Sekilas arowana Bukit Merah
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Ikan arowana yang baru menetas dan hanya memakan kuning telur.
nisa.sulaiman@utusan.com.my
TERNAKAN ikan arowana merupakan industri ikan hiasan yang semakin berkembang pesat di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak.
Terdapat banyak syarikat yang mula berjinak-jinak menternak arowana - antara ikan hiasan paling mahal di dunia.
Antara sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan operasi menternak dan membiak ikan arowana adalah M U Arowana Aquaculture berhampiran Bukit Merah, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sahibol Anwar Arba'e berkata semuanya bermula dengan minat terhadap ikan hiasan paling mahal di dunia itu.
"Ketika itu saya mula membeli ikan arowana gold dengan harga RM2,000 seekor dan selepas beberapa bulan nilainya meningkat sehingga RM7,000 seekor.
"Pada masa itu saya menyedari ternakan ikan hiasan arowana berpotensi besar untuk dimajukan selain menguntungkan," katanya yang sebelum ini banyak menceburkan diri dalam perlbagai jenis perniagaan.
Mengkaji mengenai habitat arowana pada awal 2006, Sahibol memulakan projek ternakan dengan membina lapan buah kolam dengan keluasan 20 kaki x 50 kaki.
Pada pertengahan tahun yang sama, beliau mula mengisi setiap kolam dengan enam ekor ikan jantan dan 10 betina.
Ikan arowana bertelur setahun sekali selepas usia matang biasanya antara dua hingga tiga tahun dan semasa proses berkenaan ikan akan berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.
Telur yang telah disenyawakan akan dikutip oleh ikan jantan yang akan mengeram selama dua bulan di dalam mulut sebelum diluahkan apabila anak-anak mula berenang sendiri.
"Dalam tempoh berkenaan, ikan jantan akan 'berpuasa' sehingga anak-anak dilepaskan pada tempat-tempat berlainan bagi mengurangkan risiko pemangsa," katanya.
Bagaimanapun bagi tujuan komersial, mulut ikan akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak dan diletakkan di dalam inkubator yang lebih kurang sama keadaannya seperti dalam mulut induk.
Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa.
Sahibol berkata, bagi pasaran tempatan anak-anak ikan yang boleh berenang sudah boleh dijual.
M U Arowana Aquaculture memberikan penekanan dalam menternak tiga jenis arowana iaitu Malaysia gold arowana, red arowana dari Kalimantan dan Indonesia gold.
Harga seekor anak ikan arowana bersaiz tiga inci iaitu Malaysia red gold adalah RM1,600 hingga RM2,000, red arowana RM1,200 hingga RM1,500 dan Indonesia gold adalah RM500.
Harga seekor induk matang boleh mencapai sehingga puluhan ribu ringgit.
Menyentuh mengenai aspek pemakanan, Sahibol berkata, arowana memakan anak ikan seluang selain makanan tambahan seperti udang, cengkerik, katak dan lipan dua kali sehari.
"Ikan arowana sebenarnya tidak sukar dijaga tetapi disebabkan harganya yang mahal, ramai yang menyangka ia memerlukan penjagaan yang rapi," katanya.
"Ikan arowana amat unik dibanding dengan ikan-ikan hiasan lain kerana ia membiak secara semula jadi dan tidak memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan.
"Malah ikan arowana adalah haiwan akuatik yang dilindungi kerana mengalami ancaman kepupusan," katanya.
Sehingga kini M U Arowana Aquaculture beroperasi di atas tanah seluas 5.2 hektar (13 ekar) yang menempatkan 99 buah kolam.
Sahibol berkata, pihaknya mensasarkan untuk membina 100 kolam lagi pada tahun ini.
"Kami juga menitikberatkan masalah keselamatan dan penyelenggaraan dengan pemantauan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
"Ini bukan saja untuk tujuan keselamatan kerana harga ikan yang mahal tetapi bagi memastikan keselesaan ikan jika bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba," katanya.
Apa yang lebih menarik M U Arowana Aquaculture juga menawarkan skim perkongsian keuntungan bagi peminat ikan arowana yang mempunyai modal tetapi kurang pengetahuan.
"Di sini, mereka boleh melabur selama lima tahun dengan membeli ikan induk untuk satu kolam dan kami akan menjalankan segala tugas penyelenggaraan dan pengurusan.
"Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara pelabur dan pengusaha sehingga tamat tempoh kontrak," katanya.
Bercerita mengenai arowana, kata Sahibol, ikan ini hanya bertelur setahun sekali dan tiada masalah bekalan berlebihan dan harganya tidak pernah jatuh.
Memandangkan permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Jepun, China, Taiwan, Kanada, Hong Kong, Eropah dan India, pengeksport perlu mendapat kelulusan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang diluluskan oleh 72 negara.
Di bawah CITES, ikan arowana disenaraikan sebagai ikan yang dilindungi berkelas tinggi dan perlu ditanam cip di bawah kulit untuk tujuan eksport bagi pengenalan.
Sahibol berkata, kajian menunjukkan arowana adalah spesies ikan yang primitif dari zaman Jurassic.
Fosilnya membuktikan ikan berkenaan tahan lasak sehingga boleh hidup dengan baik sehingga ke hari ini.
Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:
No comments:
Post a Comment