibeg yang ditempatkan secara bertingkat. Faiz yang berkahwin dengan Nor Alia Abdullah, 26, lebih dua tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata itu turut dibantu oleh ibunya, Wan Zuriyati Ibrahim, dan tiga pembantu lain bagi menguruskan tanaman berkenaan.

Jika cuaca baik, setiap bangsal yang menempatkan 10,000 polibeg mampu mengeluarkan hasil antara 4,500 hingga 5,000 kilogram setiap tiga bulan. Harga borong atau jualan terus cendawan itu ialah antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram. "Setiap hari bagi bangsal yang menempatkan 10,000 polibeg mampu mengeluarkan hasil antara 120 dan 150 kilogram. Bagaimanapun, jika cuaca baik iaitu agak sejuk mampu mengeluarkan hasil antara 200 dan 230 kilogram. "Bagi bangsal yang menempatkan 15,000 pula mampu memberikan hasil antara 180 dan 250 kilogram sehari atau dalam tempoh tiga bulan antara 7,000 dan 8,000 kilogram," katanya.

Faiz berkata, sungguhpun hasil mampu dikeluarkan setiap hari, namun bagi memastikan pengeluarannya berterusan dan memenuhi pasaran hanya dua bangsal dipungut iaitu antara 200 dan 300 kilogram atau kira-kira RM800 dan RM1,200, sehari. Pasaran cendawan tiram kelabu tidak menghadapi banyak masalah berbanding cendawan tiram putih. "Cuma, apa yang menjadi masalah ialah pengeluaran atau bekalannya sentiasa tidak mencukupi berikutan permintaan terhadapnya sentiasa tinggi dan menggalakkan," katanya. Faiz berkata, peringkat awal bagi tanaman cendawan itu bermula dengan proses menyediakan polibeg iaitu mencampurkan pelbagai bahan termasuk habuk kayu, dedak, kapur pertanian, jagung dan air sebelum dikukus selama empat jam menggunakan dapur khas.

Selepas itu, setiap polibeg yang sudah disejukkan selepas dikukus dimasukkan benih cendawan dan disusun secara bertingkat di dalam bangsal khas yang bertutup. Hasilnya boleh dilihat selepas sebulan. "Jika proses penyediaannya sempurna, keadaan cuaca baik, proses pertumbuhan baik, cendawan mampu mengeluarkan hasil bagi tempoh antara lima dan enam bulan," katanya yang memberitahu benih cendawan itu di peroleh dari Thailand. Harga sekilogram cendawan tiram di pasaran tempatan ialah RM3.50 hingga RM4 berbanding di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang difahamkan, RM8 hingga RM12 sekilogram.

FAKTA NOMBOR: Perusahaan cendawan Faiz * RM10,000 Modal permulaan * 5 Tahun usaha tanam cendawan * RM800 Pendapat sehari.

1 comment:

Unknown said...

Menarik, saya ingin mendapatkan alamat atau number talipon En Faiz, saya berminat nak belajar dari beliau cara dan kaedah tanaman cendawan beliau.

labuan