UTUSAN MALAYSIA JUMAAT 6 FEBRUARI 2009
USAHAWAN SAYUR FERTIGASI
Walaupun tidak mempunyai
latarbelakang yang formal dalam
bidang pertanian tetapi tindakan
Ammar Abdul Aziz, 35, untuk menjadi
usahawan tani sedikit sebanyak dapat
menepis anggapan masyarakat
terhadap bidang pertanian. Mendapat
ijazah pertama di Hawaii dan ijazah
sarjana dalam bidang ekonomi di
London, United Kingdom (UK), Ammar
mula mengusahakan ladang sayurnya
secara sepenuh masa sejak 2005 di
atas tanah milik keluarga seluas empat
ekar di Kampung Batu 3, Mambau,
Negeri Sembilan.
Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya
penanaman sayur secara konvensional selama tiga tahun, Ammar berkata,
mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang
kuat. "Dalam tempoh dua tahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan
berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.
"Tetapi pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia
(MARDI) dan Jabatan Pertanian banyak memberikan khidmat nasihat dan
galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang," katanya semasa
ditemui di ladangnya di Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Ammar melahirkan rasa terharu dengan agensi kerajaan yang banyak
memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.
Biarpun pernah menjawat jawatan glamor dan selesa iaitu pengurus dana,
Ammar tidak menyesal meninggalkan semuanya untuk berbakti pada tanah.
Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan ayah sentiasa
menjadi pendorong untuk terus berjaya.
Setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau
yang telah menyewa empat ekar lagi tanah di sebelah tanahnya menanam
tanaman berpara seperti kacang panjang, bendi, timun, cili dan cili padi.
Bermula dengan menanam sayur-sayuran secara konvensional, kini Ammar
mula menanam cili merah secara fertigasi tertutup sementara cili padi secara
terbuka. Mengaplikasikan kepakarannya dalam strategi kewangan dalam
pertanian, Ammar banyak mengumpul data-data hasil ladangnya. "Data yang
saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian.Jika
terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya. "Setiap pagi
saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada
serangga, virus atau bakteria," katanya.
Ammar akan mengumpul semua data sama ada serangga hidup atau bahagian
pokok yang diserang untuk dikaji sama ada di MARDI, Jabatan Pertanian atau
institut pengajian tinggi tempatan. Dengan cara ini, Ammar dapat mengetahui
lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai
digunakan. Memegang pepatah Inggeris, 'tidak mengumpulkan telur dalam
satu bakul,' Ammar mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai
persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya. Ini juga
merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara
menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil. "Saya 'melayan' kebun sayur
saya sama seperti bisnes-bisnes lain dengan strategi yang sama."Bagi saya
pertanian adalah satu perniagaan," katanya yang memulakan pertanian
menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.
Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri
misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya
pula agak murah. Cili merah dan cili padi yang mempunyai harga yang tinggi
tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai
bagi tujuan memetik. Ammar juga menjalankan strategi merekodkan dan
mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya
memantau harga di masa akan datang.
"Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil
inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari. "Ini bagi
memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan
boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan," katanya yang bercita-cita
membesarkan lagi ladang sayurnya. Selepas menjalani pelbagai 'kisah pahit'
dalam pertanian, kini Ammar melibatkan diri dalam fertigasi pokok cili.
Menjalankan trial and error dalam pertanian selama dua tahun menjadikan
Ammar lebih matang dalam mengharungi industri tanaman. Beliau yang amat
peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon manamana
pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran. "Sejak awal saya
mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya
masih belum menganggap diri saya berjaya. "Saya berharap suatu hari nanti,
pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka,"
katanya.
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN nisa.sulaiman@utusan.com.my
Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:
No comments:
Post a Comment